salam

Selasa, November 30, 2010

Mesyuarat Tindakan Program Pelancaran - 30/11/2010

Di sebelah kiri YDP Perkasa Negeri Terengganu En. Mohd Lukman Muda dan
Tim. Pengerusi Daerah Marang En. Hamzah Omar

AJK Peringkat Negeri dan disebelah kanan sekali Setiausaha Kehormat En. Jamil Sulong

YDP Perkasa Negeri sedang mempengerusikan mesyuarat tindakan

Diantara AJK Peringkat Negeri & Daerah yang hadir

Mesyuarat berlangsung pada 30/11/2010 mulai jam 4.00 petang di Hotel Grand Continental,
Kuala Terengganu.

Pelancaran Program PERKASA Negeri Terengganu

PROGRAM PELANCARAN PERKASA NEGERI TERENGGANU


Tarikh:        17hb. Disember, 2010 (Jumaat)
Masa:          8.00 malam
Tempat:      Dewan Tengku Abdul Rahman, Kuala Terengganu.
Perasmian:  Bekas Menteri Besar Selangor YB Dato' Dr.  
                   Mohamad Khir Toyo


Semua ahli PERKASA Daerah Marang dan khasnya orang-orang Melayu dijemput hadir ke Program Pelancaran Perkasa Negeri Terengganu.  Pendaftaran terbuka kepada ahli-ahli baru turut diadakan dengan yuran pendaftaran RM10.00 seumur hidup.  Pakaian kemeja putih, berseluar hitam.  Jamuan makan malam disediakan.


Sabtu, November 27, 2010

9 petua capai doa mustajab

BERIKUT antara sembilan petua daripada Rasulullah untuk mencapai doa mustajab:

1. Anas bin Malik meriwayat kan bahawa Rasulullah bersabda: “Doa antara azan dan iqamat tidak akan ditolak.

2. Sesungguhnya Rasulullah bersabda: “Allah akan turun ke langit dunia setiap malam iaitu sepertiga malam yang terakhir seraya berfirman: “Sesiapa yang berdoa kepada-Ku, maka aku akan menerima permintaannya dan sesiapa yang meminta keampunan daripada-Ku maka Aku akan mengampuninya.”

3. Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda: “Tiga orang yang tidak ditolak doanya iaitu pemimpin yang adil, orang berpuasa ketika dia berbuka dan orang yang dianiaya. Allah mengangkat doa-doa itu ke awan dan pintu-pintu langit dibuka.” 



4. Ibnu Abbas meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda: “Aku dilarang membaca al-Quran ketika sujud dan rukuk. Waktu yang paling dekat antara hamba dan Tuhan-Nya adalah ketika sujud, maka perbanyakkanlah doa ketika itu.” 



5. Hadis Abu Hurairah r.a, Nabi s.a.w bersabda: “Jika kamu mendengar ayam jantan berkokok, pohonlah kurnia daripada Allah kerana sesungguhnya binatang itu melihat malaikat. “Jika kamu mendengar keldai memekik, pohonlah perlindungan daripada Allah daripada godaan syaitan kerana binatang tersebut melihat syaitan.” 



6. Ubadah bin As-Shamit berkata bahawa Rasulullah bersabda: “Sesiapa yang bangun pada malam hari dan mengatakan atau berdoa, doanya akan dimakbulkan. “Apabila beliau berwuduk (dan mengerjakan solat malam), solatnya akan diterima Allah.” 



7. Ata bin Abi Rabah berkata: “Telah sampai padaku bahawa Rasulullah bersabda: “Sesiapa yang membaca surah Yasin pada permulaan hari maka segala hajatnya akan dipenuhkan.” 



8. Hadis daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda: “Doa seseorang itu akan dikabulkan selagi dia tidak terburu-buru menyebabkan dia berkata: ‘Aku berdoa tetapi tidak dimakbulkan.’” 



9. Hadis daripada Abu Hurairah: Rasulullah memperkatakan mengenai hari Jumaat. Lalu baginda bersabda: “Pada hari Jumaat itu ada suatu saat. Bila mana seorang Muslim dapat menepatinya dalam keadaan sedang berdoa, memohon sesuatu daripada Allah, pasti dia akan dianugerahkan apa yang dipohonnya itu.”

Banyak pahala ibadat tapi muflis di akhirat

SABDA Rasulullah SAW: “Orang yang muflis dalam kalangan umatku ialah mereka yang pada hari Kiamat datang membawa pahala amal solat, puasa, zakat dan haji tetapi ketika di dunia, mereka pernah mencaci maki orang, menuduh tanpa bukti, memakan harta dengan zalim, membunuh dan memukul sesuka hati. Lalu pada hari kiamat, orang yang dizalimi akan menerima pahala amal si penzalim.

