salam

Ahad, Disember 12, 2010

Namewee lagi...


Sekali lagi Wee Meng Chee atau Namewee yang pernah beberapa kali menghina Islam dan Melayu, menjadi perhatian ramai.

Pertemuannya dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Nazri Aziz di bangunan Parlimen dengan berpakaian ala rap (baju t, seluar jean, jaket hitam serta penutup kepala) mencetuskan kemarahan dan rasa tidak senang banyak pihak.

Banyak pengendali blog naik angin kerana Namewee mendapat keistimewaan sedangkan rakyat biasa lain kena mematuhi peraturan berpakaian jika memasuki bangunan Parlimen.

Apa istimewanya beliau? Itulah persoalan yang dibangkitkan oleh orang ramai. Setelah beberapa kali mencetuskan kemarahan umat Islam, Namewee bukan sahaja tidak didakwa (seolah-olah mempunyai imuniti) malah dijadikan ikon.

Untuk apa pula seorang menteri mahu memberi perhatian luar biasa dan bantuan kepada seorang yang menggugat keharmonian negara? Ramai lagi siswazah menganggur terdiri daripada semua kaum dan anak muda yang kreatif dalam seni, yang wajar diberi pembelaan, bukannya si biadap dan kurang ajar. Kalau begitu, untuk apa menjadi warga negara yang baik dan bertanggungjawab jika ‘penyangak’ juga yang mahu dijulang.

Awang bukan mahu berbalah dengan Nazri. Beliau tetap sahabat Awang dan seorang yang diakui mempunyai karisma serta kekuatan tersendiri. Yang baik diakui dan dipuji, yang tidak kena, mesti disanggah dan ditegur. Suara majoriti rakyat tidak boleh diambil mudah.

Sebenarnya ramai yang terkejut apabila Namewee dianggap tidak bersalah atas penghinaan dan hasutan yang dilakukan. Awang pun sudah tidak larat geleng kepala apabila menyentuh tentang pemuda itu. Kalau di Singapura, kes Namewee (apatah lagi berulang kali melakukan hasutan) sudah lama dibereskan.

Isu terbaru melibatkan beliau, telah memberikan isyarat yang salah dan bercelaru kepada masyarakat. Malah keresahan umat Islam dan orang Melayu berkaitan cara isu Namewee ini ditangani, semakin meluap-luap.

Awang yakin Perdana Menteri, Mohd. Najib Tun Razak tidak akan mengikut rentak Nazri memberi keistimewaan kepada pemuda itu yang kononnya meminta kerajaan membiayai pembikinan video 1Malaysia. Untuk permohonan itu disampaikan ke meja perbincangan kabinet pun tidak layak. Banyak lagi permohonan rakyat, yang kabinet perlu beri keutamaan dan tumpuan.

Kepada Namewee, beliau perlu terlebih dahulu memohon maaf secara terbuka dan berjanji tidak mengulanginya lagi. Jika beliau tiada kesanggupan untuk berbuat demikian, berhijrahlah ke negara lain yang dirasakan jauh lebih baik daripada tanah air ini. Jangan jadi musuh dalam selimut....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan


TREBEST PLUS CAPSULE - HEBAT !!! HUBUNGI 010-9165803 EN. HUSSEIN dan KLIK GAMBAR PRODUK DI ATAS