Hatta Adnan berasa amat kagum dengan pendirian dan kenyataan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar, mengenai tengkarah dan perdebatan berhubung apa yang disebut sebagai ‘ketuanan Melayu’.
Sultan Ibrahim tepat menyatakan bahawa kata-kata ‘ketuanan Melayu’ seharusnya diganti dengan ‘kedaulatan Melayu’ kerana ia bukan membabitkan soal ‘tuan’ atau ‘hamba’. Benar sekali. Apa guna jadi ‘tuan’ jika sekadar boneka orang lain. Apa guna jadi ‘tuan’ jika tidak berdaulat, bermaruah dan berjaya.
Banyak pihak, terutama golongan politik dan NGO ‘politik’, cepat melenting dan mengeluarkan bermacam-macam kenyataan yang kononnya memperlihatkan ketegasan mereka. Ada yang mengadakan tunjuk perasaan dan ada yang membuat laporan polis.

