LABIS 24 Jan. – Kedai runcit di seluruh negara akan ditranformasikan kepada kedai runcit yang moden dengan pengurusan yang cekap dan profesional, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata, langkah itu diambil bagi membolehkan kedai runcit yang diurus secara tradisional sekarang dapat bersaing dengan kedai serbaneka dan pasar raya besar yang sedang berkembang di negara ini.
"Perubahan ini bukan dari segi susun atur barangan sahaja tetapi juga dari segi minda peniaga di mana kita akan latih pemilik kedai dari segi pengurusan yang cekap dan profesional,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan bangunan Koperasi Peneroka Felda Tenang Berhad dan melancarkan Program Tukar Koperasi di sini hari ini.
Ismail Sabri berkata, pada tahun ini, disasarkan sebanyak 100 kedai runcit di kawasan Felda dan 500 kedai runcit lain di seluruh negara akan terlibat dalam program pemodenan tersebut.
"Pihak koperasi memperuntukan geran sebanyak RM10 juta dan dari tabung modal pinjaman sebanyak RM20 juta bagi melaksanakan program tersebut di mana pemilik kedai runcit yang terlibat diberi pinjaman modal antara RM20,000 dan RM60,000,” katanya. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan