salam

Rabu, Januari 26, 2011

Sidang Parlimen Roh: Balu hidupkan legasi Ashaari, ‘kerajaan impian’ Al-Arqam

KUALA LUMPUR, 26 Jan — Pihak berkuasa agama mengkategorikan “Sidang Parlimen Roh” sebagai satu lagi gerakan yang bertentangan dengan akidah Islam — dipercayai hanya usaha susulan menjenamakan semula pengaruh dan aktiviti pengasas Al-Arqam Asaari Muhammad, yang meninggal dunia tahun lalu.
Malah agensi agama Islam juga melihatnya sebagai antara usaha untuk meneruskan ‘legasi’ Ashaari yang menubuhkan kumpulan tersebut pada 1968.
Penolong Pengarah Pusat Al-Quran dan Ilmu Teras, Institut Latihan Islam Malaysia, Zamihan Mat Zin berkata langkah mengadakan “Sidang Parlimen Roh” merupakan langkah pertama untuk menghidupkan semula sejak Ashaari meninggal dunia Mei 2010, walaupun sejak ia diharamkan 17 tahun lalu, sudah ada beberapa usaha ke arah itu.
“Kami sudah mengesan doktrin Sidang Parlimen Roh ini,” kata beliau lagi.
Kata beliau, kerajaan juga menganggap “Sidang Parlimen Roh” sebagai satu bentuk “ajaran sesat dan karut” memandangkan pihak yang terlibat beranggapan bahawa mereka boleh “berinteraksi” dengan Allahyarham Ashaari.

