salam

Jumaat, November 26, 2010

Perbetulkan peranan pendakwah elak kelirukan masyarakat

DALAM era globalisasi pendakwah Islam sepatutnya menumpukan perhatian kepada aspek yang boleh membentuk masyarakat menjadi orang yang beriman dan mampu menghadapi sebarang rintangan dan pergolakan di kalangan umat Islam. Cara pendakwahan juga menentukan keberkesanan dalam pendakwahan.

Setiap pendakwah amat perlu memahami matlamat dan objektif pendakwahan. Jika objektif pendakwahan itu dengan tujuan untuk mempengaruhi masyarakat menjauhkan diri daripada golongan tertentu maka intisari penceramahan tersebut tersasar daripada matlamat awal dakwah.

Dakwah Islamiyah sering diselewengkan oleh umat Islam kerana kebanyakan daripada penceramah agama lebih menumpukan perhatian kepada perjuangan politik melebihi kepentingan agama dan umat.  Apabila suasana begini wujud maka usaha untuk mendidik masyarakat menjadi orang Islam beriman akan gagal kerana intisari dalam ceramah lebih mirip kepada kutukan dan ejekan. Sikap mengutuk dan mempersendakan individu-individu dan golongan tertentu menjadi lumrah kepada kebanyakan penceramah agama di dunia Islam masa kini.

Pergerakan Jamaah Islamiyah di Mesir yang dikenali oleh media sebagai Tanzim al-Jihad menggunakan Syeikh Omar Abdul Rahman, seorang ulama buta mengeluarkan fatwa yang mengejutkan masyarakat Mesir.  Ahli-ahli pergerakan tersebut menggambarkan kepada beliau betapa jahilnya masyarakat Islam Mesir sehingga beliau mengeluarkan fatwa bahawa masyarakat Mesir adalah 'beruk' atau 'monyet'. Fatwa Umar Abdul Rahman ini bukan sahaja diamalkan oleh Pergerakan Tanzim al-Jihad malah ia juga menjadi fatwa kepada penceramah radikal di Malaysia.

Pendakwah sepatutnya memahami realiti kehidupan masyarakat di sekeliling mereka dan menggunakan akal yang rasional dalam merancang program dan pendekatan dakwah kepada masyarakat. Jika masyarakat jahil tentang agama Islam pendakwah sepatutnya menumpukan perhatian kepada aspek yang boleh memperkukuhkan akidah Islam dan mengajar serta menggalakkan mereka mengamalkan perkara-perkara berkaitan dengan fardu ain terlebih dahulu daripada membicarakan perkara-perkara yang menyukarkan akal fikiran masyarakat dan menyebabkan mereka merasai betapa sukarnya menjadi umat Islam.

Rasulullah SAW menyeru pendakwah Islam supaya memahami kecapaian akal fikiran manusia ketika berdakwah. Sikap radikal dan 'ujub (merasai diri terlalu warak dan beriman) bukan merupakan sifat pendakwah Islam. Kuliah subuh sepatutnya digunakan untuk menerapkan ilmu wahyu dalam hati nurani masyarakat bukan menghemburkan cacian dan cercaan kepada orang yang tidak bersefahaman dengan ideologi politik.

Pendakwah Islam masa kini sepatutnya memahami bahawa proses globalisasi sedang melanda umat Islam dalam dunia yang serba canggih dan membangun seperti Malaysia. Remaja dan muda-mudi Islam mengalami kehausan kerohanian yang memerlukan kepada bimbingan agama dan asuhan daripada para pendakwah dan sarjana Islam.  Ketika ini peranan utama pendakwah Islam ialah mengadakan pelbagai program dan bergaul bersama remaja dan masyarakat supaya mereka merasai para pendakwah merupakan tempat rujukan dan aduan berkaitan dengan kegelisahan dan kehausan kerohanian mereka.

Ceramah dan forum sahaja tidak mencukupi untuk membanteras gejala sosial dan mendidik masyarakat menjadi beriman dalam era globalisasi. Intisari ceramah yang disulami dengan cacian dan cercaan tidak akan dapat menyerapkan cahaya ilmu wahyu ke dalam hati nurani umat Islam kerana wahyu Ilahi diibaratkan sebagai cahaya yang terlalu terang yang hanya dapat dipantulkan kepada masyarakat secara hikmah dan lunak.