“Jika pahala amalnya habis (diberikan) sedangkan kesalahan dan dosanya ketika di dunia kepada orang yang tidak berdosa masih banyak, Allah SWT akan memberi pula dosa orang yang dizalimi itu kepadanya sehingga semakin berat bebannya, lalu Allah SWT campakkan dia ke dalam neraka.” (Riwayat Muslim) 

Berdasarkan hadis ini, jelas bahawa ada golongan yang menjadi muflis di akhirat dan mereka sebenarnya orang yang memiliki pahala, seperti pahala solat, puasa, zakat, haji dan sebagainya. 


Namun, semua pahala ibadat mereka habis kerana digunakan sebagai membayar ganti rugi kepada insan yang pernah disakiti, dikhianati atau dizalimi, selain dibebankan dengan dosa orang yang dizalimi.

Alangkah ruginya golongan muflis ini kerana walaupun mempunyai pahala kerana mengerjakan ibadat dan bermacam kebaikan, akhirnya menjadi kosong kerana diambil oleh orang lain sebagai ganti rugi dengan sebab kesalahan terhadap orang lain atau kezaliman yang dilakukan.


Sebagai seorang yang mengaku Islam, kita harus bijak melayarkan kehidupan berdasarkan petunjuk dan panduan hadis serta al-Quran sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Al-Infitaar, ayat 10 dan 11 yang bermaksud: “Padahal sesungguhnya, ada malaikat- malaikat yang menjaga dan mengawas segala bawaan kamu, (Mereka adalah makhluk) yang mulia (di sisi Allah), lagi ditugaskan menulis (amal-amal kamu).” 


Bagaimanapun, persoalannya pada hari ini, ada di kalangan kita yang kaya di dunia tetapi tidak bersedia untuk menghindari muflis di akhirat. Mereka menikmati pelbagai kemewahan kurniaan Allah SWT di dunia tetapi tidak bersyukur dan mengabaikan tanggungjawab terhadap Allah SWT dan mengkhianati amanah sesama manusia. 


Dalam mengejar kemewahan, mereka lupa solat, zakat, menunaikan haji dan sebagainya kerana sibuk dengan pelbagai urusan duniawi. 


Selain itu, mereka tidak prihatin kepada hak sesama manusia, hak golongan fakir, miskin dan anak yatim. 


Malah ada di kalangan kita menzalimi sesama manusia dan ketahuilah bahawa gaya hidup sedemikian akan menjadikan mereka muflis di akhirat. 

Dalam kehidupan sehari- hari kita perlu berhati-hati supaya tidak melakukan dosa, terutama dosa sesama manusia. 


Perlu difahami bahawa kehidupan di akhirat lebih perlu diutamakan kerana ia kehidupan yang kekal abadi. Kesejahteraan di akhirat memerlukan persiapan dan usaha yang lebih terancang dan konsisten. 


Oleh itu, sebelum menjadi ‘muflis’ di akhirat, sama-sama kita menghitung diri kita, adakah sudah berada dalam gaya hidup yang diredai Allah atau gaya hidup yang dimurkai Allah. 


Andainya kita dalam keredaan-Nya, kita pertingkat dan gandakan lagi supaya ia lebih mendapat rahmat dan keredaan Allah SWT. 


Andainya kita menderhaka kepada Allah, segeralah bertaubat dan kembali ke jalan Allah, mudah-mudahan kita diampuni Allah dan dilimpahi kehidupan akhirat yang penuh dengan nikmat sebagaimana firman Allah dalam surah Ali-Imran, ayat 133 yang bermaksud: “Dan segeralah kamu kepada keampunan daripada Tuhan kamu, dan Syurga yang luasnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang yang bertakwa.”

Jumaat, November 26, 2010

Perbetulkan peranan pendakwah elak kelirukan masyarakat

DALAM era globalisasi pendakwah Islam sepatutnya menumpukan perhatian kepada aspek yang boleh membentuk masyarakat menjadi orang yang beriman dan mampu menghadapi sebarang rintangan dan pergolakan di kalangan umat Islam. Cara pendakwahan juga menentukan keberkesanan dalam pendakwahan.

Setiap pendakwah amat perlu memahami matlamat dan objektif pendakwahan. Jika objektif pendakwahan itu dengan tujuan untuk mempengaruhi masyarakat menjauhkan diri daripada golongan tertentu maka intisari penceramahan tersebut tersasar daripada matlamat awal dakwah.

Dakwah Islamiyah sering diselewengkan oleh umat Islam kerana kebanyakan daripada penceramah agama lebih menumpukan perhatian kepada perjuangan politik melebihi kepentingan agama dan umat.  Apabila suasana begini wujud maka usaha untuk mendidik masyarakat menjadi orang Islam beriman akan gagal kerana intisari dalam ceramah lebih mirip kepada kutukan dan ejekan. Sikap mengutuk dan mempersendakan individu-individu dan golongan tertentu menjadi lumrah kepada kebanyakan penceramah agama di dunia Islam masa kini.

Pergerakan Jamaah Islamiyah di Mesir yang dikenali oleh media sebagai Tanzim al-Jihad menggunakan Syeikh Omar Abdul Rahman, seorang ulama buta mengeluarkan fatwa yang mengejutkan masyarakat Mesir.  Ahli-ahli pergerakan tersebut menggambarkan kepada beliau betapa jahilnya masyarakat Islam Mesir sehingga beliau mengeluarkan fatwa bahawa masyarakat Mesir adalah 'beruk' atau 'monyet'. Fatwa Umar Abdul Rahman ini bukan sahaja diamalkan oleh Pergerakan Tanzim al-Jihad malah ia juga menjadi fatwa kepada penceramah radikal di Malaysia.

Pendakwah sepatutnya memahami realiti kehidupan masyarakat di sekeliling mereka dan menggunakan akal yang rasional dalam merancang program dan pendekatan dakwah kepada masyarakat. Jika masyarakat jahil tentang agama Islam pendakwah sepatutnya menumpukan perhatian kepada aspek yang boleh memperkukuhkan akidah Islam dan mengajar serta menggalakkan mereka mengamalkan perkara-perkara berkaitan dengan fardu ain terlebih dahulu daripada membicarakan perkara-perkara yang menyukarkan akal fikiran masyarakat dan menyebabkan mereka merasai betapa sukarnya menjadi umat Islam.

Rasulullah SAW menyeru pendakwah Islam supaya memahami kecapaian akal fikiran manusia ketika berdakwah. Sikap radikal dan 'ujub (merasai diri terlalu warak dan beriman) bukan merupakan sifat pendakwah Islam. Kuliah subuh sepatutnya digunakan untuk menerapkan ilmu wahyu dalam hati nurani masyarakat bukan menghemburkan cacian dan cercaan kepada orang yang tidak bersefahaman dengan ideologi politik.

Pendakwah Islam masa kini sepatutnya memahami bahawa proses globalisasi sedang melanda umat Islam dalam dunia yang serba canggih dan membangun seperti Malaysia. Remaja dan muda-mudi Islam mengalami kehausan kerohanian yang memerlukan kepada bimbingan agama dan asuhan daripada para pendakwah dan sarjana Islam.  Ketika ini peranan utama pendakwah Islam ialah mengadakan pelbagai program dan bergaul bersama remaja dan masyarakat supaya mereka merasai para pendakwah merupakan tempat rujukan dan aduan berkaitan dengan kegelisahan dan kehausan kerohanian mereka.

Ceramah dan forum sahaja tidak mencukupi untuk membanteras gejala sosial dan mendidik masyarakat menjadi beriman dalam era globalisasi. Intisari ceramah yang disulami dengan cacian dan cercaan tidak akan dapat menyerapkan cahaya ilmu wahyu ke dalam hati nurani umat Islam kerana wahyu Ilahi diibaratkan sebagai cahaya yang terlalu terang yang hanya dapat dipantulkan kepada masyarakat secara hikmah dan lunak.

Pendakwah Islam sepatutnya menjadi orang yang paling sabar menghadapi kerenah masyarakat kerana peranan mereka ialah mendorong masyarakat ke arah syurga. Jika hati nurani pendakwah dilatih menjadi orang yang sabar dan mempunyai azam yang kuat untuk mendorong masyarakat ke arah kebahagiaan hakiki iaitu memasuki syurga, mereka tidak akan menghina dan mempersendakan orang yang jahil agama.  Sikap gemar mengejek dan merendahkan keperibadian orang lain bukan merupakan ciri-ciri pendakwah yang berwibawa.

Realiti yang wujud masa kini ialah terdapat pendakwah Islam kurang perihatin terhadap akhlak Islam dalam penyampaian ilmu wahyu. Sentimen politik lebih mempengaruhi pemikiran mereka ketika menyampaikan ilmu wahyu. Sepatutnya penceramah memahami bahawa orang yang hadir dalam majlis ilmu wahyu ialah orang yang mengharapkan panduan dan didikan agama bukan kutukan dan cercaan. Sedangkan mencerca orang musyrik pun dilarang oleh Rasulullah SAW.

Perkara ini dijelaskan oleh Abu Hurairah r.a. dengan katanya, "Seseorang meminta Rasulullah SAW supaya baginda mendoakan orang musyrik mendapat bala bencana. Baginda menjawab, "Aku bukan diutus menjadi tukang laknat tetapi untuk menjadi rahmat." Sabda baginda ini sepatutnya dijadikan panduan kepada pendakwah Islam.

Bagi menyemarakkan seruan Islam dalam era globalisasi masa kini maka para pendakwah dan sarjana Islam sepatutnya menumpukan perhatian kepada latihan kerohanian masyarakat Islam. Tugas ini memerlukan pengorbanan masa dan tenaga dan kerjasama masyarakat Islam keseluruhannya. Penyatuan masyarakat sepatutnya dijadikan agenda utama pendakwah Islam dalam menyusun strategi syiar Islam bukan mempengaruhi masyarakat bertelingkah dan bermusuhan sesama sendiri.

Oleh DR. SAODAH ABD. RAHMAN

Modal insan, kekalutan budaya

SEORANG pengamal psikiatri British menafsir manusia yang dijadikan sebagai modal dalam ragam pengeluaran sedang menghadapi sejenis penyakit yang dikenali sebagai selesema (affluenza). Oliver James mengkaji hubung kait antara tekanan kepada mendapatkan keperluan material dan kesejahteraan hidup menjadikan manusia semakin kalut dan resah. Ragam pengeluaran yang bersandarkan prinsip, manusia adalah selari dengan lain-lain sumber seperti model, mesin dan metod telah menjerumus suasana mental yang resah, tidak tenteram dan seterusnya menyumbang kepada penyakit.

Maka, apabila Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam mendedahkan berlaku peningkatan penjawat awam yang bermasalah – prestasi rendah, berpenyakit dan disiplin – ramai tidak ramai yang melahirkan rasa terkejut ataupun gelisah. Mereka sudah faham bahawa akibat terlalu menekankan kepada penghasilan dan memenuhi tekanan luaran, penjawat awam seolah-olah sedang dilanda virus affluenza. Sebahagian besar yang menghadapi masalah kesihatan, ada hubung kait dengan tekanan pekerjaan yang mereka terima, termasuk iklim dalam pejabat dan hubungan dengan rakan sepejabat semakin bermasalah.

Sistem pengurusan yang sedang dibudayakan lebih menumpukan kepada peningkatan produktiviti sehingga melupakan nilai-nilai keinsanan yang sepatutnya dijadikan landasan melunaskan tanggungjawab sebagai makhluk ciptaan Allah SWT yang terbaik. Manusia hanya sekadar alat atau modal dalam menghasilkan produk, manusia tidak dianggap sebagai rakan kongsi yang ikut bersama membangunkan kelangsungan organisasi.

Sifat manusia sebagai alat menghasilkan produk telah memunculkan pelbagai kesan sampingan yang negatif. Susun lapis pekerjaan menjadi terlalui berhierarki dan berlapis-lapis sehingga menampakkan bahawa pengurusan atasan lebih penting daripada mereka yang benar-benar menghasilkan produk. Pekerja bawahan kurang mempunyai mobiliti dan peningkatan kerjaya berbanding pengurusan atasan. Inilah faktor yang menambahkan sengsara sesetengan penjawat awam.

Dasar perkhidmatan awam yang memberikan pengiktirafan berlebihan kepada satu skim perkhidmatan menyebabkan lain-lain skim perkhidmatan tawar hati. Mereka masih tetap merupakan asset produktiviti, tetapi hanyalah sekadar memadai.

Asasnya adalah kerana sistem itu sendiri. Sistem yang mengamalkan pelbagai konsep pengurusan moden yang dipinjam daripada budaya pengurusan Barat tidak berupaya menjadikan pekerja sebagai insan. Walau pun pernah dicuba untuk mendefinisikan semula falsafah perkhidmatan awam, ia tetap menerima tolakan yang berganda kerana konsep pengurusan berasaskan falsafah Islam tidak dapat menepati kehendak antarabangsa.
Maka beberapa teori dan penemuan dalam bidang gelagat organisasi, dorongan manusia (dari sifat semula jadinya malas kepada berprestasi tinggi) melalui pengiktirafan kewangan, kehendak ‘pemegang saham’ yang sukar menerima teguran dan pendapat, maka yang hanya menjadi mangsa keadaan ialah penjawat awam. Ketidakselarasan kehendak dan peraturan menyebabkan penjawat awam adakalanya tersepit antara kehendak yang bercanggah itu.

