salam

Ahad, Disember 12, 2010

Nahas tidak berbau - AWAS si lah anak2 dan keluarga

KUALA TERENGGANU: Kejadian lemas membabitkan enam individu termasuk tiga beradik di Pantai Pakdak, Chendering, dekat sini, kelmarin, disifatkan sebagai tragedi paling besar membabitkan mangsa lemas di Terengganu setakat ini.

Sambil memberikan nasihat kepada orang ramai supaya menghindari aktiviti di kawasan berisiko lemas seperti pantai dan air terjun pada musim tengkujuh, Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Hamzah Md Jamil berkata, pasukan penyelamat masih menggiatkan usaha mencari tiga lagi yang dilaporkan hilang di laut. 

Menurutnya, pasukan penyelamat membabitkan 18 anggota polis, bomba (24), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (12) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (14) akan mencari sehingga mangsa ditemui dan setakat ini pencarian tertumpu di lokasi mangsa dilaporkan hilang. 


“Operasi mencari akan bergerak mengikut arus dan ia akan dikembangkan beberapa batu nautika jika tiada perkembangan positif atau tanda mangsa ditemui,” katanya ketika melawat tempat kejadian di sini, semalam.

Dalam lawatan sama, beliau turut melahirkan rasa simpati dan takziah kepada keluarga mangsa yang setia menunggu di lokasi kejadian dan mengingatkan mereka supaya bersabar sementara pihak berkuasa menjalankan gerakan mencari.


Harian Metro semalam melaporkan, keseronokan enam sekawan bermain ombak di Pantai Peranginan Chendering, di sini, berakhir tragedi apabila dua daripada mereka lemas manakala tiga lagi masih hilang dalam kejadian kira-kira jam 2 petang, semalam. 


Sebelum kejadian, tiga daripada mereka yang juga adik-beradik, Kumuda Shanmugan, 28, Raymond, 26, dan Roshini, 16, dari Kampung Jawa, Klang, Selangor serta tiga rakan mereka dikenali sebagai Mogan, 21, Mathavi, 20, dan Vijaykumar, 18, pergi ke pantai berkenaan untuk mandi. 


Bagaimanapun, sebaik tiba di pantai itu Mathavi terjerumus ke dalam pasir sebelum ditarik ombak besar ketika bermain di gigi air di kawasan berbatu di pantai berkenaan. 


Panik dengan kejadian itu, tiga beradik terbabit bersama dua lagi rakan terjun ke laut untuk menyelamatkan mangsa yang ketika itu hampir lemas. 

Bagaimanapun, mereka turut lemas akibat dipukul ombak sebelum disedari orang ramai yang menghubungi pihak berkuasa. 


Sepasukan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat dari Balai Kuala Terengganu dan Chendering yang tiba beberapa minit kemudian menyelamatkan seorang daripada mereka, manakala dua lagi ditemui lemas dan satu lagi masih hilang. 


Mereka yang lemas ialah Roshini dan Kumuda, manakala yang masih hilang ialah Vijaykumar. 


Mayat Raymond ditemui jam 12.30 tengah hari semalam sementara mayat Mogan ditemui jam 4.30 petang semalam, manakala Mathavi yang diselamatkan lima individu terbabit kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah, di sini.

Tun Ibrahim Ismail Pahlawan PERKASA


KUALA LUMPUR 11 Dis. – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini meminta pasukan perubatan di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan di sini memberikan rawatan yang terbaik kepada bekas Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral (B) Tun Ibrahim Ismail.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang menyampaikan pesanan Perdana Menteri ketika melawat Ibrahim di Wad Diraja hospital itu kira-kira pukul 7 malam ini berkata, langkah itu adalah sejajar dengan kedudukan beliau sebagai individu yang banyak berjasa kepada negara.
”Saya datang kerana menyampaikan salam daripada Perdana Menteri yang mengenali secara peribadi Tun Ibrahim dan beliau meminta saya memberitahu pasukan perubatan agar memberikan rawatan yang sebaik-baiknya,” katanya selepas melawat tokoh itu selama kira-kira 15 minit.
Ahmad Zahid berkata, Ibrahim, 88, merupakan anak tempatan kedua yang dilantik sebagai PAT selepas Jeneral (B) Tan Sri Tunku Osman Jewa iaitu dari 1969 hingga 1977 dan beliau juga pernah berkhidmat dalam pasukan Force 136.
“Beliau dirawat di hospital ini sejak tiga bulan lalu kerana sakit tua,” katanya.
“Saya memohon kepada semua pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) agar mendoakan Tun Ibrahim supaya terus sihat,” katanya.
Ibrahim yang dilahirkan di Johor Bahru pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Kerja Majlis Gerakan Negara (Mageran) pada 1969.
Beliau telah menulis sebuah buku dalam bahasa Inggeris bertajuk ‘Have You Met Mariam’ iaitu mengenai kisah hidupnya yang diterbitkan pada 1984.
Ps/– Ybhg. Jeneral (B) Tun Ibrahim Ismail telah melibatkan diri seawal penubuhan PERKASA dan telah melancarkan laman web PERKASA versi pertama. Bersamalah kita mendoakan agar kesihatan Ybhg Tun Ibrahim Ismail kembali pulih. Gambar gambar ketika majlis pelancaran laman web PERKASA boleh di capai dilaman web minag_jinggo

‘Taubatlah Azmin’

 Ummi Hafilda Ali yang pernah menggemparkan negara kerana mendedahkan salah laku Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1997 merayu abangnya, Azmin yang kini Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) pulang ke pangkal jalan dan bertaubat.
Ummi Hafilda, 42, dalam wawancara dengan Mingguan Malaysia berkata, beliau membuat seruan itu setelah melihat banyak hipokrasi, penyelewengan, pembohongan serta salah laku melibatkan abangnya itu.

Menurutnya, adalah menjadi tanggungjawabnya sebagai adik yang secara tidak langsung tahu rahsia-rahsia di dalam lingkungan mereka untuk memperbetulkan keadaan agar tidak terus menanggung dosa.

'Jangan tipu rakyat, jangan tipu bangsa sendiri. Wahai Azmin pulanglah ke pangkal jalan. Bertaubatlah sekurang-kurangnya takutlah pada Allah, malulah kepada para malaikat.

'Kepada Anwar dan Wan Azizah (Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail) juga saya pohon perkara yang sama. Bagaimana hebatnya kita sekalipun, Allah mengetahui kebenaran. Jangan nanti mereka ditimpa bala semasa di dunia lagi. Perjuangan saya tidak akan berhenti setakat ini sahaja.

- UMMI HAFILDA ALI
Adik Azmin Ali.

Hayati semangat hijrah

Bersyukur ke hadrat Allah SWT atas limpahan nikmat serta diberi kesempatan kepada kita menikmati kehidupan dengan aman dan harmoni di tanahair tercinta ini.

Segala keamanan dan keharmonian yang saya dan seluruh rakyat Malaysia nikmati hari ini adalah hasil dari pengorbanan para pemimpin, para ulama' dan generasi terdahulu yang bertungkus lumus mengembeling tenaga dan idea bagi memastikan survival umat berlarutan dan kedaulatan anak bangsa sentiasa teguh dan utuh. Hebatnya anak bangsa kita sejak dari dahulu, sekarang dan di masa akan datang dengan izin Allah SWT bilamana pegangan terhadap Islam tidak terpisah sepertimana terpisahnya padi dari sekamnya. Islam yang kita anuti hingga ke hari ini adalah anugerah yang tidak ternilai disamping keberuntungan kita kerana nenek moyang kita diberi hidayah menganuti agama yang suci ini. Penerimaan mereka terhadap agama Islam terbukti sejak zaman kegemilangan Kerajaan Melayu Melaka apabila rata-rata raja dan rakyatnya memeluk dan mengamalkan Islam.Perkembangan Islam juga disifatkan bermula hasil dari kegigihan para pedagang dari timur tengah "berhijrah" mengembangkan dakwah merentasi lautan dan benua demi menjamin seisi alam menerima seruan Islam.Alangkah bertuahnya kita sekiranya dinilai dari sudut pengorbanan jika dibandingkan dengan umat sebelumnya. Kita boleh menyambut sambutan ma'al hijrah dengan keamanan dan kedamaian di setiap negeri tanpa perlu menitiskan walau setitis darah demi menjayakan program tersebut.Kita juga tidak perlu untuk "berhijrah" mencari kekuatan dan kedamaian dari sebarang gangguan terutamanya musuh-musuh Islam.

