KUALA LUMPUR, 12 Feb – Pemimpin-pemimpin Umno dan PAS menegaskan hasrat untuk Umno dan PAS mewujudkan kerjasama politik yang “kukuh” tidak akan berjaya memandangkan kedua-dua parti itu mempunyai dasar perjuangan yang berbeza.
Bagaimanapun bekas menteri besar Negeri Sembilan Tan Sri Isa Samad berkata, Umno dan PAS boleh menjalin kerjasama dalam hal-hal tertentu terutamanya yang mempunyai kaitan dengan Perlembagaan Persekutuan.
“Kita kembali kepada tahun 80-an, 90-an di mana kita pernah cuba berbincang soal nak jadikan orang Melayu sebagai sebuah parti sahaja, satu perkara yang sukar.
“Sebab itu, kalau boleh Umno dan PAS dalam soal kepentingan orang Melayu termasuk apa yang ada dalam Perlembagaan Persekutuan itu, kita pertahankan bersama… itu sudah menjadi jaminan yang baik tanpa mengetepikan hak kaum lain yang juga terjamin dalam Perlembagaan (Persekutuan),” katanya.
