salam

Isnin, Januari 31, 2011

Hanya berdisiplin apabila ada tekanan

DISIPLIN tanpa tekanan akan menjadikan seseorang itu berdisiplin walau di mana dia berada. Misalnya, seorang murid yang berdisiplin sentiasa mematuhi peraturan sekolah tanpa perlu pengawasan guru disiplin.

Teringat pengalaman menjadi guru sementara di sebuah sekolah menengah di Merlimau, Melaka. Cikgu Kamal - bertubuh kecil, bercermin mata - setiap kali dia berjalan, kawasan persekitarannya akan senyap sunyi. Pelajar yang rancak bersembang atau seronok bergurau-senda, umpama mati akal apabila terlihat kelibat Cikgu Kamal. Kelas yang riuh-rendah kerana ketiadaan guru bertukar menjadi aman-damai apabila Cikgu Kamal melintas. Dia tidak perlu membawa rotan ke sana-sini. Aura dan namanya sudah cukup digeruni. Tutur katanya juga tidak lantang, cukup bersahaja tetapi menikam kalbu. Entah apa ilmu serta pengalaman yang dimiliki Cikgu Kamal, kehadirannya ternyata membantu mendisiplinkan para pelajar. Namun tanpa Cikgu Kamal, pelajar-pelajar mula buat hal dan tidak peduli tentang disiplin. Itulah yang dikatakan disiplin bersifat sementara disebabkan rasa takut dan gentar bukannya kerana disiplin sememangnya menjadi sebahagian daripada diri. Dalam hal disiplin sementara, semestinya ia bukan sifat positif. Apabila berhadapan dengan seseorang yang digeruni atau di bawah tekanan, maka seseorang itu akan berdisiplin. Namun apabila terlepas daripada belenggu ketakutan dan tekanan, silap-silap hari bulan disiplin yang dipegang bertaburan menjadikan mereka lebih teruk lagi.


Itulah yang terjadi kepada warga Singapura yang terkenal dengan sikap berdisiplin sehingga menjadikan bandar raya Singapura itu antara yang terbersih di rantau ini. Pemerintah republik itu sering dipuji kerana berjaya mendisiplinkan rakyatnya. Tetapi jika diamati, ada beza dari segi nilai disiplin antara warga Singapura dan warga Jepun. Warga Singapura hanya berdisiplin apabila berada di negara sendiri. Mereka tidak buang sampah merata-rata.

Peraturan

Mereka tidak memandu melebihi had laju. Nak meludah sembarangan pun mereka terpaksa fikir banyak kali. Malah untuk menambah cahaya mata pun mereka terikat kepada peraturan dan undang-undang. Tetapi keadaan sebaliknya berlaku sebaik mereka melepasi Tambak Johor. Menginjakkan kaki atau tayar kereta di bumi Malaysia adakalanya seolah-olah peluang keemasan untuk membalas dendam terhadap apa yang mereka tidak boleh lakukan di negara sendiri. Apatah lagi dengan kadar dolar Singapura yang sekali ganda berbanding ringgit, maka semestinya orang dari republik itu ada ‘angin’ tersendiri.

Pengalaman berebut tempat letak kereta di sebuah pusat beli-belah di Melaka bandar raya bersejarah pada satu hujung minggu cukup ‘membakar darah’ tentang sikap warga Singapura. Sememangnya Melaka menjadi destinasi wajib bagi orang Singapura apabila tiba hujung minggu atau musim cuti sekolah. Kereta dengan plat nombor Singapura memenuhi ruang yang ada. Di pusat beli-belah, tempat pelancongan, medan ikan bakar dan restoran-restoran menjadi tumpuan mereka. Begitu juga di lebuh raya. Deretan kereta dari negara itu di lorong paling kanan adalah pemandangan biasa. Apabila berada di lorong kanan, faham-faham sajalah berapa kelajuan kenderaan yang dipandu. Semestinya melebihi had laju. Maklumlah kenderaan mewah dan ada di antara model kereta yang dipandu tidak terdapat di negara ini, justeru kesempatan yang ada umpama memandu uji kenderaan yang baru dibeli. Lebih-lebih lagi peluang memandu pada kelajuan sedemikian tidak berani dicuba di jalan raya negara sendiri.

Alasan kebanyakan warga Singapura yang berdisiplin sementara ini - orang Malaysia tidak berdisiplin mengapa mereka mesti berdisiplin. Sedangkan seperti amalan warga Jepun, sikap berdisiplin yang menjadi amalan di negara mata hari terbit itu akan terpakai di benua mana juga mereka berada. Malah orang Jepun mampu menurunkan tradisi disiplin mereka itu kepada penduduk di negara yang mereka kunjungi. Ini kerana disiplin orang Jepun berbeza dengan orang Singapura. Mereka mengaitkan disiplin dengan maruah dan jati diri. Melonggokkan bahan buangan plastik pada hari pihak berkuasa tempatan mengutip bahan buangan kertas adalah kesilapan disiplin yang dianggap menjatuhkan maruah mereka. Sebab itu orang Jepun selalunya akan mematuhi peraturan dan undang-undang di mana saja lantaran pematuhan yang menjadi darah daging mereka selama ini bukan disebabkan tekanan atau rasa takut. Dan apabila bebas atau daripada tekanan dan rasa takut mereka kekal begitu. Bukannya seperti warga Singapura yang selamba memotong kenderaan penulis dan masuk ke tempat letak kereta tanpa ada rasa mahu memohon maaf atau sekurang-kurangnya mengangkat tangan.

Oleh Noraini Abd. Razak

Tiada ulasan:

Catat Ulasan


TREBEST PLUS CAPSULE - HEBAT !!! HUBUNGI 010-9165803 EN. HUSSEIN dan KLIK GAMBAR PRODUK DI ATAS