Seringkali apabila kedatangan tahun baru hijrah, terlintas di benak dan fikiran saya akan firman Allah SWT di dalam surah Al-Taubah ayat 20 yang bermaksud "(Sesungguhnya) orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah SWTdengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah SWT(daripada orang-orang yang hanya memberi minum orang-orang Haji dan orang yang memakmurkan masjid sahaja); dan mereka itulah orang-orang yang berjaya".Inilah sumber inspirasi untuk saya terus menggerakkan usaha dakwah biarpun cacian dan herdikan yang terpaksa saya terima saban waktu.

Bila ditelusuri peristiwa dan impak penghijrahan Rasulullah S.A.W. dari Mekah ke Madinah, maka ia diperakui oleh para cendekiawan Islam sebagai peristiwa yang cukup besar erti dan maknanya dalam sejarah Islam.Perkara ini telah pun disepakati di dalam muktamar para sahabat yang mulia, dipengerusikan oleh Saidina Umar al-Faruq.Al Imam Ibnu Kathir di dalam Sirah al-Nabawiyyah merakamkannya ketika para sahabat radiallahu alaihim bertemu bagi membincangkan asas tahun dalam taqwim Islam, ada dikalangan para sahabat mencadangkan asas tahun Islam bermula dari tahun kelahiran Baginda. Ada juga mencadangkan tarikh bi'thah(kebangkitan) kerasulan Baginda, malah ada juga sahabat mencadangkan tarikh kewafatan Baginda dijadikan asas tahun Islam. Namun akhirnya, Allah SWT menetapkan pada pendirian Saidina Umar r.a dan disepakati oleh para sahabat, " Kita tetapkan tarikh taqwim Islam ini, pada tahun Hijrah Baginda SAW!".

Signifikan

Mengapa tahun hijrah ini yang dijadikan asas taqwim Islam? Apakah signifikan dan besarnya peristiwa hijrah? Dalam hal ini, teringat saya ungkapan seorang pemikir Islam yang terkenal iaitu Syed Abul Hassan al-Nadwi yang menyatakan bahawa, "Apabila tarikh Islam tidak bermula dengan kemenangan Islam dalam peperangan, begitu juga dengan kelahiran dan kewafatan Nabi Muhammad SAW serta turunnya Wahyu. Tarikh Islam bermula dengan Hijrah, atau pengorbanan demi kebenaran dan demi memelihara wahyu yang diturunkan. Ia sebenarnya satu pilihan yang diilhamkan oleh Tuhan. Allah SWT ingin mendidik manusia bahawa pergelutan antara kebenaran dan kejahatan adalah kekal abadi. Tahun Islam tidak mengingatkan umat Islam pada setiap tahun akan kemegahan dan kegemilangan Islam, tetapi pengorbanan mereka dan mempersiapkan mereka melakukan pengorbanan yang sama."

Memang benar, hijrah adalah puncak pengorbanan Rasul SAW dan para sahabat. Kesedihan dan pengorbanan ketika meninggalkan kota Mekah yang dicintai bererti meninggalkan tanah tumpah darah, sanak saudara dan harta demi satu matlamat iaitu demi Islam. Kecintaan Baginda terhadap Mekah dan seisinya diketepikan atas arahan Allah SWT, hingga BagindaSAW menitiskan air matanya yang mulia, seraya berkata : "Sesungguhnya kamu adalah negeri yang paling saya cinta, jika penduduk kamu tidak mengusirku nescaya aku tidak akan keluar".

Namun,apa yang ada disebaliknya pengorbanan ini? Mengapa Baginda Nabi SAW sebagai kekasih Allah SWTdan para sahabat yang diiktiraf sebagai generasi terbaik ini dituntut oleh Allah SWT memberikan pengorbanan demi pengorbanan yang tak kunjung padam. Indahnya ungkapan Dr. Aidh Abdullah al-Qarni dalam Qissatul Risalah " Untuk mendapatkan kemuliaan darjah kenabian secara haq, untuk menaiki tangga kesempurnaan yang sebenar dan menjadikan Baginda pemimpin orang-orang yang diberi cubaan dengan kemampuan yang dimiliki serta menjadi imam bagi orang yang sabar tanpa dapat disaingi. Engkau, wahai para pendakwah, jika kamu dihadapkan dengan kata nista dan cacian, maka ketahuilah tauladan kamu Nabi Muhammad SAW telah dilontarkan kepadanya beratus kata yang menyakitkan dan melukakan hati, jiwa dan perasaan Baginda SAW. Seratus kata, malah seribu kata yang lebih dahsyat jika dibandingkan dengan libasan pedang dan lontaran anak panah. Ini semua untuk harga demi diri, kemuliaan dan kesuciannya.'

"Janganlah berdukacita, sesungguhnya Allah SWTbersama kita"

Inilah kata-kata keramat yang mengiringi perjalanan Nabi Muhammad SAW dan Abu Bakar r.a sepertimana yang telah difirman Allah SWT dalam surah Al-Taubah ayat 40 yang bermaksud : "..Janganlah Engkau berdukacita, Sesungguhnya Allah SWTbersama kita.."

Imam Ibn Kathir rahimahullah membawa sebuah hadis riwayat dari Imam Ahmad dari Anas bahawa Abu Bakar r.a berkata : 'Seandainya mereka melihat bekas tapak kaki kita, pasti mereka akan temui kita.' Tetapi dijawab oleh Baginda SAW" Wahai Abu Bakar, jangan kamu sangka kita hanya berdua, sesungguhnya Allah SWT adalah yang ketiga ( bersama-sama kita )". Inilah kata-kata yang mententeramkan hati saidina Abu Bakar r.a yang mendapat gelaran "Al-Siddiq" yang bermaksud, " membenarkan". Kepercayaan mutlak dan kefahamannya kepada ayat-ayat Allah SWT tiada taranya di kalangan para sahabat.Sememang beliau sangat layak digelar dengan gelaran tersebut.

Perjalanan

Sememangnya perjalanan hijrah itu adalah perjalanan suci yang bermula kerana Allah SWT dan untuk Allah SWT. Oleh kerana itulah, perjalanan Baginda di penuhi keyakinan kepada jaminan dan perlindungan Allah SWT. Bermula dari konspirasi jahat dan kepungan pahlawan-pahlawan Quraisy yang mahu membunuh Baginda, gerak kerja yang diilhamkan Allah SWT kepada si merpati yang hinggap membuat sarang di gua Tsur sehingga tersungkurnya Suraqah ibnu Malik yang berkeinginan membolot sejumlah kemewahan dan ganjaran. Semuanya itu adalah bukti perjalanan suci ini mendapat jaminandan lindungan dari Allah SWT.

Maka tanyakan pada diri kita, adakah perjalanan kita yang panjang di muka bumi ini bermula kerana Allah SWT dan untuk Allah? Berapa kalikah di saat kita kesempitan dan kekurangan tiba-tiba datang pertolongan Allah SWT?.Berapa banyak musibah dan ujian Allah didatangkan kepada kita lantas kita memohon pertolongan Allah SWT? Berapa kalikah perpecahan Melayu Islam berlaku kita seru dan laungkan semula untuk bersatu atas nama Allah SWT? Demikianlah Hijrah datang untuk bertanya soalan demi soalan saban tahun untuk kita jawab.

Halangan dalam menghayati roh hijrah

Sebagai penerus kesinambungan perjuangan para rasul dan salafussoleh dalam merealisasikan roh dan semangat "hijrah", sudah pasti kita mengatur dan menyusun perancangan agar kerja-kerja agama ataupun seumpamanya seiring dengan semangat dan ruh hijrah. Namun, saya menyedari bahawa halangan terbesar adalah kegagalan kita menangani gangguan makhluk Allah SWT yang bernama iblis dan syaitan yang senantiasa menggagalkan usaha murni kita terhadap agama. Semangat yang berkobar-kobar untuk agama boleh tersekat dek kerana makhluk Allah SWT yang dilaknat ini. Apakah kita lupa firman Allah SWT dalam surah An Nisa' ayat 117 yang bermaksud "Yang dilaknati Allah SWT dan syaitan itu mengatakan saya benar-benar akan mengambil dari hamba-hamba Engkau bahagian yang sudah ditentukan (untuk saya), dan aku benar-benar akan menyesatkan mereka, dan akan membangkitkan angan-angan kosong pada mereka dan akan menyuruh mereka (memotong telinga-telinga binatang ternak), lalu mereka benar-benar memotongnya, dan akan aku suruh mereka (merubah ciptaan Allah), lalu benar-benar mereka merubahnya. Barangsiapa yang menjadikan syaitan menjadi pelindung selain Allah, maka sesungguhnya ia menderita kerugian yang nyata. Syaitan itu memberikan janji-janji kepada mereka dan membangkitkan angan-angan kosong pada mereka, padahal syaitan itu tidak menjanjikan kepada mereka selain dari tipuan belaka".

Hijrah secara realitinya sudah tidak berlaku, namun semangat dan ruhnya mesti dipertahankan oleh umat Islam keseluruhannya.Ini selaras dengan sabda Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Al Imam AlBukhari dari Ibnu Abbas r.a. bahawa Nabi SAW bersabda pada saat hari Pembebasan Mekah "Tidak ada lagi hijrah, akan tetapi yang tetap ada adalah jihad dan niat. Maka bila kamu diperintahkan berangkat (berperang) maka berangkatlah". Ini bereti bahawa sebarang bentuk penghijrahan dari Mekah ke Madinah sudah tidak lagi diwajibkan, namun yang diwajibkan adalah roh dan semangat hijrah itu sahaja. Umat Melayu Islam di tanah air tercinta ini mesti berjihad mempertahankan Islam sepertimana yang tercatat dalam perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan " Islam agama bagi Persekutuan, mana-mana agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai dimana-mana bahagian Persekutuan".Perkara ini telah menawarkan posisi yang cukup istimewa kepada Islam. Sekalung ucapan terima kasih kepada para pemimpin terdahulu yang telah bertegas mengadakan peruntukan ini bagi menjamin kedudukan Islam tetap utuh di negara ini.Saya amat mengharapkan agar tidak wujud suara-suara sumbang dan gerak kerja songsang untuk menggugurkan perkara ini demi meraut keberuntungan sementara dan kegilaan mengumpul pengikut yang ramai. Berjihad mempertahankan Islam bererti bersungguh-sungguh mengangkat martabat bangsa dan agama kita di mata dunia, apatah lagi sikap, perwatakan dan gaya hidup yang berorientasikan Islam menghiasi tubuh dan hati anak bangsa.

Di mana salahnya ketuanan Melayu?


Berbagai pihak memberikan pandangan mengenai ketuanan Melayu. Saya fikir semua faham, tetapi sengaja buat-buat tidak faham. Istilah ketuanan Melayu langsung tidak ada kaitan antara hubungan tuan dan hamba. Melayu bukan tuan, bukan Melayu bukanlah hamba.

Ketuanan Melayu sekadar istilah atau identiti menunjukkan bahawa bumi ini adalah kepunyaan orang Melayu asalnya, itu sahaja. Bacalah artikel dan pendapat siapapun, itulah rata-rata jawapannya, kecuali pandangan MCA dan sekutunya. Hanya mereka yang ultra kiasu sahaja yang memberikan jawapan sebaliknya. Apa yang saya tahu inilah adalah percubaan halus untuk menghapuskan apa juga identiti negara ini yang berkaitan dengan Melayu.

Dalam buku teks sejarah sekolah menengah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (2004), ketuanan Melayu didefinisikan sebagai semangat cinta akan apa sahaja yang berkaitan dengan bangsa Melayu seperti hak politik, bahasa, kebudayaan, warisan, adat istiadat dan tanah air. Semenanjung Tanah Melayu dianggap sebagai tanah pusaka orang Melayu. Jadi, dimanakah salahnya istilah ini? Berdasarkan kepada definisi ini jelas menunjukkan bahawa semua bangsa mempunyai ketuanan masing-masing. Bezanya cuma, ia tidak disebut sahaja ketuanan Cina atau ketuanan India, namun perjuangan dan apa yang mereka perolehi menampakkan segala.

Saya amat pelik bagaimana ada pemimpin Melayu boleh begitu anti dengan istilah tersebut walhal dulu semasa berada dalam UMNO, tidak pun istilah ini diungkit atau ditentang. Malah, saya yakin jika mereka masih berada dalam UMNO, istilah ini akan dipertahankan bermati-matian. Cepat sungguh mereka berubah bagi mendapatkan laba politik.

Jika perkataan tuan itulah yang menjadi masalah, maka saban hari kita adalah hamba, sebab dalam urusan rasmi dan surat-menyurat panggilan tuan atau puan sudah merangkumi semua golongan dan pangkat, sama ada yang bergelar atau tidak bergelar. Panggilan tuan sudah sebati dengan masyarakat negara ini. Selaku pensyarah di institusi akademik pertahanan, panggilan tuan adalah lumrah. Jika sedemikian elerginya panggilan tuan bermakna, saya adalah tuan setiap hari, manakala pegawai kadet adalah hamba sepanjang masa. Bila berbahasa dengan raja, kita gunakan tuanku - patik. Dahulu sesama kita menggunakan perkataan tuan-hamba. Panggilan tuan sekadar panggilan hormat, tidak ada maksud lain.

Sebab itu, saya sentiasa menyeru segelintir bukan Melayu, terutama MCA, Gerakan dan DAP, cuba memahami adat budaya Melayu daripada orang lain, kerana ia lebih membawa makna untuk masa depan negara daripada terlalu bongkak. Orang Melayu yang saya kenali begitu menghormati bukan Melayu. Kebanyakan bila mereka bercakap dengan bukan Melayu, tiba-tiba pelat atau bunyi (accent) mereka berubah seperti pelat bukan Melayu berbahasa Melayu, sehingga bahasa Melayunya menjadi caca merba.

Benar, surah al-Hujurat ayat 13, Allah menjelaskan semulia-mulia manusia berbilang bangsa di kalangan kamu adalah iman dan takwa. Tetapi manusia tetap ada bangsa yang diciptakan untuknya. Maka, ia perlu dipelihara dan dijaga. Justeru, di mana salahnya istilah ketuanan Melayu? Negara lain tidak perlu mengungkapkan istilah ketuanan kerana nama negara mereka sudah cukup mencerminkan bahawa mereka adalah tuan asal negaranya, seperti Cina, India, Vietnam, Siam, Nyanmar dan sebagainya. Tetapi tidak Malaysia. Tanah Melayu telah bertukar nama. Singapura telah bertukar kepada Singapore. Identiti Melayu telah hilang. Maka sebagai tanda identiti, istilah ini digunakan.

Apakah dengan istilah ini menimbulkan masalah kepada bangsa lain? Dengan makna, diskriminasi menjadi-jadi, orang bukan Melayu terus merempat? Apa yang kita lihat, semakin lantang UMNO mahu kekalkan ketuanan Melayu, dasar UMNO semakin terbuka. UMNO ditekan kiri kanan, depan dan belakang, sehingga tidak dapat bernafas. Tuntutan demi tuntutan bukan Melayu terus dipenuhi dan peluang terbentang luas, sehingga orang Melayu sudah tidak mampu untuk mengejarnya.

Kenapa isu ini hendak dipolitikkan dengan mengaitkan dengan ketuanan Allah, ketuanan rakyat dan sebagainya. Sebenarnya tidak ada kaitan. Inilah akibat apabila kita melihat sesuatu bukan daripada bidang kepakaran atau sejarah. Semua mahu bercakap. Maknanya, istilah ini terdedah kepada pandangan semua orang. Sudah tentu mereka akan memilih sesuatu yang menyebelahi mereka. Kita tidak menggunakan ketuanan Allah kerana perkataan tuan itu tidak sesuai untuk Allah, maka kita gunakan Maha Esa atau Maha segalanya untuk Allah.
Feudal
Justeru, raja dirujukkan sebaga Duli Yang Maha Mulia. Ia hanya satu ungkapan kemuliaan raja. Jangan pula ada yang menuduh saya syirik nanti. Sebenarnya, istilah maha ini hanya untuk Allah, tetapi disebabkan oleh budaya feudal Melayu taat dan memuliakan kepada raja, maka istilah maha itu sebenarnya merujuk kepada tuan. Justeru, ketuanan raja tidak perlu dibahaskan kerana telah diterima seperti termaktub dalam Perlembagaan.

