HASIL kaji selidik oleh sekumpulan wartawan mengenai pengetahuan sejarah dan kenegaraan di kalangan remaja dan belia, amat meresahkan. Laporan kaji selidik itu bertajuk, Ramai buta sejarah, disiarkan di muka depan Utusan Malaysia, kelmarin, mengundang perhatian besar.
Ramai yang tidak tahu tarikh kemerdekaan, nama-nama Perdana Menteri terdahulu, nama bendera, Rukun Negara, tarikh penubuhan Malaysia dan banyak lagi fakta asas tentang Malaysia. Mengejutkan dan memalukan. Inilah akibatnya jika generasi muda semakin longgar dan terpisah daripada sejarah. Itu baru fakta asas dan belum menyentuh tentang sejarah yang lebih lengkap.
Nampaknya tanpa sejarah, rakyat kita tidak ubah seperti pendatang asing. Di kebanyakan negara maju perhatian terhadap sejarah dan kenegaraan menjadi penekanan. Sesiapa sahaja yang mahu mendapat status warga negara disaring ketat. Mereka mesti menjunjung Perlembagaan, faham sejarah selain fasih menggunakan bahasa kebangsaan. Di Malaysia, ramai yang lulus permohonan menjadi warga negara tidak boleh bertutur bahasa kebangsaan seolah-olah menjadi pelancong asing selain tidak hayati sejarah. Maka Awang lega dengan keputusan kerajaan menjadikan sejarah subjek teras dan wajib lulus di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai 2013 seperti yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Muhyiddin Yassin baru-baru ini.
Ia diikuti dengan pengumuman oleh Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi bahawa tiga elemen iaitu unsur kewarganegaraan, patriotisme dan perlembagaan akan diajar dalam subjek Sejarah yang dijadikan mata pelajaran teras bermula 2014.
Ramai yang menyambut positif langkah tersebut. Mereka dapat melihat kewajaran dan kepentingannya untuk kesejahteraan dan masa depan negara yang lebih baik. Namun tidak kurang juga suara sumbang terutama daripada DAP. Ada juga pemimpin parti komponen BN yang kurang senang dan mahu mengenakan syarat. Awang hairan mengapa mereka perlu fobia kepada sejarah. Fakta tetap fakta. Sejarah tanah air ini bermula ratusan tahun dahulu dan ia tidak boleh dipadamkan begitu sahaja. Dalam kita memperakukan sumbangan semua kaum terhadap kemerdekaan negara, realitinya kaum Melayu yang paling dominan.
Bacalah banyak buku dan dokumen sejarah Tanah Melayu yang ditulis oleh tokoh sejarah Barat yang jelas mencatatkan hal tersebut. Sejarah tidak boleh diseleweng mengikut selera politik. Era darurat tetap memperlihatkan ancaman pengganas komunis. Chin Peng tidak boleh diiktiraf sebagai hero atau apatah lagi negarawan. Awang menentang jika ada usaha untuk menulis semula sejarah. Adalah boleh diterima jika aspek-aspek tertentu mahu ditambah baik tetapi bukan dengan mengolahnya berdasarkan tekanan kaum-kaum dan etnik tertentu. Di banyak negara, kerajaannya tidak hiraukan sebarang teguran apatah lagi cadangan untuk meminda sejarah yang telah menjadi dokumen rasmi. Awang berharap kerajaan Malaysia tidak berganjak. Jika usaha menulis semula sejarah dibenarkan maka selepas ini banyak lagi yang akan dipinda dan dirombak termasuk Perlembagaan. Sejarah bukan produk komersial untuk dijual beli dan ditawar harga. Janganlah segala-galanya mahu dilihat dari sudut keuntungan seperti berniaga. Setiap warga negara mesti berkiblatkan negara ini dan bukan di luar. Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Kalau sejarah tanah air ini mahu ditolak, untuk apa menjadi warganegara?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan