salam

Rabu, November 24, 2010

540 bayi diselamat


SUBANG JAYA: “Sehingga kini kita berjaya menyelamatkan 540 bayi daripada menjadi mangsa pengguguran atau pembuangan, sekali gus mengurangkan kadar statistik pembuangan bayi yang meningkat pada masa kini,” kata Yang Dipertua Rumah Perlindungan Baitul Fiqh, Juhaidi Yean Abdullah.
Juhaidi berkata, walaupun sejak ditubuhkan pada 2005 dan sehingga kini ada yang mencemuh Baitul Fiqh kerana dikatakan menyokong gejala sosial berkenaan, pihaknya beranggapan tanggungjawab menyelamatkan bayi dalam kandungan itu lebih penting.
“Kita menubuhkan rumah perlindungan ini bukan bermakna kita menyokong amalan gejala sosial yang berlaku, sebaliknya sebagai satu tempat untuk menyedar dan mendidik remaja.
“Jika kita biarkan mereka, seterusnya apa akan jadi pada mereka dan kandungan mereka… bukankah kita sebagai masyarakat patut membantu dan sama-sama menyedarkan mereka supaya ia tidak lagi terus berulang dan berleluasa,” katanya ketika ditemui dalam program Berkongsi Kasih anjuran Wirawati Perkasa Malaysia baru-baru ini.
Program berkenaan turut dihadiri Timbalan Presiden Perkasa, Datuk Abdul Rahman Bakar dan Ketua Penerangan Perkasa, Roslan Kasim.
Jelas Juhaidi, selaras dengan usaha menyelamatkan dan membantu remaja yang terlanjur hingga mengandungkan anak luar nikah, pihaknya juga kini dalam perancangan untuk memindahkan pusat operasi Baitul Fiqh dari Subang Jaya ke Jalan Ledang, Kuala Lumpur.
Katanya, pemindahan yang dijangka dilakukan selewat-lewatnya pertengahan tahun depan bagi membolehkan lebih ramai remaja bermasalah mendapat perlindungan sewajarnya hingga melahirkan anak.
“Sebenarnya kita banyak menerima kes remaja hamil anak luar nikah bagi ditempatkan di Baitul Fiqh, namun disebabkan kekurangan tempat, kita tidak dapat menerima ramai mereka kerana faktor kawasan yang sempit.
“Sehingga kini, kita hanya mampu menerima 20 orang tetapi, di kawasan baru ini ia boleh memuatkan sehingga 100 orang pada satu-satu masa yang pastinya membolehkan lebih ramai remaja dilindungi dan lebih banyak kandungan dapat diselamatkan,” katanya.
Justeru, pihaknya juga berharap lebih ramai sukarelawan dapat tampil membantu.
Oleh MOHD AZAM SHAH YAACOB
mohdazam@hmetro.com.my

Anak tetak ibu hingga mati


PEKAN 9 Nov. – Entah apa yang merasuk dirinya, seorang pemuda dipercayai menuntut ilmu sesat tergamak menetak sehingga mati ibu kandungnya di kepala menggunakan kapak di rumah mereka di Felda Chini Timur 1 di sini, semalam.

Kejadian menyayat hati pukul 10.30 malam itu berlaku ketika mangsa, Che Wa Isa, 57, sedang mengangkat kain jemuran di beranda rumahnya.
Che Wa yang mengalami pendarahan serius akibat tetakan itu sehingga terkeluar cebisan otaknya meninggal dunia sejurus tiba di Hospital Pekan di sini.
Ketua Polis daerah, Supritendan Yahaya Othman berkata, semasa kejadian, suami Che Wa dan anak bongsu mereka sedang berada di dalam rumah.
Katanya, suspek berusia 23 tahun yang berada di beranda tiba-tiba meluru ke arah ibunya lalu menetak kepala Che Wa dengan kapak pemotong buah sawit.
“Suspek melarikan diri sebelum polis berjaya memberkasnya di sebuah pondok di belakang rumah jirannya, kira-kira 50 meter dari lokasi kejadian.
“Turut ditemui kapak besi yang digunakan untuk menetak ibunya,” katanya di sini hari ini.
Menurut Yahaya, hasil soal siasat mendapati suspek dipercayai telah menuntut ilmu sesat sehingga mempunyai niat untuk membunuh ibunya.
“Suspek memberitahu ibunya itu telah lama mati dan hanya tinggal jasad yang dihantui saka dan santau. Dia juga menganggap dirinya umpama toyol,” katanya.
Beliau berkata, ujian air kencing juga mendapati suspek yang merupakan anak ketiga daripada empat beradik itu didapati positif dadah jenis ganja.
Yahaya menambah, kes itu disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan siasatan lanjut masih lagi dijalankan.

Memahami kedudukan Perkasa


July 30 — Setelah “perang mulut” antara presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali dan Timbalan Menteri Pelajaran Dr Wee Ka Siong mula reda, badan sukarela bukan kerajaan (NGO) Melayu itu telah mendapat kecaman pula dalam sidang Dewan Negara Selasa yang lalu. Kecaman itu disuarakan oleh Senator Datuk Daljit Singh dari MIC.
Daljit Singh menuduh “Presiden Perkasa sentiasa membangkitkan isu-isu yang sangat sensitif dan menyakitkan hati masyarakat lain di Dewan Rakyat”.
Saya mendapat kesan bahawa kecaman (tuduhan) senator itu adalah satu kenyataan yang terlalu umum sifatnya dan sengaja dibuat untuk memberi gambaran seakan-akan kerja Perkasa hanya membangkitkan isu-isu yang sensitif dan menyakitkan hati orang bukan Melayu.
Sebagaimana sesetengah pihak yang senantiasa ghairah mengecam Perkasa, Daljit seakan-akan beranggapan apa sahaja yang dibuat atau disebut Perkasa adalah untuk menyakitkan orang bukan Melayu.
Beliau seakan-akan beranggapan bahawa tugas Perkasa hanyalah untuk melakukan provokasi dan ternyata Daljit tidak memahami hakikat bahawa kemunculan Perkasa yang sebenarnya adalah satu reaksi (bukan untuk melakukan provokasi) terhadap rasa keterpinggiran dan kebimbangan bangsa Melayu akibat kedudukan politik dan sosio-ekonomi mereka semenjak akhir-akhir ini semakin tercabar.
Sesungguhnya berikutan keputusan pilihan raya umum ke-12 yang lalu orang Melayu merasa bimbang dengan “kelesuan” Umno yang selama ini merupakan satu tenaga politik utama yang membela dan memperjuangkan kepentingan bangsa Melayu dari segala segi.
Di samping itu, sebahagian besar bangsa Melayu juga merasa keliru dan “terpinga-pinga” bila Pas dan PKR bersekongkol dengan DAP yang selama ini tidak henti-hentinya melakukan provokasi terhadap bangsa Melayu, malah ada antara pemimpinnya yang tidak segan silu menghina kedaulatan raja-raja Melayu.
Rasa keterpinggiran dan kebimbangan tersebut diungkapkan dengan tepat oleh mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri dalam Perhimpunan dan Sidang Kemuncak Pribumi Perkasa pada Mac 2009 di Kompleks Sukan TNB, Bangsar, Kuala Lumpur.
Sokongan yang diberikan terhadap pelbagai inisiatif Perkasa, kata Tun Mahathir, adalah kerana orang Melayu dan bumiputera lain berasa “dalam keadaan cemas, keadaan yang berbahaya, keadaan terancam.”
Seterusnya Tun Mahathir menegaskan: “Kenapa tidak? Kita kini diserang berkali-kali oleh berbagai pihak. Ramai daripada orang lain berkata Melayu adalah kaum pendatang. Melayu dituduh mengamalkan apartheid ala kulit putih Afrika Selatan. Melayu tidak adil, suka menidakkan hak kaum-kaum lain. Melayu sudah cukup kaya dan tidak perlu Dasar Ekonomi Baru lagi. Semua peluang perniagaan dan pelajaran diberi hanya kepada orang Melayu.
“Berhadapan dengan tuduhan dan tohmahan sedemikian, Melayu sekarang tidak boleh mempertahankan diri, bahkan tidak boleh bercakap berkenaan dengan bangsa mereka tanpa dituduh sebagai racist.
“Mereka harus terima sahaja semua tuduhan/tohmahan ini dan berdiam diri atau bersetuju sahaja. Sebenarnya orang Melayu sekarang berada dalam ketakutan, tidak mempunyai pemimpin yang sanggup pertahankan mereka.
Sebaliknya pemimpin mereka mengerohkan lagi keadaan dengan memohon maaf walau pun kesalahan dilakukan oleh orang lain,” tegas Tun Mahathir lagi.
Saya rujuk kembali ucapan Tun Mahathir tersebut sewaktu cuba hendak memahami “pemikiran” Senator Daljit Singh yang membuat tuduhan terhadap Perkasa yang dikatakannya “menyakitkan hati masyarakat lain.”
Kesimpulan saya ialah Daljit dan orang yang sefikiran dengannya, tidak tahu (dan tidak mahu tahu) betapa sakitnya hati orang Melayu bila diperlakukan seperti yang dihuraikan oleh Tun Mahathir itu.
Saya syak bahawa Daljit bercakap secara am dengan tujuan menjejaskan kredibilitti Perkasa dan Ibrahim Ali. Kerana itu, semasa dia berucap, saya mencelah dan meminta beliau memberi contoh-contoh yang spesifik.
Jawapan yang diberikannya dalam Dewan Negara itu ialah seperti berikut. Dengan menggunakan bahasa rojak mencampur adukkan bahasa kebangsaan dengan bahasa Inggeris, Daljit berkata: “Saya telah memberi satu daripada isu itu seperti kewarganegaraan kaum lain.
Ada banyak yang kita boleh bercakap dan selalu dikata-katakan, I am sure you read all the papers and I come to the Dewan Rakyat myself, I heard it myself in their issues.” Demikian tercatat dalam penyata rasmi persidangan (hansard) Dewan Negara.
Tersirat di belakang semuanya itu ialah kewibawaan dan kredibiliti Perkasa akan terus mendapat serangan daripada pelbagai pihak yang hendak menggodam Melayu.
Oleh kerana itulah bangsa Melayu mesti memahami kedudukan Perkasa dalam perspektif “sayang betul” agar bangsa Melayu tidak menjadi mangsa taktik – “pecah-pecah dan perintah” pihak-pihak tertentu.”
Firdaus Abdullah— Utusan Malaysia

Perlembagaan digugat?


August 22, Kenyataan Mufti Perak, Harussani Zakaria tentang ada ‘perlembagaan baru’ dibuat oleh pihak tertentu bagi menggantikan Perlembagaan Persekutuan, mengundang perhatian besar.
Beliau yang mempunyai bukti mengenainya mendakwa, perlembagaan baru itu menyisihkan hak orang Melayu dan agama Islam yang dijamin dalam perlembagaan sedia ada. Pendedahan Harussani berhubung perkara itu dianggap mengejutkan tetapi Awang sedikitpun tidak terkejut.
Awang pernah menulis dalam ruangan ini tahun lalu tentang usaha untuk menulis perlembagaan oleh parti politik tertentu. Ia dipercayai ada kaitan dengan persiapan untuk membawa Malaysia akhirnya menjadi Negara republik. Selagi perlembagaan tidak ditulis semula, selagi itu sukar untuk merungkai asas kenegaraan, bagi mengikut acuan gagasan parti pembangkang berkenaan.
Tulisan Awang telah mengundang tindak balas pihak berkenaan yang membuat laporan polis mengenainya. Ketika diambil keterangan oleh pegawai polis, Awang tidak berganjak dengan pendirian dalam tulisan itu. Kini satu demi satu terdedah. Yang kuat tersemat sebagai perkara tersirat mulai terbongkar menjadi perkara tersurat. Kalau Harussani mempunyai bukti mengenainya, banyak pihak lagi juga sesungguhnya sudah dapat menghidu gerakan yang sedang dilakukan berkaitan perlembagaan.
Antaranya kempen penerangan yang agresif oleh NGO pro-pembangkang atas nama mengetahui hak dalam perlembagaan tetapi sebenarnya bertujuan mendapatkan input bagi menilai semula perlembagaan. Begitu juga isu-isu berkaitan perlembagaan yang diolah secara tersirat oleh beberapa pihak dan ghairah pula disiarkan oleh akhbar bahasa ibunda dan portal berita tertentu. Malah ada akhbar berbahasa Inggeris turut terikut dengan agenda yang sama. Jika tidak percaya, lakukanlah kajian kandungan akhbar edisi-edisi yang lepas dan amatilah secara tajam apa yang dibaca mulai sekarang.
Ini meliputi isu-isu berkaitan Islam sebagai agama rasmi, kedudukan Raja-raja Melayu, bahasa Melayu, hak keistimewaan Melayu, kontrak sosial dan kepentingan institusi-institusi awam. Kalau dalam sebahagian blog, ia lebih ketara dengan diwarnai kempen dan sentiment Misi Ke Putrajaya iaitu bagi membantu parti sebuah kaum untuk memerintah negara selepas pilihan raya umum ke-13 nanti. Institusi raja, Islam dan kedudukan istimewa Melayu yang terlindung di bawah Perlembagaan negara, diperlekehkan dan dihina. Awang melihat ini semua sebagai ancaman keselamatan dan bimbang akan tiba saat ledakannya.
Maka sebarang pencabulan terhadap Perlembagaan negara perlu ditentang habis-habisan. Kepentingan kaum yang keterlaluan dan berbahaya tidak seharusnya dibiarkan mengatasi keunggulan Perlembagaan. Banyak pemimpin kaum minoriti di luar negara begitu menjunjung perlembagaan.
Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama misalnya, sejak di awal penglibatan dalam politik berikrar mempertahankan perlembagaan dan tidak pernah tergelincir daripada asas tersebut. Di negara-negara lain juga senarionya begitu.
Maknanya, apa sekalipun aliran dan perbezaan ideologi di kalangan parti-parti politik, perlembagaan sesebuah negara perlu dipertahankan oleh semua pihak tanpa mengira agama mahupun etnik. Tetapi sebahagian pemimpin pembangkang di negara ini tidak begitu. Mereka terlalu rasis dengan berselindung di sebalik demokrasi, kebebasan bersuara dan kononnya atas nama penambahbaikan kaum. Mainan muslihat untuk kaum mereka, begitu dahsyat.
Lebih memburukkan keadaan, ada pemimpin pembangkang Melayu yang bersama-sama berkongsi aspirasi itu demi memburu kuasa. Pemimpin Melayu itu hanya berdiam sahaja apabila perlembagaan negara dijadikan sasaran. Siapa pun kita, kita harus menjadi warga negara yang taat dan setia kepada negara. Maka Awang cabar parti-parti pembangkang untuk menyatakan ikrar menjunjung sepenuhnya perlembagaan negara. Jika berani dan bertanggungjawab, sahutlah.
Awang Selamat — Mingguan Malaysia

PERKASA


1. Saya ucap terimakasih kerana ramai yang melawat blog saya dan membuat komen menyokong atau menolak. Ramai juga yang bercakap berkenaan bahagian-bahagian Perlembagaan yang tidak boleh dipinda (entrenched). Tetapi ramai yang tidak ambilkira tentang peruntukan-peruntukan dalam Perlembagaan yang begitu adil. Tiada perlindungan bagi hak sesuatu kaum yang tidak diimbangi dengan hak kaum-kaum lain.
2. Demikian apabila agama Islam dijadikan agama rasmi negara Malaysia, susulan daripada itu perlembagaan memperuntukkan bahawa agama-agama lain boleh dianuti dan dipraktik oleh penganut-penganut agama berkenaan tanpa gangguan.
3. Apabila bahasa Melayu diterima sebagai bahasa rasmi negara, tetapi bahasa-bahasa lain boleh digunakan sebagai bahasa ibunda dan bahasa pengantar di sekolah-sekolah.
4. Apabila sekolah kebangsaan ialah sekolah yang mengguna bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar, sekolah-sekolah jenis nasional boleh mengguna bahasa Cina (bahasa kebangsaan China) dan bahasa Tamil (bahasa suku kaum Tamil).
5. Perlembagaan juga melindungi hak memiliki hartanah semua kaum supaya pengambilan tanah oleh Kerajaan tidak boleh dibuat tanpa pampasan.
6. Yang jelas ialah Perlembagaan Malaysia adil bagi semua kaum. Apabila keistimewaan diberi kepada satu kaum, kaum lain juga diberi keistimewaan dan dilindungi. Perkara yang harus diingati oleh semua ialah hak istimewa bukan bagi Melayu atau Bumiputera sahaja.
7. Perlembagaan boleh dipinda tetapi ianya hendaklah dengan persetujuan sekurang-kurangnya dua pertiga daripada ahli-ahli Dewan Rakyat. Demikianlah keahlian dewan dari segi agihan antara kaum, tidak mungkin mana-mana kaum dengan sendirinya meminda perlembagaan untuk menghapuskan hak istimewa Bumiputera atau bukan Bumiputera.
8. Berkenaan dengan Dasar Ekonomi Baru pula, agihan kepada Bumiputera hanyalah daripada bahagian ekonomi yang tumbuh dan tidak dengan merampas apa yang telah dimiliki bukan Bumiputera untuk diberi kepada Bumiputera.
9. Dalam pada itu raja-raja juga perlu memberi persetujuan jika kedudukan negeri-negeri mereka tersentuh.
10. Benarlah seperti kata Dato Seri Najib dalam mesyuarat Perhimpunan Agong UMNO bahawa tuntutan untuk meminda perlembagaan untuk melucutkan keistimewaan mana-mana kaum tidak mungkin dilakukan dan berjaya. Tuntutan ini hanya akan memburukkan hubungan antara kaum tanpa memberi manfaat kepada sesiapa.
11. Jika Perkasa dianggap rasis (dan saya juga rasis kerana bersekongkol dengannya) kerana mempertahankan hak keistimewaan orang Melayu, mereka yang bercadang untuk melucutkan hak orang Melayu tetapi tidak hak istimewa mereka sendiri tentulah bersifat rasis juga.
12. Hanya mereka yang bercadang melucutkan hak istimewa semua kaum sahaja yang tidak rasis.
Dr. Mahathir Mohamad

Nukilan Ketua Penerangan PERKASA


APA RUGINYA PARTI-PARTI POLITIK BERBAIK-BAIK DENGAN PERKASA DAN APA PULA UNTUNGNYA JIKA MEREKA MUSUHI PERKASA !!!!!
1) Sebagai sebuah badan NGO yang memperjuangkan kepentingan dan hak istimewa orang2 Melayu seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Negara maka Perkasa merasa terpanggil untuk turut sama berperanan dan sama-sama neyinsing lengan bagi menjadi benteng untuk mempertahankan hak tersebut agar tidak terus diambil dan dipindah milik oleh orang lain.Keahlian Perkasa adalah terbuka kepada semua orang2 Melayu di Semenanjung,Peribumi serta Bumiputra di Sabah dan Sarawak..Peranan yang dimainkan oleh Perkasa adalah lengkap melengkapi jika digandingkan dengan Parti Politik Khusunya UMNO dan PAS sebuah Parti yang ditunjang belakangi oleh orang2 Melayu dan Islam.,
2)Kita melihat dengan adanya persefahaman dan kerjasama antara parti2 Politik yang turut sama memperjuangkan nasib orang2 Melayu dan Islam serta Bumiputra dengan Perkasa akan memudahkan lagi masing2 pihak memainkan peranan tersebut.Perjuangan Perkasa merentasi batas2 kelompok,keturunan,darah mahupun daerah,malahan melampaui perbedzaan parti2 politik dan ideologi yang menjadi anutan mereka.Sebab itu kita dapati Perkasa sebagai sebuah badan NGO turut dianggotai oleh ahli2nya yang terdiri daripada ahli2 UMNO,PAS dan juga PKR.Dimana kita dapati antara lain Perkasa memainkan peranan sebagai badan pemersatu seluruh ummat Melayu dan Islam dan Bumiputra daripada pelbagai latar belakang dan ideologi politik.
3)Adalah menjadi rahsia umum bahawa ramai ahli umno malah ada yang berjawatan didalam parti baik diperingkat bahagian mahupun cawangan yang menjadi ahli Perkasa,malah bergerak begitu aktif dalam perkasa kerana pelbagai alasan spt kekangan oleh pimpinan peringkat bahagian dan cawangan terutama pemimpin yang takut dgn bayang2 mereka sendiri yang tidak begitu mengalu-alukan penglibatan mereka diperingkat bahgain.Jadi dgn persefahaman yang ada maka mereka tidak akan teragak agak dan tidak merasa serba salah utk bergerak dalam parti mahupun dalam Perkasa.
4)Saya yakin dengan Kerjasama dan persefahaman yg erat antara kedua belah pihak ini ianya tidak akan menghakis atau menjejaskan sokongan kepada mana-mana parti.kerana Perkasa adalah Perkasa,dan Perkasa bukan Umno,bukan Pas dan bukan PKR…Perkasa punyai identiti yang tersendiri..Ideologi dan idealisme yg diperjuangkan oleh sesebuah parti itu tidak akan luntur atau hilang dek kerana berbaik-baik dengan Perkasa…Malah ia akan semakin menebal dan mendalam kefahaman serta kecintaan dam iltizam mereka kepada ideologi yang diperjuangkan oleh ahli kedua dua badan tersebut,masing-masing ada pernanan dan kumpulan sasar serta saling bantu menbantu dan lengkap melengkapi antara satu sama lain.
5)Dalam erti kata yang lain sama ada secara sedar atau pun tidak dan sama ada secara terancang atau pun tidak Perkasa punyai pengaruh dan peranan dalam menentukan trend/pola dan aliran pengundian serta landskap politik dalam negara khususnya dalam menghadapi PRU KE13 akan datang..Berkawan dan berbaik baik dengan Pekasa bermakna langkah bijak untuk menentukan kelangsungan serta kesinambungan kuasa Politik yang akan terus didominasi oleh orang2 Melayu.Manakala menjauhkan diri apatah lagi mengambil sikap utk bermusuh dan memerangi Perkasa adalah langkah yang sumbang dan tempang serta natijahnya akan merugikan diri sendiri.
6)Oleh kerana Politik adalah ‘Game of Numbers’ jadi sudah tentulah utk menambahkan bilangan undi dan penyokong serta pendukung ideologi yg diperjuangkan maka sesebuah Parti Politik itu haruslah mengambil sikap untuk berkawan dan bersahabat dengan semua orang…bak kata pepatah berkawan biar beribu dan bermusuh biar satu.Janganlah dek kerana nak menjaga hati orang lain walaupun penuh dgn pelbagai kelainan dan perbedzaan baik dari segi Akidah mahupun Ibadah,Bahasa mahupun budaya,darah mahupun daerah maka rakan yang seagama,sebahasa,sebudaya,sebangsa,dan sekiblat,sama matlamat dan tujuan perjuangan sanggup diketepikan ibarat mendengar guruh dilangit air ditempayan dicurahkan yg mana kita khuatir akhirnya yang dikejar tak dapat dan yang dikendung pula berciciran…akhirnya mengalami nasib pak kadok menang sorak kampung tergadai.
7)Oleh itu sebelum nasi menjadi bubur maka marilah kaita bersatu, berpadu dan berbaik baik walaupun dalam kepelbagaian perbedzaan antara Parti Politik dan badan NGO..Iaini’ Bersatu dalam kepelbagaian’.Marilah kita mengamalkan sikap didalam perkara yg kita persetujui bersama.. ayuh sama2 kita menyinsing lengan turun kepadang dan dlm perkara yang kita mungkin berbedza kita amalkan sikap untuk kita bertolak ansur dan berkompromi. Marilah kita bermula dengan melihat dimana adanya titik2 pertemuan dan faktor2 yang boleh menyatukan kita dan persetankan serta ketepikan perbedzaan yg mgkin ada antara kita.
8)Oleh itu saya menyeru seluruh kepimpinan dan pendokong Parti-Parti Politik dan NGO yang sehaluan dasar perjuangan dengan perkasa,Marilah kita sama-sama dengan fikiran yang terbuka,berlapang dada,walaupun dengan semangat yang membara didada tetapi dingin dikepala merenung sejenak bahawa kita cuma berbedza dlm perkara2 ranting sedangkan ada banyak lagi perkara2 pokok yang kita maseh boleh bekerjasama.Kenapa kita besar2kan satu atau dua perkara ranting yang kita berbedza sedangkan berpuluh puluh lagi perkara besar dan pokok yang mana kita boleh bersama..Kita mgkin berbedza dari segi ‘approach’ atau pendekatan dan kita tetap sama dari matlamat dan tujuan…Kita mungkin berbedza dari segi wadah dan kita tidak berbedza dari segi akidah.Malah Kita juga faham akan tetap ada perbedzaan antara kita sebab rambut sama hitam tapi hati lain-lain.
9)Bersama-samalah kita merenung kata-kata para hukamak bahawa ‘berbedza pendapat itu adalah teman untuk kita berfikir’.Kita dizinkan untuk berbedza pendapat dalam batas-batas dan adab-adab yang dibenarkan dan kita harus pula tahu untuk menguruskan perbedzaan tersebut…Kesimpulannya ialah Tidak ada ruginya jika Parti Politik berbaik-baik dengan Perkasa dan tidak pula ada untungnya jika mereka menjauhkan diri atau mengambil sikap untuk bermusuh dengan Perkasa.
TK.Wassalam.
Ruslan Haji Kasim,
Ketua Penerangan
Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara.