Oleh kerana semua raja adalah kerabat keturunan Melayu sebagai identiti, maka adalah tidak salah istilah ini dipanjangkan kepada ketuanan Melayu. Orang Melayu boleh atau layak menjadi raja jika keturunan raja sudah tidak ada atau putus. Seperti di China dan di India, apabila jatuhnya institusi perajaan, maka sistem pemerintahan berubah. Raja tetap wujud cuma nama sahaja yang berbeza. Lagipun semua manusia bermula dengan manusia biasa. Istilah raja digunakan merujuk mereka yang menjadi pemimpin pada satu-satu ketika dan seterusnya diwarisi oleh keturunannya. Raja dan kerajaan sudah sinonim. Raja adalah pemerintah kerajaan. Bagi negara yang tidak mempunyai raja, maka pemimpin nombor satu dirujuk sebagai Presiden atau Perdana Menteri.

Kepada mereka yang faham sejarah, istilah ketuanan Melayu ini merujuk kepada kerajaan negara ini pernah diperintah Sultan dan Raja-Raja Melayu, yang merupakan tuan kepada Tanah Melayu. Begitu juga dengan istilah negeri-negeri bersekutu dan tidak bersekutu ada sejarahnya tersendiri yang perlu dikaji dan difahami secara tersurat dan tersirat, serta kaitannya dengan ketuanan Melayu. Pendek kata, sultan dan Raja-Raja Melayu adalah simbol kepada ketuanan Melayu di negara ini.

Sejarah membuktikan juga bahawa ketika kebangkitan nasionalisme pada tahun-tahun 1800-an dan 1900-an, hanya orang Melayu sahaja yang bangkit menentang penjajah, walaupun ketika itu Tanah Melayu sudah bermasyarakat majmuk. Melayu berjuang membebaskan tanah air daripada belenggu penjajah bukan demi kepentingan Melayu semata-mata, tetapi demi agama tercinta. Sama juga di Mesir pada tahun 1882, muncul gerakan pemulihan Islam di Mesir untuk membangkitkan kesedaran di kalangan umat Islam bagi membela kedaulatan bangsa dan agama. Gerakan ini dipelopori oleh Sheikh Muhammad Abduh. Pelajar-pelajar Tanah Melayu di Mesir ketika itu seperti Sheikh Mohd Tahir Jalaluddin Al-Azhari dan Syed Sheikh Al-Hadi menerima pengaruh ini dan menyebarkannya di Tanah Melayu bagi membela nasib bangsa dan agama. Keadaan tidak banyak bezanya berlaku di Indonesia. Pendek kata, tidak salah mempertahankan ketuanan bangsa selagi mana tujuan untuk menjamin kesejahteraan agama.

Suara Raja Melayu


Dalam tempoh empat hari, tiga Raja Melayu bersuara. Nada ketiga-tiga raja kita itu tegas dan mesejnya jelas kepada semua. Pada 5 Disember, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah melahirkan rasa sedih dengan perbuatan mencuit hak orang Melayu yang nampak ketara dan banyak sangat sekarang. ‘‘Melayu tidak minta lebih, cuma apa yang kita ada kena jaga,’’ titah baginda dalam wawancara Mingguan Malaysia, Ahad lalu.

Pada sambutan Maal Hijrah Negeri Perak, 7 Disember, Sultan Perak, Sultan Azlan Shah bertitah, orang Melayu yang mempertikaikan status agama Islam dan hak keistimewaan Melayu di negara ini telah menghina dan menderhaka terhadap bangsanya.

Sehari selepas itu, Sultan Johor mahu orang Melayu bermuhasabah diri dan segera kembali ke pangkal jalan bagi mempertahankan kedaulatan Melayu. Ketiga-tiga peringatan tersebut menjadi berita utama di muka depan Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia.

Apa yang disuarakan oleh Raja-Raja Melayu ini amat bertepatan pada ketika kedudukan Melayu makin diasak. Semua ini angkara muslihat golongan kaduk naik junjung yang berhasrat menjadikan Malaysia negara republik suatu hari nanti. Golongan tersebut kian membesar dan membentuk gelombang yang kuat. Semua tahu bahawa ada pemimpin pembangkang Melayu yang membuka pintu pengkhianatan untuk kepentingan politik diri sambil membawa keuntungan besar kepada kaum tertentu.

