salam

Ahad, Januari 30, 2011

Cabaran Melayu Muda Bandar

UNTUK membina kefahaman dan analisis mengenai cabaran masa depan golongan Melayu muda, kita mesti bermula dengan mengelakkan andaian atau pandangan popular dan simplistik berikut: "bahawa manusia Melayu itu adalah sekelompok manusia yang homogen, atau semua manusia Melayu adalah sama dan serupa."

Kalau kita teruskan juga hujah dan kupasan kita mengenai hal ini dengan andaian ini, maka usaha kita akan menjadi sia-sia sahaja pada akhirnya kerana kita tidak berbincang berasaskan kenyataan. Malah kita menafikan kenyataan dan berbohong pada diri sendiri.

Hal ini sangat penting diambil perhatian kerana perbincangan mengenai apa saja yang berkait dengan manusia Melayu pada akhir-akhir ini, sama ada oleh Perkasa atau kelompok politik lain Melayu, berpegang kepada andaian bahawa manusia Melayu itu adalah sekelompok manusia yang homogen.

Disebabkan itulah, maka dianggap bahawa kepentingan manusia Melayu itu adalah sama, selera mereka pun sama, gaya hidup juga sama, seolah-olah serba-serbinya sama.


Sebenarnya komponen dalaman manusia Melayu, malah manusia lain di dunia sekali pun, boleh dilihat kewujudannya dari dua sudut, sudut menegak dan sudut mendatar.

Sudut menegak menekankan aspek lapisan sosial dalam menentukan perbezaan sosial kelas atasan, menengah dan bawahan, atau kelas pemilik dan kelas pekerja, kasta raja dan kasta rakyat, kaya-selesa-miskin dan senang-sederhana-susah.

Sudut mendatar pula bermaksud penggunaan sesuatu set kategori untuk menentukan perbezaan sosial iaitu kategori kawasan (bandar dan desa, hulu dan hilir), kategori jantina (lelaki dan perempuan), kategori kedudukan sosial (arus perdana, terpinggir, alienated dananomie), dan kategori etnik (Bajau, Cina, Iban, India, Kadazan, Melayu, Sikh, dan lain-lain). Maka dihujahkan bahawa golongan Melayu muda bukan homogen sifatnya tetapi adalah rencam komposisinya.

Justeru itu, boleh kita rumuskan bahawa cabaran untuk golongan Melayu muda bandar, misalnya yang datang dari keluarga korporat Melayu baru yang kaya raya mempunyai cabaran tersendiri. Mungkin cabaran terbesarnya adalah untuk menyambung dan mempertahan kedudukan ekonomi selesa keluarga atau dinastinya, khususnya bersifat kekeluargaan dan bukan bersifat kepentingan perniagaan korporat.

Ada yang mengamalkan perkahwinan bersifat endogamous iaitu, hanya memilih pasangan hidup daripada sesama anggota keluarga luas atau sesuatu suku. Dengan cara ini, kekayaan itu tidak jatuh ke tangan keluarga lain, yang mungkin tidak sekaya mereka.

Maka perkahwinan kerana 'sesama cinta' tidak diterima, malah dilarang. Namun dalam jangka panjang ini, tidak menjadi masalah kepada lelaki kerana poligami diizinkan. Dengan kekayaan yang ada, beristeri lebih daripada satu bukan satu beban ekonomi atau sosial kepada mereka.

Cuma, yang tidak enak didengar kalau ada tuntutan di mahkamah apabila si suami sudah meninggal dunia, dan perebutan harta berlaku antara janda dan anak-anak.

Tidak semua generasi Melayu muda yang kaya menganggap soal pilih jodoh ini sebagai suatu cabaran besar, malah hanya suatu kenyataan yang dia perlu hadapi. Yang lebih mencabar adalah cabaran kewangan yang boleh menyebabkan mereka sekeluarga dan seketurunan menjadi muflis.

Ada juga yang menyatakan kerisauan tentang persaingan sengit dengan para peniaga dan usahawan korporat daripada kaum lain. Sebenarnya, kadangkala hal ini digembar-gemburkan sahaja kerana di belakang tabir terjadi kerjasama erat antara usahawan berbeza kaum untuk sama-sama meraih untung dengan mengeksploitasi pekerja daripada kaum masing-masing yang sama.

Bak kata seungkap cliche di Barat "there are no permanent enemies and no permanent friends, only permanent interests" (tiada musuh atau kawan yang kekal, melainkan kepentingan).

Cabaran bagi golongan Melayu muda di Felda dan di desa lain pula sifat yang mereka terpaksa berdepan. Kelainan bentuk cabaran ini memerlukan kefahaman dan kupasan yang berbeza, selain cara penyelesaiannya.

Golongan ini berdepan dengan cabaran bersifat mobiliti sosial iaitu bagaimana untuk menaiki tangga lapisan sosial dari bawah ke atas, dari miskin kepada kaya, susah ke senang dan sempit kepada selesa. Cabaran ini bersifat ekonomik dan sosial. Ada juga yang telah menggunakan saluran politik untuk memanjat pohon mobiliti ini.

Pendidikan adalah anak kunci untuk mereka membuka pintu cabaran ini. Maka perjuangan hidup mereka adalah untuk melalui persaingan sengit dengan rakan sebaya demi untuk mendapat kelulusan terbaik supaya mendapat biasiswa ke sekolah menengah dan akhirnya ke universiti, kalau boleh universiti di luar negara.

Jalan ke puncak perjuangan ini adalah seperti meniti di atas seutas tali tergantung antara dua menara tinggi dengan di bawahnya menunggu sebuah gaung yang dalam dan penuh dengan ranjau kegagalan. Dalam kata lain 'failure is not an option' (kegagalan bukan satu pilihan).

Hadiah daripada perjuangan sengit ini adalah janji hidup senang, kaya, selesa dan bergaya. Cabaran paling besar untuk golongan Melayu muda ini bukan bersifat ekonomik atau sosial tetapi lebih bersifat psikologikal, iaitu menyesuaikan diri dengan suatu bentuk perilaku dan gaya hidup yang agak asing yang perlu dikuasai dengan segera untuk berjaya, iaitu gaya hidup kelas menengah.

Apatah lagi kalau untuk bersaing dengan golongan Melayu muda dari keluarga Melayu korporat yang kaya raya itu, mereka mesti cekal dan pintar. Untuk mereka yang gagal atau kurang daya kepercayaan diri, jalan keluar untuk mereka mungkin lorong keagamaan dengan menghambakan diri kepada Tuhan dan menyerahkan segalanya kepada-Nya.

Namun, ada juga yang bukan hanya bijak dan pintar tetapi juga berbakat dalam permainan politik. Mereka sering memilih jalan pintas ke puncak ekonomi dan sosial, iaitu menggunakan kuasa politik untuk meraih habuan ekonomi dan kedudukan sosial yang teguh.

Dalam konteks ini, tidak memeranjatkan ada yang bersedia dalam usia yang masih muda untuk menggunakan politik perkauman bagi memanjat naik ke pucuk pimpinan politik tempatan, negeri dan negara. Ini kerana kadangkala jalan ini dirasakan lebih mudah untuk memperoleh kemewahan hidup. Cuma, kadangkala mereka lupa, jalan ini memang mudah naik tetapi mudah juga terjerumus jatuh lalu tersungkur di hadapan pintu angan-angan.

Oleh yang demikian, kalau kita teliti episod kepelbagaian pengalaman golongan Melayu muda kerana perbezaan komposisinya tidaklah berapa tepat melihat pengalaman golongan Melayu muda itu secara keseluruhannya sebagai suatu dilema, atau sebagai suatu usaha yang terperangkap dalam suatu keadaan serba salah kerana berdepan dengan dua pilihan negatif dan terpaksa akhirnya pilih salah satu daripadanya.

Apa yang mereka hadapi adalah cabaran untuk membuat pilihan bijak antara pilihan yang baik dan pilihan yang kurang baik tetapi yang boleh diperbaiki.

Penulis ialah Profesor Ulung dan Pengarah Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan


TREBEST PLUS CAPSULE - HEBAT !!! HUBUNGI 010-9165803 EN. HUSSEIN dan KLIK GAMBAR PRODUK DI ATAS