Oleh itu katanya, umat Islam dinasihatkan agar berhati-hati dengan pergerakan seumpama itu.
“Jangan terpedaya dan gunakan fikiran yang waras,” kata Zamihan kepada The Malaysian Insider.
“Pengikut-pengikut Al-Arqam masih menganggap walaupun jazad Ashaari sudah tiada (sejak meninggal dunia), tetapi roh beliau masih ada dan oleh itu, mereka boleh berkomunikasi dan berinteraksi secara spiritual... di mana dalam Islam, ia satu perkara yang tidak wujud, dongeng, karut,” kata beliau.
“Sebelum ini pun sudah ada beberapa usaha menjenamakan semula kumpulan Al-Arqam seperti kumpulan Rufaqa dan rangkaian Ikhwan tetapi ini kali pertama sejak Ashaari meninggal dunia awal tahun lalu... mereka gunakan cara ini, Sidang Parlimen Roh,” kata beliau lagi., 
Menerusi “Sidang Parlimen Roh” itu kata beliau, Ummu Jah, balu Ashaari sebagai orang utama, memainkan peranan sebagai moderator manakala Ashaari sendiri bertindak sebagai “speakernya”.
Pengikut-pengikut dari seluruh dunia didakwa boleh berinteraksi dengan Ashaari menerusi ‘sidang’ yang diadakan.
Bagaimanapun pihak berkuasa belum mengadakan serbuan untuk menghalang usaha sedemikian, melainkan hanya memantau perkara tersebut secara dekat.
Zamihan tidak dapat memberikan angka sebenar pengikut usaha terbaru itu.
“Tetapi kalau kita melihat pada rangkaian bisnes mereka sebelum ini, saya yakin pengikut mereka mencecah angka ribuan orang... di Malaysia dan juga di luar negara,” katanya.
“Sidang Parlimen Roh” ini diadakan melibatkan pengikut yang ada di Malaysia, Thailand, Jordan dan Mekah, Arab Saudi.
Setakat ini tiada usaha mendapatkan kerjasama pihak berkuasa negara-negara terbabit berhubung isu terbaru ini, kata beliau.
Pada 2006, Ashaari dituduh cuba menghidupkan semula pertubuhan al-Arqam dengan nama baru Kumpulan Rufaqa.
Bagaimanapun kumpulan itu diserbu oleh pegawai Jabatan Agama Islam Selangor dan beberapa pemimpinnya turut didakwa.
Laporan media tahun lalu menyebut, tidak sampai seminggu selepas Ashaari atau lebih dikenali sebagai Abuya meninggal dunia, pengikutnya kembali mencetuskan kontroversi apabila mengadakan konsert khas bagi menggambarkan kononnya bekas pemimpin kumpulan Al-Arqam yang diharamkan itu cuma ghaib dan akan pulang semula dalam masa terdekat.
Ia dinafikan oleh keluarga Ashaari sendiri.
Sehubungan itu, pihak berkuasa melihat “Sidang Parlimen Roh” ini ada kaitan dengan tanggapan sedemikian dan nama “Parlimen” kemungkinan dipilih memandangkan pengikutnya mahu meneruskan pengaruh Allahyarham Ashaari, yang satu ketika dulu pernah didakwa bercita-cita mahu menjadi perdana menteri dengan menubuhkan negara Islam.
Menerusi usaha sedemikian, kata Zamihan, ajaran yang dibawa Ashaari diteruskan oleh salah seorang balunya, yang menggunakan nama Ummu Jah, untuk memastikan pengaruh tidak terhakis.
“Untuk memastikan pengaruhnya kekal dan dapat mengetuai kumpulan ini, Ummu Jah menggunakan pendekatan Sidang Parlimen Roh untuk berkomunikasi dengan pengikut-pengikutnya,” kata Zamihan.
Pihak berkuasa setakat ini belum menyerbu mana-mana lokasi kecuali memantau dengan dekat.
Ashaari meninggal dunia di Ipoh 13 Mei lalu kerana jangkitan paru-paru. Kerajaan mengharamkan Al-Arqam berdasarkan fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan pada 5 Ogos 1994 kerana ajaran Aurad Muhammadiah yang diamalkan kumpulan itu bertentangan dengan akidah Islam.
Ashaari yang dilahirkan pada 30 Oktober 1937, ditahan bersama beberapa pemimpin kanan kumpulan Al-Arqam mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri dan pernah membuat pengakuan terbuka mengenai penyelewengan dalam kumpulan berkenaan.
Allahyarham pernah dikenakan tahanan rumah di kediamannya di Rawang, Selangor dan Pulau Labuan tetapi dibebaskan pada 25 Oktober 2004.
Allahyarham pada suatu ketika dahulu itu yang mempunyai lebih 10,000 pengikutnya dan memiliki perkampungan mereka sendiri di Sungai Buluh, Kuala Lumpur.
Dia pernah mendakwa beliau adalah seorang nabi dan meramalkan dirinya akan menjadi perdana menteri Malaysia selepas Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau pernah berkahwin dengan lima wanita tetapi sejak berumur 47 tahun, mempunyai empat isteri serentak.
Bagaimanapun sejak berusia 66 tahun Ashaari dilaporkan hanya tinggal bersama tiga orang isteri.
Kelmarin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata pihaknya akan menyiasat perkara itu mengikut mekanisme tersendiri memandangkan penghidup semula ajaran itu ialah seorang daripada balu Ashaari yang dikenali sebagai Ummu Jah yang kini berada di Mekah atas urusan perniagaan.
Ummu Jah dikatakan kini berada di Mekah.
“Sidang ini sudah menyimpang daripada ajaran agama yang matlamat besarnya untuk membangkitkan roh yang didakwa Sheikh Muhamad As-Suhaimi dan Ashaari muncul di Mekah secara fizikal,” katanya.
“Sidang Parlimen Roh” dikatakan telah diadakan sebanyak 18 kali sama ada di dalam negara termasuk di Bandar Country Homes, Rawang atau di Kampung Sungai Penchala mahupun di luar negara seperti Thailand, Jordan dan Mekah.
Pada setiap persidangan, Ummu Jah akan menyampaikan amanat atau dasar-dasar kepada pengikut ajaran Al-Arqam sambil mendakwa pengasas Tarikat Aurat Muhammadiah iaitu Sheikh Muhamad As-Suhaimi dan Ashaari sendiri telah muncul secara fizikal di Mekah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan


TREBEST PLUS CAPSULE - HEBAT !!! HUBUNGI 010-9165803 EN. HUSSEIN dan KLIK GAMBAR PRODUK DI ATAS