KUALA LUMPUR, 26 Jan — Pihak berkuasa agama mengkategorikan “Sidang Parlimen Roh” sebagai satu lagi gerakan yang bertentangan dengan akidah Islam — dipercayai hanya usaha susulan menjenamakan semula pengaruh dan aktiviti pengasas Al-Arqam Asaari Muhammad, yang meninggal dunia tahun lalu.
Malah agensi agama Islam juga melihatnya sebagai antara usaha untuk meneruskan ‘legasi’ Ashaari yang menubuhkan kumpulan tersebut pada 1968.
Penolong Pengarah Pusat Al-Quran dan Ilmu Teras, Institut Latihan Islam Malaysia, Zamihan Mat Zin berkata langkah mengadakan “Sidang Parlimen Roh” merupakan langkah pertama untuk menghidupkan semula sejak Ashaari meninggal dunia Mei 2010, walaupun sejak ia diharamkan 17 tahun lalu, sudah ada beberapa usaha ke arah itu.
“Kami sudah mengesan doktrin Sidang Parlimen Roh ini,” kata beliau lagi.
Kata beliau, kerajaan juga menganggap “Sidang Parlimen Roh” sebagai satu bentuk “ajaran sesat dan karut” memandangkan pihak yang terlibat beranggapan bahawa mereka boleh “berinteraksi” dengan Allahyarham Ashaari.