Pendakwah Islam sepatutnya menjadi orang yang paling sabar menghadapi kerenah masyarakat kerana peranan mereka ialah mendorong masyarakat ke arah syurga. Jika hati nurani pendakwah dilatih menjadi orang yang sabar dan mempunyai azam yang kuat untuk mendorong masyarakat ke arah kebahagiaan hakiki iaitu memasuki syurga, mereka tidak akan menghina dan mempersendakan orang yang jahil agama.  Sikap gemar mengejek dan merendahkan keperibadian orang lain bukan merupakan ciri-ciri pendakwah yang berwibawa.

Realiti yang wujud masa kini ialah terdapat pendakwah Islam kurang perihatin terhadap akhlak Islam dalam penyampaian ilmu wahyu. Sentimen politik lebih mempengaruhi pemikiran mereka ketika menyampaikan ilmu wahyu. Sepatutnya penceramah memahami bahawa orang yang hadir dalam majlis ilmu wahyu ialah orang yang mengharapkan panduan dan didikan agama bukan kutukan dan cercaan. Sedangkan mencerca orang musyrik pun dilarang oleh Rasulullah SAW.

Perkara ini dijelaskan oleh Abu Hurairah r.a. dengan katanya, "Seseorang meminta Rasulullah SAW supaya baginda mendoakan orang musyrik mendapat bala bencana. Baginda menjawab, "Aku bukan diutus menjadi tukang laknat tetapi untuk menjadi rahmat." Sabda baginda ini sepatutnya dijadikan panduan kepada pendakwah Islam.

Bagi menyemarakkan seruan Islam dalam era globalisasi masa kini maka para pendakwah dan sarjana Islam sepatutnya menumpukan perhatian kepada latihan kerohanian masyarakat Islam. Tugas ini memerlukan pengorbanan masa dan tenaga dan kerjasama masyarakat Islam keseluruhannya. Penyatuan masyarakat sepatutnya dijadikan agenda utama pendakwah Islam dalam menyusun strategi syiar Islam bukan mempengaruhi masyarakat bertelingkah dan bermusuhan sesama sendiri.

Oleh DR. SAODAH ABD. RAHMAN

Modal insan, kekalutan budaya

SEORANG pengamal psikiatri British menafsir manusia yang dijadikan sebagai modal dalam ragam pengeluaran sedang menghadapi sejenis penyakit yang dikenali sebagai selesema (affluenza). Oliver James mengkaji hubung kait antara tekanan kepada mendapatkan keperluan material dan kesejahteraan hidup menjadikan manusia semakin kalut dan resah. Ragam pengeluaran yang bersandarkan prinsip, manusia adalah selari dengan lain-lain sumber seperti model, mesin dan metod telah menjerumus suasana mental yang resah, tidak tenteram dan seterusnya menyumbang kepada penyakit.

Maka, apabila Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam mendedahkan berlaku peningkatan penjawat awam yang bermasalah – prestasi rendah, berpenyakit dan disiplin – ramai tidak ramai yang melahirkan rasa terkejut ataupun gelisah. Mereka sudah faham bahawa akibat terlalu menekankan kepada penghasilan dan memenuhi tekanan luaran, penjawat awam seolah-olah sedang dilanda virus affluenza. Sebahagian besar yang menghadapi masalah kesihatan, ada hubung kait dengan tekanan pekerjaan yang mereka terima, termasuk iklim dalam pejabat dan hubungan dengan rakan sepejabat semakin bermasalah.

Sistem pengurusan yang sedang dibudayakan lebih menumpukan kepada peningkatan produktiviti sehingga melupakan nilai-nilai keinsanan yang sepatutnya dijadikan landasan melunaskan tanggungjawab sebagai makhluk ciptaan Allah SWT yang terbaik. Manusia hanya sekadar alat atau modal dalam menghasilkan produk, manusia tidak dianggap sebagai rakan kongsi yang ikut bersama membangunkan kelangsungan organisasi.

Sifat manusia sebagai alat menghasilkan produk telah memunculkan pelbagai kesan sampingan yang negatif. Susun lapis pekerjaan menjadi terlalui berhierarki dan berlapis-lapis sehingga menampakkan bahawa pengurusan atasan lebih penting daripada mereka yang benar-benar menghasilkan produk. Pekerja bawahan kurang mempunyai mobiliti dan peningkatan kerjaya berbanding pengurusan atasan. Inilah faktor yang menambahkan sengsara sesetengan penjawat awam.

Dasar perkhidmatan awam yang memberikan pengiktirafan berlebihan kepada satu skim perkhidmatan menyebabkan lain-lain skim perkhidmatan tawar hati. Mereka masih tetap merupakan asset produktiviti, tetapi hanyalah sekadar memadai.

Asasnya adalah kerana sistem itu sendiri. Sistem yang mengamalkan pelbagai konsep pengurusan moden yang dipinjam daripada budaya pengurusan Barat tidak berupaya menjadikan pekerja sebagai insan. Walau pun pernah dicuba untuk mendefinisikan semula falsafah perkhidmatan awam, ia tetap menerima tolakan yang berganda kerana konsep pengurusan berasaskan falsafah Islam tidak dapat menepati kehendak antarabangsa.
Maka beberapa teori dan penemuan dalam bidang gelagat organisasi, dorongan manusia (dari sifat semula jadinya malas kepada berprestasi tinggi) melalui pengiktirafan kewangan, kehendak ‘pemegang saham’ yang sukar menerima teguran dan pendapat, maka yang hanya menjadi mangsa keadaan ialah penjawat awam. Ketidakselarasan kehendak dan peraturan menyebabkan penjawat awam adakalanya tersepit antara kehendak yang bercanggah itu.

Dalam pengurusan Islam, konsep pengurusan menjurus kepada hasrat untuk mendapatkan keredaan Allah SWT. Manusia, hanyalah disebut dengan istilah an-Nas dalam al-Quran adalah bersifat umum. Sifat insan yang digambarkan oleh al-Quran ialah menuju kepada keimanan dan ketakwaan dalam setiap tindak-tanduknya, termasuk berfikir dan berhubung sesama manusia.

Manusia turut dinasihatkan agar tidak terpengaruh dengan bisikan-bisikan yang sentiasa ada di sekeliling kehidupan mereka. Bisikan-bisikan itu akan menjadi lebih teruja dalam keadaan seseorang itu mempunyai kuasa, terutama kuasa pemutus dan menentukan kedudukan pekerja bawahan. Antara bisikan-bisikan yang sentiasa mencabar kekentalan iman seseorang ialah bisikan hati agar melakukan perkara-perkara yang negatif sehingga manusia sentiasa lalai, zalim dan resah.

Hal ini merupakan amaran yang telah diutarakan oleh Allah SWT dalam surah an-Nas. Surah tersebut meskipun hanya terdiri dari enam ayat yang pendek, ia tetap merupakan peringatan yang amat besar buat manusia.

(1) Katakanlah (wahai Muhammad): Aku berlindung kepada (Allah) Pemelihara sekalian manusia. 
(2) Yang Menguasai sekalian manusia. 
(3) Tuhan yang berhak disembah oleh sekalian manusia. 
(4) Dari kejahatan pembisik penghasut yang timbul tenggelam. 
(5) Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia. 
(6) (Iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia.”

Tentunya untuk memahami dengan mendalam mengenai hakikat manusia, kita perlu kembali kepada persekitaran kehidupan manusia itu sendiri. Allah SWT menciptakan manusia sebaik-baik kejadian, lengkap dengan kuasa berfikir dan membuka pintu rezeki dengan mengharamkan manusia mengkhianati manusia yang lain. Di sinilah kekuatan sistem pengurusan Islam, ia telah memberikan peringatan yang jelas bahawa dalam berorganisasi setiap orang adalah mesti sentiasa berada dalam persekitaran yang harmoni.

Bagi mendapatkan rezeki yang halal, Allah SWT turut mencipta pelbagai tumbuhan, binatang ternakan dan kekuatan akal untuk menggarap apa yang ada dalam alam. Tetapi, Allah juga melarang manusia agar tidak melakukan secara berlebihan sehingga boleh merosakkan alam. Dan, ini semakin bertentangan dengan falsafah pengurusan moden yang akan mengambil apa sahaja tanpa berusaha mengawal kerosakan yang bakal terjadi.

Seseorang pekerja perlu dilatih dengan pengetahuan baru, kerana perkembangan pengetahuan menjadi semakin cepat berubah apabila manusia sentiasa menyibukkan diri melakukan penelitian secara teknikal. Setiap masa manusia memperbaharui tekadnya kerana penerokaan baru akan menjadikan sesebuah organisasi sebagai peneraju pasaran. Peneraju pasaran itulah dilihat sebagai kelompok yang berjaya.

Sistem itu terus berkembang dalam masyarakat dengan tidak menampakkan kesungguhan moral dan ketegasan falsafah agama. Moral dan agama merupakan kepunyaan individu, maka setiap perbincangan hanya difokuskan kepada persoalan yang bersifat mekanistik dan boleh diukur berdasarkan kriteria tertentu.

Percanggahan asas inilah menyebabkan terlalu banyak masukan baru yang dicuba ke dalam perkhidmatan awam. Penjawat awam bukan sahaja dikehendaki mematuhi nilai-nilai ‘mendewakan’ ketua, menghormati arahan dan keputusan, malah disogokkan dengan pelbagai pendekatan teknikal bagi memberikan imej organisasi dengan lebih gah dan besar.

Ketika musim membangkitkan persoalan kualiti, maka agensi awam rasa ikut bersalah jika tidak mempunyai pengiktirafan piawaian kualiti. Maka berlumba-lumbalah pihak agensi awam untuk mendapatkannya. Setelah memperolehnya, pematuhan prosedur kerja menjadi masalah, sedangkan lebih ramai lagi pekerja bawahan tidak memahami kehendak pihak pengurusan.

Komunikasi hanya bersifat atas ke bawah. Jika ada pun bentuk komunikasi bawah ke atas, ia berlaku dalam ruang yang terhad. Sedangkan dalam Islam manusia digalakkan berhubung, meningkatkan silaturrahim dan saling bermaaf-maafan sepanjang masa. Setiap kelemahan dan kekuatan dibincang bersama agar jalan terbaik boleh dicari.

Penjawat awam yang bemasalah bukan tidak boleh dipulihkan. Selagi hayatnya masih ada, mereka masih tetap boleh menyumbang meskipun dilihat mempunyai masalah kesihatan, kecualilah yang bersifat kronik.  Islam tetap memberikan peluang kedua kepada setiap orang, jika ianya tersasul dan menghadapi masalah. Dengan peluang kedua ini, seseorang itu akan muncul sebagai pekerja yang cemerlang, dengan syarat iklim organisasi tidak menyumbang kepada tekanan dan pemaksaan yang keterlaluan. Hakikatnya, di manakah peranan pembimbing kerana teladan Nabi Muhamad SAW dalam pengurusan modal insan jelas memberikan semangat dan motivasi.

Penulis ialah Yang Dipertua Yayasan Dakwah

Kenapa fobia sejarah?

HASIL kaji selidik oleh sekumpulan wartawan mengenai pengetahuan sejarah dan kenegaraan di kalangan remaja dan belia, amat meresahkan. Laporan kaji selidik itu bertajuk, Ramai buta sejarah, disiarkan di muka depan Utusan Malaysia, kelmarin, mengundang perhatian besar.

Ramai yang tidak tahu tarikh kemerdekaan, nama-nama Perdana Menteri terdahulu, nama bendera, Rukun Negara, tarikh penubuhan Malaysia dan banyak lagi fakta asas tentang Malaysia. Mengejutkan dan memalukan. Inilah akibatnya jika generasi muda semakin longgar dan terpisah daripada sejarah. Itu baru fakta asas dan belum menyentuh tentang sejarah yang lebih lengkap.

Nampaknya tanpa sejarah, rakyat kita tidak ubah seperti pendatang asing. Di kebanyakan negara maju perhatian terhadap sejarah dan kenegaraan menjadi penekanan. Sesiapa sahaja yang mahu mendapat status warga negara disaring ketat. Mereka mesti menjunjung Perlembagaan, faham sejarah selain fasih menggunakan bahasa kebangsaan. Di Malaysia, ramai yang lulus permohonan menjadi warga negara tidak boleh bertutur bahasa kebangsaan seolah-olah menjadi pelancong asing selain tidak hayati sejarah. Maka Awang lega dengan keputusan kerajaan menjadikan sejarah subjek teras dan wajib lulus di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai 2013 seperti yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Muhyiddin Yassin baru-baru ini.

Ia diikuti dengan pengumuman oleh Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi bahawa tiga elemen iaitu unsur kewarganegaraan, patriotisme dan perlembagaan akan diajar dalam subjek Sejarah yang dijadikan mata pelajaran teras bermula 2014.

Ramai yang menyambut positif langkah tersebut. Mereka dapat melihat kewajaran dan kepentingannya untuk kesejahteraan dan masa depan negara yang lebih baik. Namun tidak kurang juga suara sumbang terutama daripada DAP. Ada juga pemimpin parti komponen BN yang kurang senang dan mahu mengenakan syarat. Awang hairan mengapa mereka perlu fobia kepada sejarah. Fakta tetap fakta. Sejarah tanah air ini bermula ratusan tahun dahulu dan ia tidak boleh dipadamkan begitu sahaja. Dalam kita memperakukan sumbangan semua kaum terhadap kemerdekaan negara, realitinya kaum Melayu yang paling dominan. 

Bacalah banyak buku dan dokumen sejarah Tanah Melayu yang ditulis oleh tokoh sejarah Barat yang jelas mencatatkan hal tersebut. Sejarah tidak boleh diseleweng mengikut selera politik. Era darurat tetap memperlihatkan ancaman pengganas komunis. Chin Peng tidak boleh diiktiraf sebagai hero atau apatah lagi negarawan. Awang menentang jika ada usaha untuk menulis semula sejarah. Adalah boleh diterima jika aspek-aspek tertentu mahu ditambah baik tetapi bukan dengan mengolahnya berdasarkan tekanan kaum-kaum dan etnik tertentu. Di banyak negara, kerajaannya tidak hiraukan sebarang teguran apatah lagi cadangan untuk meminda sejarah yang telah menjadi dokumen rasmi. Awang berharap kerajaan Malaysia tidak berganjak. Jika usaha menulis semula sejarah dibenarkan maka selepas ini banyak lagi yang akan dipinda dan dirombak termasuk Perlembagaan. Sejarah bukan produk komersial untuk dijual beli dan ditawar harga. Janganlah segala-galanya mahu dilihat dari sudut keuntungan seperti berniaga. Setiap warga negara mesti berkiblatkan negara ini dan bukan di luar. Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Kalau sejarah tanah air ini mahu ditolak, untuk apa menjadi warganegara?

Dato' Nalla Karipan

Wanita ditinggal kekasih di Lombok malu pulang ke Terengganu

Jumaat , 26 November 2010


JAKARTA: Kisah wanita Malaysia termasuk gadis bawah umur lari bersama kekasih ke Lombok, Nusa Tenggara Barat, Indonesia, bukan perkara baru dan sejak 10 tahun lalu, 15 kes seumpamanya telah dilaporkan berlaku di pulau itu. 

Bilangan sebenar mereka yang pergi ke pulau itu atas nama cinta dipercayai lebih besar berdasarkan laporan media tempatan dan difahamkan mereka kebanyakannya rela menetap di sana walaupun terpaksa menjalani kehidupan dalam keadaan serba kekurangan.

Sehingga kini, jumlah sebenar mereka yang terbabit tidak dapat dipastikan tetapi kes ini bukan sahaja dilaporkan berlaku di pulau Lombok, malah tujuh kes serupa juga dilaporkan berlaku di beberapa tempat lain iaitu di pulau Jawa, Sulawesi, Sumatera dan Kalimantan.
Setakat ini, 22 kes dilaporkan ke Kedutaan Besar Malaysia di sini, sama ada oleh keluarga mereka melalui Wisma Putra atau secara langsung ke pejabat kedutaan di sini selain oleh pihak berkuasa Indonesia apabila wanita berkenaan berdepan dengan masalah.

Terbaru ialah kes Harlizan Ibrahim, 35, wanita Malaysia yang ditinggalkan kekasihnya di Lombok Barat dan telah bernekad untuk menetap di pulau itu kerana malu pulang ke pangkuan keluarga di Kuala Terengganu.

Itulah pengakuan Harlizan kepada wartawan tempatan dua hari lalu ketika menceritakan kisah hidupnya tinggal di sebuah kampung yang jauh dari kota, semuanya dibuat atas permintaan kekasihnya bernama Asitah, lebih setahun yang lalu.

Sejak itu Asitah telah pulang semula ke Malaysia untuk bekerja dan selepas empat bulan berlalu beliau terputus hubungan dan tidak mendapat sebarang khabar berita daripada kekasihnya.
Wanita itu yang melahirkan seorang anak lelaki enam bulan lalu dan kini ditempatkan sementara di sebuah rumah kebajikan Bude Rini, Mataram, Lombok, memberitahu wartawan tempatan beliau terpaksa menggunakan kayu api untuk memasak, suatu kesukaran yang tidak pernah beliau lalui dalam kehidupannya di Malaysia.

Beliau juga dilaporkan terpaksa menjual kesemua barang kemasnya untuk perbelanjaan anaknya dan sejak akhir-akhir ini Harlizan mengalami masalah tekanan mental dan telah dua kali dibawa ke Hospital Sakit Jiwa di Mataram oleh rumah kebajikan itu.

Sementara itu, Kedutaan Besar Malaysia di sini sedang berusaha membantu menguruskan penghantaran pulang Harlizan ke tanah air selain menguruskan kebenaran untuk beliau membawa bersama anaknya, walaupun beliau sendiri sehingga kini masih menolak untuk pulang Malaysia.

"Pihak kami telah beberapa kali menghubungi Harlizan sejak 6 Oktober lalu dan sejak itu setiap tiga atau empat hari sekali menghubunginya sehingga 21 Oktober lalu, namun beliau tetap tegas tidak mahu pulang ke Malaysia," kata jurucakap bahagian Konsular Kedutaan Besar Malaysia di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya akan membantu Harlizan dalam urusan dengan Imigresen Indonesia berkaitan kesalahan beliau tinggal lebih masa di republik itu manakala bagi anaknya pula, akan mengeluarkan visa yang sesuai kerana status anak itu ialah warganegara Indonesia mengikut Undang-undang di republik itu.

Undang-undang No.62 Tahun 1958 Tentang Kewarganegaraan Indonesia Bab II, Fasal 4 (c) menyebut: "Anak yang lahir di Indonesia daripada perkahwinan seorang ayah warganegara Indonesia dan ibu warganegara asing, secara automatik menjadi warganegara Indonesia".

Jurucakap itu berkata, Kedutaan Besar Malaysia difahamkan bahawa rumah kebajikan Bude Rini kini sedang membantu menguruskan pendaftaran sijil kelahiran anak itu selain menguruskan pasport untuk bayi itu.

Katanya, daripada 15 kes seumpamanya di Lombok, lapan orang adalah gadis bawah umur dan enam daripada mereka, termasuk lima kes bawah umur telah dihantar pulang Malaysia.

Sementara itu, empat daripada tujuh kes serupa di luar pulau Lombok telah juga dihantar pulang ke tanah air. Jumlah mereka yang telah dihantar pulang ke Malaysia sehingga kini ialah 10 orang.

Pihak Kedutaan Besar Malaysia kini masih mengesan 12 lagi kes berkenaan di di Lombok dan di tempat lain di republik itu.

Di KUALA TERENGGANU, kakak Harlizan, Hartini Ibrahim berkata adiknya tidak perlu malu untuk pulang ke kampung kerana keluarga mereka sentiasa menunggu kepulangannya.

"Saya berharap adik saya segera pulang ke pangkaun keluarga kerana ibu, (Hasmah Sheikh Puteh) sangat merinduinya," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Nibong, Kuala Terengganu, hari ini.

Hartini berkata, keluarganya tidak mengetahui secara mendalam hubungan adiknya dengan pemuda Lombok itu, malah beliau yang paling rapat dengan Harlizan juga tidak tahu nama pemuda itu.

Katanya, adik ketiga daripada tujuh beradik itu sering menghubungi keluarganya untuk bertanya khabar tetapi tidak bercerita mengenai kehidupan di sana dengan lelaki itu.

"Dua hari lalu saya baru berhubung melalui telefon dengannya. Dari perbualan itu, saya rasa Harliza tidak menghadapi sebarang tekanan, mungkin dia cuba sembunyikan apa yang berlaku daripada kami," katanya.

Hartini berkata, beliau telah berhubung dengan kedutaan Malaysia di Indonesia untuk membawa pulang adiknya itu ke Terengganu. - BERNAMA

TREBEST PLUS CAPSULE - HEBAT !!! HUBUNGI 010-9165803 EN. HUSSEIN dan KLIK GAMBAR PRODUK DI ATAS