KUALA LUMPUR 4 Feb. - Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mahu kerajaan terus bertindak tegas terhadap mana-mana pihak yang menghina dan cuba menghasut rakyat supaya menentang institusi raja-raja Melayu.
Mereka juga berharap tindakan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Muda, Shuhaimi Shafiei yang ditahan di bawah Akta Hasutan 1948 semalam kerana mengeluarkan kenyataan menghina dan menghasut orang ramai supaya menentang institusi raja dijadikan iktibar kepada semua pihak.
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, bukan sahaja Shuhaimi wajar ditahan di bawah Akta Hasutan 1948 kerana melakukan perbuatan itu tetapi ramai lagi pihak dan individu lain yang bertindak serupa wajar dikenakan tindakan.