Ketika bertitah pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Datuk Setia kepada Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam, Khamis lalu, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah memberi satu pesanan yang cukup bermakna. Baginda tidak mahu pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang baru diperbesarkan, dipolitikkan dan disensasikan.
Tiga perkataan tersebut membawa erti yang cukup besar dalam arena politik negara sejak pakatan pembangkang yang dianggotai oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas memperoleh kemenangan yang agak besar dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 2008. 'Diperbesarkan, dipolitikkan dan disensasikan' atau pendekatan 3D menjadi corak berpolitik mereka dalam usaha mencapai cita-cita menguasai negara.
Oleh itu, apa sahaja isu yang mereka lihat ada ruang untuk melaksanakan politik 3D tersebut, mereka akan lakukan. Pembangkang tidak peduli apa kesannya, apatah lagi sama ada tindakan mereka betul atau tidak. Apa sahaja isu yang boleh diperbesarkan, mereka perbesarkan, apa juga yang boleh dipolitikkan mereka politikkan dan apa hal yang boleh disensasikan, mereka sensasikan.