DISIPLIN tanpa tekanan akan menjadikan seseorang itu berdisiplin walau di mana dia berada. Misalnya, seorang murid yang berdisiplin sentiasa mematuhi peraturan sekolah tanpa perlu pengawasan guru disiplin.
Teringat pengalaman menjadi guru sementara di sebuah sekolah menengah di Merlimau, Melaka. Cikgu Kamal - bertubuh kecil, bercermin mata - setiap kali dia berjalan, kawasan persekitarannya akan senyap sunyi. Pelajar yang rancak bersembang atau seronok bergurau-senda, umpama mati akal apabila terlihat kelibat Cikgu Kamal. Kelas yang riuh-rendah kerana ketiadaan guru bertukar menjadi aman-damai apabila Cikgu Kamal melintas. Dia tidak perlu membawa rotan ke sana-sini. Aura dan namanya sudah cukup digeruni. Tutur katanya juga tidak lantang, cukup bersahaja tetapi menikam kalbu. Entah apa ilmu serta pengalaman yang dimiliki Cikgu Kamal, kehadirannya ternyata membantu mendisiplinkan para pelajar. Namun tanpa Cikgu Kamal, pelajar-pelajar mula buat hal dan tidak peduli tentang disiplin. Itulah yang dikatakan disiplin bersifat sementara disebabkan rasa takut dan gentar bukannya kerana disiplin sememangnya menjadi sebahagian daripada diri. Dalam hal disiplin sementara, semestinya ia bukan sifat positif. Apabila berhadapan dengan seseorang yang digeruni atau di bawah tekanan, maka seseorang itu akan berdisiplin. Namun apabila terlepas daripada belenggu ketakutan dan tekanan, silap-silap hari bulan disiplin yang dipegang bertaburan menjadikan mereka lebih teruk lagi.