MASYARAKAT antarabangsa mungkin berpendapat pendedahan WikiLeaks mengenai laporan kabel diplomatik Amerika Syarikat (AS) merupakan satu sejarah dalam kelas yang tersendiri kerana ia mempamerkan sikap sebenar diplomat AS apabila berurusan dengan negara lain. Mungkin ada juga yang berfikir tidak akan ada lagi kes kebocoran maklumat sebesar ini kerana begitu sukar untuk menandingi kehebatan pendedahan WikiLeaks.
Beberapa hari lalu, dunia sekali lagi dikejutkan dengan pendedahan rahsia tetapi kali ini melibatkan catatan Pihak Berkuasa Palestin (PA) mengenai proses rundingan damai Timur Tengah dari tahun 1999 sehingga 2010.
Pendedahan kabel WikiLeaks sebelum ini tidak banyak mendedahkan maklumat dari kedutaan AS di Tel Aviv atau konsulat di Baitulmaqdis yang mungkin dapat memberi gambaran sebenar perjalanan proses rundingan damai, menurut dari sudut AS. Ramai penganalisis syak bahawa pengasas WikiLeaks, Julian Assange memilih hanya maklumat tertentu mengenai Timur Tengah demi menjaga kepentingan AS dan Israel.
Tetapi kesemua itu sudah tidak menjadi hal kerana pendedahan catatan PA yang dilakukan oleh stesen televisyen Al-Jazeera yang berpengkalan di Qatar telah mempamerkan keadaan sebenar mengenai perjalanan proses rundingan damai antara Palestin dan Israel.
Catatan PA tersebut telah memberi gambaran bagaimana perunding Palestin begitu lemah dan terdesak sehingga sanggup melepaskan sebahagian besar Baitulmaqdis Timur dengan harapan AS dan Israel menerima cadangan tersebut dan seterusnya rundingan tidak terbantut. Malah lebih mengaibkan lagi ialah PA akur dengan cadangan supaya Israel hanya menerima 1,000 pelarian Palestin setahun selama 10 tahun. Pada ketika ini terdapat sejumlah 5 juta pelarian Palestin yang terpaksa meninggalkan tanah air mereka apabila Israel dibentuk pada tahun 1948.
Jika selama ini, sudah tidak menjadi rahsia lagi bagaimana tamak dan angkuhnya pemimpin rejim Zionis merampas tanah air Palestin, catatan PA tersebut dengan secara terperinci dan tersurat mengesahkan sikap sedemikian rupa. Israel menolak secara mentah penyerahan sebahagian besar Baitulmaqdis Timur dengan alasan cadangan tersebut tidak memenuhi kehendak mereka.
Perlu diungkit kembali jika Yasser Arafat menolak Perjanjian Camp David pada tahun 2000 kerana tidak bersetuju dengan terma penyerahan sebahagian Baitulmaqdis Timur, maka ditekankan bahawa cadangan terbaru oleh Presiden Mahmoud Abbas pada tahun 2008 jauh lebih menguntungkan Israel berbanding dengan cadangan Camp David.
Jika catatan PA tersebut mengesahkan keangkuhan pemimpin rejim Zionis, ia juga menzahirkan betapa berat sebelah perunding AS yang sentiasa menyokong pendirian Israel dan memperkecil kepimpinan Palestin.
Ketika Setiausaha Negara AS, Hillary Clinton melawat Kuala Lumpur pada November lalu, beliau dengan megah mengisytiharkan bahawa AS adalah negara yang paling banyak memberi bantuan kewangan kepada Palestin dan tidak adil menuduh Washington tidak melakukan sesuatu yang positif untuk rakyat Palestin.
Tetapi rupa-rupanya bantuan tersebut hanya akan diberi jika Abbas menjadi Presiden Palestin. Semua maklumat tersebut disahkan dalam catatan PA dan saranan yang lebih berbau ugutan itu dinyatakan sendiri oleh Hillary kepada Abbas.
Tidak dapat diselindung lagi betapa angkuh dan tamaknya pemimpin rejim Zionis dan kesemua ini disahkan dalam catatan PA. Begitu juga AS yang menganggap diri mereka sebagai orang tengah yang boleh dipercayai, sebenarnya hanya menurut sahaja tingkah laku pemimpin Israel.
Catatan PA tersebut telah memberi gambaran sebenar perunding Palestin yang sama sekali berbeza dengan apa yang cuba ditonjolkan kepada rakyat Palestin dan masyarakat antarabangsa. Jika selama ini pemimpin PA dengan tegas menyatakan tidak akan berkompromi dengan isu Baitulmaqdis Timur, tetapi rupa-rupanya secara rahsia ingin menyerahkan sebahagian besar wilayah yang begitu sensitif kepada umat Islam.
Apabila Israel memusnahkan hotel milik rakyat Palestin di Sheikh Jarrah, Baitulmaqdis Timur pada awal Januari lalu, dan menggantikannya dengan 20 unit pangsapuri mewah milik Yahudi, pihak PA lazimnya membantah pencerobohan tersebut. Saeb Erekat ketua perunding Palestin, menegaskan pihak Palestin tidak akan berunding dengan Israel selagi kegiatan pembinaan sedemikian diteruskan.
Patutlah Israel tidak mengendahkan ugutan tersebut kerana pada tahun 2008, Erekat merupakan ketua perunding yang mencadangkan Sheikh Jarrah diserahkan kepada Israel! Lebih menyedihkan lagi ialah bagaimana tergamak PA menyerahkan Baitulmaqdis Timur kepada Israel sedangkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah mengeluarkan resolusi yang menyatakan pencerobohan dan rampasan kawasan tersebut pada tahun 1967 oleh Israel adalah tidak sah dari sudut undang-undang antarabangsa.
Catatan PA tersebut juga telah mengesahkan bagaimana pemimpin Palestin telah membelakangi hasrat pelarian Palestin yang menaruh harapan untuk kembali ke tempat asal mereka (Israel pada hari ini). Malah lebih mengaibkan lagi apabila Condoleezza Rice, iaitu Setiausaha Negara AS ketika itu mencadangkan supaya pelarian Palestin ditempatkan ke negara Amerika Latin. Begitu terserlah bagaimana kepentingan Israel diutamakan dan pendirian ini bukan hanya disokong oleh AS tetapi juga pemimpin Palestin.
Jika selama ini rakyat Palestin amat membenci bekas Perdana Menteri Israel iaitu Ariel Sharon yang bertanggungjawab terhadap pembunuhan rakyat Palestin di kem pelarian Sabra dan Shatila pada 1982, tetapi rupa-rupanya Abbas dan Sharon mempunyai hubungan yang mesra. Malah hubungan di antara perunding Palestin dan Israel begitu rapat dan berbeza daripada apa yang cuba ditonjolkan kepada umum.
Hubungan intim ini bukan sahaja berlaku pada peringkat kepimpinan tetapi lebih menakutkan berlaku di antara organisasi perisikan kedua-dua belah pihak di mana pertukaran maklumat sering dilaksanakan. Begitu rapatnya hubungan kedua-dua pihak sehinggakan operasi serangan Israel ke atas Semenanjung Gaza pada 2008/2009 telah diketahui lebih awal oleh PA.
Jika WikiLeaks sedikit sebanyak mempunyai peranan menjatuhkan kerajaan Zine el-Abidine Ben Ali kerana mendedahkan kemewahan kehidupan keluarga beliau, ada kemungkinan rakyat Palestin akan memberontak terhadap kepimpinan Abbas gara-gara pendedahan catatan PA.
Penulis ialah GeoStrategis Institut Teknologi
dan Sains GeoSpatial (INSTEG),
Universiti Teknologi Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan