HATI saya amat tersentuh setiap kali membaca kisah anak-anak terbuang dan anak luar nikah. Sebabnya saya senasib dengan mereka.
"Namun bila isu buang bayi kembali terpapar di dada-dada akhbar saya cuba mencari sedikit kekuatan untuk menyelak kembali lembaran hitam yang sekian lama saya tutup rapat di sudut hati namun sakitnya masih berbisa hingga kini." Demikian cerita Mashaniza dalam e-mel panjangnya dan ketika kami berbual di telefon Selasa lalu.
"Saya dilahirkan akhir tahun 60-an. Ketika itu ibu bekerja penari di kelab malam berasal dari Pantai Timur. Nenek terpaksa tanggung malu besarkan saya. Kata nenek takkan dia nak bunuh saya pula bila ada orang tanya kenapa ibu cepat beranak sedangkan baru tiga bulan kahwin?
"Mengikut cerita, ada orang jadi pak sanggup sekadar mahu meletakkan namanya dalam surat beranak saya.