SUBANG JAYA: “Sehingga kini kita berjaya menyelamatkan 540 bayi daripada menjadi mangsa pengguguran atau pembuangan, sekali gus mengurangkan kadar statistik pembuangan bayi yang meningkat pada masa kini,” kata Yang Dipertua Rumah Perlindungan Baitul Fiqh, Juhaidi Yean Abdullah.
Juhaidi berkata, walaupun sejak ditubuhkan pada 2005 dan sehingga kini ada yang mencemuh Baitul Fiqh kerana dikatakan menyokong gejala sosial berkenaan, pihaknya beranggapan tanggungjawab menyelamatkan bayi dalam kandungan itu lebih penting.
“Kita menubuhkan rumah perlindungan ini bukan bermakna kita menyokong amalan gejala sosial yang berlaku, sebaliknya sebagai satu tempat untuk menyedar dan mendidik remaja.
“Jika kita biarkan mereka, seterusnya apa akan jadi pada mereka dan kandungan mereka… bukankah kita sebagai masyarakat patut membantu dan sama-sama menyedarkan mereka supaya ia tidak lagi terus berulang dan berleluasa,” katanya ketika ditemui dalam program Berkongsi Kasih anjuran Wirawati Perkasa Malaysia baru-baru ini.
Program berkenaan turut dihadiri Timbalan Presiden Perkasa, Datuk Abdul Rahman Bakar dan Ketua Penerangan Perkasa, Roslan Kasim.
Jelas Juhaidi, selaras dengan usaha menyelamatkan dan membantu remaja yang terlanjur hingga mengandungkan anak luar nikah, pihaknya juga kini dalam perancangan untuk memindahkan pusat operasi Baitul Fiqh dari Subang Jaya ke Jalan Ledang, Kuala Lumpur.
Katanya, pemindahan yang dijangka dilakukan selewat-lewatnya pertengahan tahun depan bagi membolehkan lebih ramai remaja bermasalah mendapat perlindungan sewajarnya hingga melahirkan anak.
“Sebenarnya kita banyak menerima kes remaja hamil anak luar nikah bagi ditempatkan di Baitul Fiqh, namun disebabkan kekurangan tempat, kita tidak dapat menerima ramai mereka kerana faktor kawasan yang sempit.
“Sehingga kini, kita hanya mampu menerima 20 orang tetapi, di kawasan baru ini ia boleh memuatkan sehingga 100 orang pada satu-satu masa yang pastinya membolehkan lebih ramai remaja dilindungi dan lebih banyak kandungan dapat diselamatkan,” katanya.
Justeru, pihaknya juga berharap lebih ramai sukarelawan dapat tampil membantu.
Oleh MOHD AZAM SHAH YAACOB
mohdazam@hmetro.com.my
mohdazam@hmetro.com.my
Tiada ulasan:
Catat Ulasan