Maka Awang menjunjung kasih kepada Raja-raja Melayu yang tampil ke hadapan untuk membantu menyelamatkan kedudukan Melayu. Sejak merdeka, tidak pernah rasanya institusi raja kita sebegini lantang. Ternyata senario pasca Pilihan Raya Umum ke-12 yang begitu berisiko kepada masa depan umat Islam, tidak lagi boleh diambil mudah.

Titah Sultan Perak perlu dijadikan pemula kejutan. ‘‘Adalah menjadi tanggungjawab Raja-Raja Melayu bersama umat Islam dan orang Melayu di bumi ini, untuk terus mempertahankan segala hak dan keistimewaan Islam dan orang Melayu daripada sebarang usaha menghakisnya.’’ Awang sudah lama sahut dan bangkit. Sesungguhnya, ia adalah semboyan untuk umat Islam dan orang Melayu. Kita tiada pilihan melainkan bersatu. Apa lagi...

Namewee lagi...


Sekali lagi Wee Meng Chee atau Namewee yang pernah beberapa kali menghina Islam dan Melayu, menjadi perhatian ramai.

Pertemuannya dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Nazri Aziz di bangunan Parlimen dengan berpakaian ala rap (baju t, seluar jean, jaket hitam serta penutup kepala) mencetuskan kemarahan dan rasa tidak senang banyak pihak.

Banyak pengendali blog naik angin kerana Namewee mendapat keistimewaan sedangkan rakyat biasa lain kena mematuhi peraturan berpakaian jika memasuki bangunan Parlimen.

Apa istimewanya beliau? Itulah persoalan yang dibangkitkan oleh orang ramai. Setelah beberapa kali mencetuskan kemarahan umat Islam, Namewee bukan sahaja tidak didakwa (seolah-olah mempunyai imuniti) malah dijadikan ikon.

Untuk apa pula seorang menteri mahu memberi perhatian luar biasa dan bantuan kepada seorang yang menggugat keharmonian negara? Ramai lagi siswazah menganggur terdiri daripada semua kaum dan anak muda yang kreatif dalam seni, yang wajar diberi pembelaan, bukannya si biadap dan kurang ajar. Kalau begitu, untuk apa menjadi warga negara yang baik dan bertanggungjawab jika ‘penyangak’ juga yang mahu dijulang.

Awang bukan mahu berbalah dengan Nazri. Beliau tetap sahabat Awang dan seorang yang diakui mempunyai karisma serta kekuatan tersendiri. Yang baik diakui dan dipuji, yang tidak kena, mesti disanggah dan ditegur. Suara majoriti rakyat tidak boleh diambil mudah.

Sebenarnya ramai yang terkejut apabila Namewee dianggap tidak bersalah atas penghinaan dan hasutan yang dilakukan. Awang pun sudah tidak larat geleng kepala apabila menyentuh tentang pemuda itu. Kalau di Singapura, kes Namewee (apatah lagi berulang kali melakukan hasutan) sudah lama dibereskan.

Isu terbaru melibatkan beliau, telah memberikan isyarat yang salah dan bercelaru kepada masyarakat. Malah keresahan umat Islam dan orang Melayu berkaitan cara isu Namewee ini ditangani, semakin meluap-luap.

Awang yakin Perdana Menteri, Mohd. Najib Tun Razak tidak akan mengikut rentak Nazri memberi keistimewaan kepada pemuda itu yang kononnya meminta kerajaan membiayai pembikinan video 1Malaysia. Untuk permohonan itu disampaikan ke meja perbincangan kabinet pun tidak layak. Banyak lagi permohonan rakyat, yang kabinet perlu beri keutamaan dan tumpuan.

Kepada Namewee, beliau perlu terlebih dahulu memohon maaf secara terbuka dan berjanji tidak mengulanginya lagi. Jika beliau tiada kesanggupan untuk berbuat demikian, berhijrahlah ke negara lain yang dirasakan jauh lebih baik daripada tanah air ini. Jangan jadi musuh dalam selimut....

Apabila Melayu khianati Melayu



TREBEST PLUS CAPSULE - HEBAT !!! HUBUNGI 010-9165803 EN. HUSSEIN dan KLIK GAMBAR PRODUK DI ATAS