Perjuangan PERKASA Bagaikan Ombak Tak Bertepi


1. Tidak ada apa salahnya PERKASA kerana apa yang diperjuangkan adalah mempertahankan perkara 153 yang telah tertulis di dalam perlembagaan. Sesiapa sahaja yang membuat tuntutan melebihi perkara 153 itu atau mencabarnya baik bukan Melayu atau Melayu sendiri akan ditentang. Kalau nak ubah sangat perkara 153 itu dapatkan lah majoriti 2/3 di Parlimen dan mendapat perkenan daripada Yang Dipertuan Agung serta persetujuan orang Melayu maka terpindalah perkara 153 itu. Pada hal perkara 153 itu dilindungi oleh ISA tetapi undang2 negara sekarang sudah jadi cacar marba. Kita beriya-iya mempertahankan ISA tetapi bila sudah sampai masa untuk digunakan maka tidak digunakan. Jikalau begitu hapuskan saja ISA supaya tidak menyakitkan hati rakyat yang menyokongnya.
2. Disebabkan undang-undang sedia ada tidak digunakan tepat pada waktunya maka perkara 153 sudah boleh dibahas di mana-mana oleh sesiapa saja sedangkan kebanyakkannya tidak ambil tahu tentang sejarah kewujudannya di dalam perlembagaan. Maka dimana letaknya kedaulatan undang-undang dan kemuliaan perlembagaan itu?
3. Belum pernah berlaku perkara-perkara sensitif dibahaskan secara terbuka dinegara ini tanpa sekatan dan tidak ramai yang tahu bahawa membincangkan perkara 153 secara sewenang-wenangnya dan semborono adalah satu kesalahan menghasut. Jadi salah siapa jika keadaan yang tidak tenteram ini berlaku?
4. Kerajaan sebagai pemegang kuasa wajar menyekat perkara ini dengan segera walaupun agak terlewat ,bukannya membiarkan sehingga menjadi nanah dan barah.Rakyat semakin hari semakin gelisah.
5. Jangan salahkan PERKASA kerana PERKASA mempertahankan perkara 153 itu disebabkan tidak ada pihak yang cuba mempertahankannya kerana masing-masing berebut undi. Jika kerajaan dapat mencegah lebih awal tentu PERKASA tidak selantang sekarang. Keadaan tentu akan menjadi lebih tenteram.
6. SU UMNO jangan salahkan PERKASA kerana PERKASA telah ambil alih kerja UMNO yang sepatutnya SU UMNO yang uruskan. Bukan asyik menjaga hati kawan-kawan Cina dan Indianya tetapi sepatutnya beliau menjaga keluhuran perlembagaan itu lebih utama.
7. Kedaulatan undang-undang dan keluhuran perlembagaan di dalam rukun negara sudah dicampakkan ke dalam tong sampah oleh kebanyakan rakyat. Jika Rukun Negara itu dicipta untuk perpaduan maka sekarang menunjukkan perpaduan rakyat berada ditahap kritikan apabila undang-undang dan perlembagaan sudah dipermain-mainkan dan dipersenda-sendakan.
8. Waktu yang terdekat, PERKASA sewajarnya jangan gentar kerana tidak ada apa-apa kesalahan undang-undang yang dilanggar malah PERKASA mengangkat undang-undang itu di tempat sewajarnya kerana bukankah perlembagaan negara itu adalah undang-undang tertinggi negara.


Amir Hamzah
Batu Pahat

Keistimewaan Melayu adalah hak


Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan mengiktiraf hak istimewa orang-orang Melayu. Ia hendaklah ditafsir menurut sejarah dan falsafah yang ada di sebalik kewujudannya. Ini kerana peruntukan itu wujud dengan nilai, sejarah dan falsafah yang tertentu. Mungkin ada pembaca yang tidak bersetuju dengan apa yang saya katakan ini. Mereka mungkin berkata, perubahan masa dan keadaan menuntut perubahan kepada budaya, keadaan sosial dan falsafah Perlembagaan negara. Walau apa pun, saya amat yakin bahawa majoriti masyarakat Melayu menganggap keistimewaan ini sebagai hak dan mereka inginkan nilai, sejarah dan falsafah kewujudan Perkara 153 diambil kira dalam membuat tafsirannya.
Amat menyedihkan apabila orang Melayu yang mendapat manfaat daripada Perkara 153 sendiri telah mentafsir peruntukan ini dengan menafikan “hak” orang Melayu. Atas apa alasan sekalipun ulasan atau tafsiran terhadap Perkara 153 dibuat, ia amat tidak adil kepada orang Melayu.
Hakikatnya, Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, yang menjadi asas kepada kedudukan istimewa orang Melayu telah dikategorikan sebagai perkara sensitif. Mempersoalkan kedudukannya sehingga mencadangkan supaya ia dilupuskan daripada Perlembagaan secara perundangannya dikategorikan sebagai satu hasutan. Peristiwa berdarah 1969 juga mempunyai kaitan dengan Perkara 153. Atas alasan kestabilan negara, perkara berkaitan keistimewaan Melayu diberi perhatian serius dan diklasifikasi sebagai perkara sensitif. Walaupun pendakwaan jarang sekali dilakukan berkaitan perbuatan mempersoalkannya, peruntukan berkaitan amat jelas wujud di dalam Akta Hasutan.
Keistimewaan yang diberikan kepada orang Melayu bukan perkara baru. Ia adalah antara menu utama dalam pembentukan asal negara ini.
Istilah keistimewaan Melayu bermula sejak campurtangan British di Tanah Melayu. Ketika pemerintahan British, keistimewaan orang Melayu dijaga melalui polisi di dalam pentadbiran British. Polisi keistimewaan Melayu diiktiraf British kerana rungutan dan permintaan para raja Melayu.
Disebut di dalam laporan Suruhanjaya Reid bahawa keputusan untuk memasukkan peruntukan berkaitan keistimewaan Melayu ke dalam Perlembagaan Persekutuan tidak mendapat tentangan yang menyerlah walaupun tindakan untuk menambahkan lagi keistimewaan tersebut mendapat reaksi negatif banyak pihak. (lihat Perenggan 165)
Suruhanjaya Reid juga menyebut mengenai pertembungan antara kehendak prinsip kesamarataan antara rakyat yang berbilang bangsa. Walaupun begitu, Suruhanjaya berpendapat, peruntukan mengenai keistimewaan Melayu amatlah diperlukan bagi menjaga kedudukan bangsa Melayu. Selain daripada itu, keistimewaan Melayu juga diperlukan bagi menjamin kedudukan Melayu dalam proses integrasi antara kaum-kaum di negara ini setelah prinsip “common nationality” diperkenalkan oleh Perlembagaan Persekutuan 1957 (lihat Perenggan 165). Apa yang dapat dihujahkan daripada kenyataan Laporan Suruhanjaya Reid ini ialah proses integrasi antara pelbagai bangsa yang ada di Tanah Melayu akan mengambil masa yang agak panjang. Pada andaian Suruhanjaya Reid sekiranya proses integrasi antara pelbagai kaum di negara ini menjadi bertambah baik, ia akan seterusnya dapat mengurangkan atau menghapuskan keistimewaan Melayu. Apa yang dapat difahami daripada kenyataan Suruhanjaya Reid ini adalah, selagi mana integrasi antara pelbagai kaum belum mencapai tahap matang, kedudukan istimewa Melayu harus dikekalkan.
Sehingga 53 tahun merdeka integrasi antara pelbagai bangsa di negara ini masih menjadi agenda utama negara. Perkara berkaitan perpaduan atau integrasi antara kaum kekal menjadi isu sensitif. Ada yang berpandangan bahawa perpaduan di kalangan rakyat Malaysia agak rumit kerana negara kita tidak menjalankan proses asimilasi yang mahukan semua pihak melenyapkan identiti bangsa masing-masing dengan menerapkan satu identiti sahaja.
Semua kaum di Malaysia masih mengekalkan identiti kaum masing-masing. Seorang cendekiawan mengibaratkan perpaduan di kalangan rakyat Malaysia yang pelbagai bangsa seperti beberapa batang besi yang diikat bersama. Batang-batang besi tersebut akan terlerai sekiranya tali pengikat yang menggabungkannya terputus. Batang-batang besi tersebut tidak dilebur dan dibekukan untuk menjadi satu batang besi yang lebih besar dan tegap. Batang-batang besi yang dilebur dan dikeraskan ini tidak akan terlerai sekiranya tali pengikatnya terputus.
Walaupun bersetuju dengan cadangan Parti Perikatan mengenai kedudukan istimewa Melayu, Suruhanjaya Reid mencadangkan supaya keistimewaan Melayu disemak semula selepas 15 tahun. Kenapa 15 tahun? Adakah jangkamasa 15 tahun ini satu jangkamasa yang substantial? Jawapan kepada persoalan ini tidak dijelaskan oleh Suruhanjaya Reid.
Jangkamasa 15 tahun adalah andaian Suruhanjaya Reid. Hakikatnya, hanya masyarakat Malaysia selepas merdeka yang menentukan. Secara prinsipnya, kenyataan Suruhanjaya Reid ini bukanlah sesuatu yang mengikat. Sejauh manakah Suruhanjaya Reid dapat menentukan integrasi kaum di Malaysia akan berjalan lancar dan boleh mencapai objektifnya hanya dalam masa 15 tahun. Hatta negara-negara yang tamadunnya beratus-ratus tahun masih lagi mempunyai masalah berkaitan perkauman dan ia kekal sampai ke hari ini. Pengajarannya ialah jangkamasa 15 tahun cuma jangkaan Suruhanjaya Reid. Ia tidak semestinya benar dalam realiti.
Walaupun mencadangkan jangka masa 15 tahun untuk disemak semula peruntukan ini, Laporan Suruhanjaya Reid juga menyebut bahawa, ia terpulanglah kepada keputusan kerajaan yang memerintah, sama ada untuk mengekal, atau mengurang atau melupus keistimewaan tersebut. Keputusan kerajaan tersebut tertakluk kepada keadaan masyarakat Melayu semasa semakan tersebut dilakukan (lihat Perenggan 167).
Hakikatnya keputusan sama ada keistimewaan Melayu perlu diteruskan ataupun tidak bergantung kepada keadaan dan status orang Melayu. Sekiranya integrasi antara pelbagai kaum tidak mencapai tahap matang seperti andaian Suruhanjaya Reid, kemungkinan untuk kerajaan meneruskan status quo Perkara 153 menjadi jelas. Selain daripada itu, sekiranya kedudukan ekonomi Melayu masih belum mencapai tahap yang boleh dianggap mampu bersaing dengan kaum bukan Melayu, Perkara 153 ini masih diperlukan. Atau, selagi orang Melayu fikir mereka masih memerlukan keistimewaan seperti yang termaktub, ia harus dikekalkan di dalam Perlembagaan.
Perlembagaan
Perkara 153 adalah di bawah tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong. Perlembagaan memberi kuasa kepada Raja-raja Melayu untuk menjaga kedudukan istimewa orang Melayu. Perlembagaan tidak memberikan Parlimen kuasa penuh untuk meminda Perkara 153. Peruntukan ini hanya boleh dipinda sekiranya mendapat perkenan Raja-Raja Melayu. Selain daripada itu, apa juga polisi yang diperkenalkan berdasarkan Perkara 153 tidak boleh diubah kecuali mendapat perkenan Raja-Raja Melayu.
Majoriti ahli Suruhanjaya Reid mencadangkan supaya Yang di-Pertuan Agong menjalankan tanggungjawab menjaga keistimewaan Melayu atas nasihat Jemaah Menteri. Justice Abdul Hamid, ahli Suruhanjaya Reid dari Pakistan, dalam nota kecualiannya menyatakan bahawa kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam hal ini adalah kuasa budi bicara. Baginda boleh menjalankan kuasa berkaitan keistimewaan Melayu di atas keputusan sendiri tanpa mendapatkan nasihat Jemaah Menteri.
Keadaan ini amat kukuh untuk dihujahkan bahawa keistimewaan Melayu di bawah Perkara 153 adalah satu “hak” dan bukanlah hanya keistimewaan dalam kata harfiahnya.
Saya perlu nyatakan bahawa Pekara. 153 adalah sebahagian daripada hak asasi. Pengiktirafan sebegini juga diamalkan di negara-negara lain. Hak asasi ini diiktiraf oleh kebanyakan negara untuk menjaga kestabilan sosial supaya sesuatu kaum tidak terpinggir dan keadilan dapat dicapai dengan memberi peluang kepada semua. Hak asasi ini boleh dikatakan sebagai pengecualian kepada dasar kesamarataan menggunakan prinsip diskriminasi positif atau juga dikenali sebagai affirmative action.
Di negara seperti Amerika Syarikat, dasar affirmative action ini tidak disebut di dalam Perlembagaan. Ia hanyalah polisi pentadbiran negara. Negara kita mengiktiraf keistimewaan Melayu di dalam Perlembagaannya. Ini menjadikan kedudukan istimewa ini lebih “istimewa” berbanding amalan di Amerika Syarikat.
Perkara 153 diperkenalkan bukan kerana sifat rendah diri atau inferiority complex orang Melayu sebagaimana anggapan sesetengah pihak. Ia bukan tongkat kepada Melayu. Ia merupakan pengiktirafan yang diberikan oleh Perlembagaan kepada orang Melayu kerana asal negara ini adalah “Tanah Melayu”. Ia tiada kaitan dengan kedudukan kaum lain yang telah lama berada dan menyumbang kepada negara ini.
Objektif Perkara 153 bukan juga untuk mempersoalkan kehadiran kaum bukan Melayu di negara ini. Kaum bukan Melayu tidak harus merasa bimbang dengan kekalnya Perkara 153 di dalam Perlembagaan.
Apa yang ingin saya sampaikan adalah penghormatan harus diberikan kepada kaum Melayu dan penghormatan tersebut sebenarnya di iktiraf oleh Perlembagaan. Walauapa pun, saya tidak fikir keistimewaan Melayu ini satu diskriminasi, walau dikatakan sebagai diskriminasi positif. Ia adalah satu struktur sistem yang telah dicipta untuk kestabilan negara ini.
Oleh itu prinsip keluruhan Perlembagaan atau ketinggian Perlembagan harus sentiasa diberi perhatian sewajarnya. Keistimewaan yang diberikan kepada kaum Melayu di dalam Perkara 153 adalah satu hak yang diiktiraf oleh Perlembagaan dan tidak harus dipertikaikan.
Ingin saya tegaskan di sini bahawa Perkara 153 di dalam Perlembagaan Persekutuan tidak menyekat kedudukan kaum bukan Melayu di negara ini. Walaupun peruntukan telah wujud sepanjang 53 tahun lepas, ia tidak menjadi penghalang yang besar kepada bangsa bukan Melayu untuk memakmurkan kedudukan sosial dan ekonomi mereka di negara ini. Perkara 153 tidak menafikan kedudukan kaum bukan Melayu. Sebenarnya tiada hujah yang konkrit untuk dikatakan kuota Melayu menerusi Perkara 153 ini telah menafikan kedudukan kaum bukan Melayu sehingga menjadikan kaum bukan Melayu merempat di negara ini. Malah, apa yang kita saksikan dengan nyata ialah, kaum Melayu, atas apa sebab sekalipun, masih lagi di belakang kaum bukan Melayu dalam aspek kedudukan ekonomi. Tiada kemudaratan yang dilahirkan oleh Perkara 153 walaupun ia seringkali dijadikan alasan amalan ketidaksamarataan antara rakyat pelbagai kaum di negara ini.
Oleh DR. SHAMRAHAYU ABD. AZIZ

TREBEST PLUS CAPSULE - HEBAT !!! HUBUNGI 010-9165803 EN. HUSSEIN dan KLIK GAMBAR PRODUK DI ATAS