salam

Sabtu, November 27, 2010

9 petua capai doa mustajab

BERIKUT antara sembilan petua daripada Rasulullah untuk mencapai doa mustajab:

1. Anas bin Malik meriwayat kan bahawa Rasulullah bersabda: “Doa antara azan dan iqamat tidak akan ditolak.

2. Sesungguhnya Rasulullah bersabda: “Allah akan turun ke langit dunia setiap malam iaitu sepertiga malam yang terakhir seraya berfirman: “Sesiapa yang berdoa kepada-Ku, maka aku akan menerima permintaannya dan sesiapa yang meminta keampunan daripada-Ku maka Aku akan mengampuninya.”

3. Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda: “Tiga orang yang tidak ditolak doanya iaitu pemimpin yang adil, orang berpuasa ketika dia berbuka dan orang yang dianiaya. Allah mengangkat doa-doa itu ke awan dan pintu-pintu langit dibuka.” 



4. Ibnu Abbas meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda: “Aku dilarang membaca al-Quran ketika sujud dan rukuk. Waktu yang paling dekat antara hamba dan Tuhan-Nya adalah ketika sujud, maka perbanyakkanlah doa ketika itu.” 



5. Hadis Abu Hurairah r.a, Nabi s.a.w bersabda: “Jika kamu mendengar ayam jantan berkokok, pohonlah kurnia daripada Allah kerana sesungguhnya binatang itu melihat malaikat. “Jika kamu mendengar keldai memekik, pohonlah perlindungan daripada Allah daripada godaan syaitan kerana binatang tersebut melihat syaitan.” 



6. Ubadah bin As-Shamit berkata bahawa Rasulullah bersabda: “Sesiapa yang bangun pada malam hari dan mengatakan atau berdoa, doanya akan dimakbulkan. “Apabila beliau berwuduk (dan mengerjakan solat malam), solatnya akan diterima Allah.” 



7. Ata bin Abi Rabah berkata: “Telah sampai padaku bahawa Rasulullah bersabda: “Sesiapa yang membaca surah Yasin pada permulaan hari maka segala hajatnya akan dipenuhkan.” 



8. Hadis daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda: “Doa seseorang itu akan dikabulkan selagi dia tidak terburu-buru menyebabkan dia berkata: ‘Aku berdoa tetapi tidak dimakbulkan.’” 



9. Hadis daripada Abu Hurairah: Rasulullah memperkatakan mengenai hari Jumaat. Lalu baginda bersabda: “Pada hari Jumaat itu ada suatu saat. Bila mana seorang Muslim dapat menepatinya dalam keadaan sedang berdoa, memohon sesuatu daripada Allah, pasti dia akan dianugerahkan apa yang dipohonnya itu.”

Banyak pahala ibadat tapi muflis di akhirat

SABDA Rasulullah SAW: “Orang yang muflis dalam kalangan umatku ialah mereka yang pada hari Kiamat datang membawa pahala amal solat, puasa, zakat dan haji tetapi ketika di dunia, mereka pernah mencaci maki orang, menuduh tanpa bukti, memakan harta dengan zalim, membunuh dan memukul sesuka hati. Lalu pada hari kiamat, orang yang dizalimi akan menerima pahala amal si penzalim.

“Jika pahala amalnya habis (diberikan) sedangkan kesalahan dan dosanya ketika di dunia kepada orang yang tidak berdosa masih banyak, Allah SWT akan memberi pula dosa orang yang dizalimi itu kepadanya sehingga semakin berat bebannya, lalu Allah SWT campakkan dia ke dalam neraka.” (Riwayat Muslim) 

Berdasarkan hadis ini, jelas bahawa ada golongan yang menjadi muflis di akhirat dan mereka sebenarnya orang yang memiliki pahala, seperti pahala solat, puasa, zakat, haji dan sebagainya. 


Namun, semua pahala ibadat mereka habis kerana digunakan sebagai membayar ganti rugi kepada insan yang pernah disakiti, dikhianati atau dizalimi, selain dibebankan dengan dosa orang yang dizalimi.

Alangkah ruginya golongan muflis ini kerana walaupun mempunyai pahala kerana mengerjakan ibadat dan bermacam kebaikan, akhirnya menjadi kosong kerana diambil oleh orang lain sebagai ganti rugi dengan sebab kesalahan terhadap orang lain atau kezaliman yang dilakukan.


Sebagai seorang yang mengaku Islam, kita harus bijak melayarkan kehidupan berdasarkan petunjuk dan panduan hadis serta al-Quran sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Al-Infitaar, ayat 10 dan 11 yang bermaksud: “Padahal sesungguhnya, ada malaikat- malaikat yang menjaga dan mengawas segala bawaan kamu, (Mereka adalah makhluk) yang mulia (di sisi Allah), lagi ditugaskan menulis (amal-amal kamu).” 


Bagaimanapun, persoalannya pada hari ini, ada di kalangan kita yang kaya di dunia tetapi tidak bersedia untuk menghindari muflis di akhirat. Mereka menikmati pelbagai kemewahan kurniaan Allah SWT di dunia tetapi tidak bersyukur dan mengabaikan tanggungjawab terhadap Allah SWT dan mengkhianati amanah sesama manusia. 


Dalam mengejar kemewahan, mereka lupa solat, zakat, menunaikan haji dan sebagainya kerana sibuk dengan pelbagai urusan duniawi. 


Selain itu, mereka tidak prihatin kepada hak sesama manusia, hak golongan fakir, miskin dan anak yatim. 


Malah ada di kalangan kita menzalimi sesama manusia dan ketahuilah bahawa gaya hidup sedemikian akan menjadikan mereka muflis di akhirat. 

Dalam kehidupan sehari- hari kita perlu berhati-hati supaya tidak melakukan dosa, terutama dosa sesama manusia. 


Perlu difahami bahawa kehidupan di akhirat lebih perlu diutamakan kerana ia kehidupan yang kekal abadi. Kesejahteraan di akhirat memerlukan persiapan dan usaha yang lebih terancang dan konsisten. 


Oleh itu, sebelum menjadi ‘muflis’ di akhirat, sama-sama kita menghitung diri kita, adakah sudah berada dalam gaya hidup yang diredai Allah atau gaya hidup yang dimurkai Allah. 


Andainya kita dalam keredaan-Nya, kita pertingkat dan gandakan lagi supaya ia lebih mendapat rahmat dan keredaan Allah SWT. 


Andainya kita menderhaka kepada Allah, segeralah bertaubat dan kembali ke jalan Allah, mudah-mudahan kita diampuni Allah dan dilimpahi kehidupan akhirat yang penuh dengan nikmat sebagaimana firman Allah dalam surah Ali-Imran, ayat 133 yang bermaksud: “Dan segeralah kamu kepada keampunan daripada Tuhan kamu, dan Syurga yang luasnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang yang bertakwa.”

TREBEST PLUS CAPSULE - HEBAT !!! HUBUNGI 010-9165803 EN. HUSSEIN dan KLIK GAMBAR PRODUK DI ATAS