Dalam pengurusan Islam, konsep pengurusan menjurus kepada hasrat untuk mendapatkan keredaan Allah SWT. Manusia, hanyalah disebut dengan istilah an-Nas dalam al-Quran adalah bersifat umum. Sifat insan yang digambarkan oleh al-Quran ialah menuju kepada keimanan dan ketakwaan dalam setiap tindak-tanduknya, termasuk berfikir dan berhubung sesama manusia.

Manusia turut dinasihatkan agar tidak terpengaruh dengan bisikan-bisikan yang sentiasa ada di sekeliling kehidupan mereka. Bisikan-bisikan itu akan menjadi lebih teruja dalam keadaan seseorang itu mempunyai kuasa, terutama kuasa pemutus dan menentukan kedudukan pekerja bawahan. Antara bisikan-bisikan yang sentiasa mencabar kekentalan iman seseorang ialah bisikan hati agar melakukan perkara-perkara yang negatif sehingga manusia sentiasa lalai, zalim dan resah.

Hal ini merupakan amaran yang telah diutarakan oleh Allah SWT dalam surah an-Nas. Surah tersebut meskipun hanya terdiri dari enam ayat yang pendek, ia tetap merupakan peringatan yang amat besar buat manusia.

(1) Katakanlah (wahai Muhammad): Aku berlindung kepada (Allah) Pemelihara sekalian manusia. 
(2) Yang Menguasai sekalian manusia. 
(3) Tuhan yang berhak disembah oleh sekalian manusia. 
(4) Dari kejahatan pembisik penghasut yang timbul tenggelam. 
(5) Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia. 
(6) (Iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia.”

Tentunya untuk memahami dengan mendalam mengenai hakikat manusia, kita perlu kembali kepada persekitaran kehidupan manusia itu sendiri. Allah SWT menciptakan manusia sebaik-baik kejadian, lengkap dengan kuasa berfikir dan membuka pintu rezeki dengan mengharamkan manusia mengkhianati manusia yang lain. Di sinilah kekuatan sistem pengurusan Islam, ia telah memberikan peringatan yang jelas bahawa dalam berorganisasi setiap orang adalah mesti sentiasa berada dalam persekitaran yang harmoni.

Bagi mendapatkan rezeki yang halal, Allah SWT turut mencipta pelbagai tumbuhan, binatang ternakan dan kekuatan akal untuk menggarap apa yang ada dalam alam. Tetapi, Allah juga melarang manusia agar tidak melakukan secara berlebihan sehingga boleh merosakkan alam. Dan, ini semakin bertentangan dengan falsafah pengurusan moden yang akan mengambil apa sahaja tanpa berusaha mengawal kerosakan yang bakal terjadi.

Seseorang pekerja perlu dilatih dengan pengetahuan baru, kerana perkembangan pengetahuan menjadi semakin cepat berubah apabila manusia sentiasa menyibukkan diri melakukan penelitian secara teknikal. Setiap masa manusia memperbaharui tekadnya kerana penerokaan baru akan menjadikan sesebuah organisasi sebagai peneraju pasaran. Peneraju pasaran itulah dilihat sebagai kelompok yang berjaya.

Sistem itu terus berkembang dalam masyarakat dengan tidak menampakkan kesungguhan moral dan ketegasan falsafah agama. Moral dan agama merupakan kepunyaan individu, maka setiap perbincangan hanya difokuskan kepada persoalan yang bersifat mekanistik dan boleh diukur berdasarkan kriteria tertentu.

Percanggahan asas inilah menyebabkan terlalu banyak masukan baru yang dicuba ke dalam perkhidmatan awam. Penjawat awam bukan sahaja dikehendaki mematuhi nilai-nilai ‘mendewakan’ ketua, menghormati arahan dan keputusan, malah disogokkan dengan pelbagai pendekatan teknikal bagi memberikan imej organisasi dengan lebih gah dan besar.

Ketika musim membangkitkan persoalan kualiti, maka agensi awam rasa ikut bersalah jika tidak mempunyai pengiktirafan piawaian kualiti. Maka berlumba-lumbalah pihak agensi awam untuk mendapatkannya. Setelah memperolehnya, pematuhan prosedur kerja menjadi masalah, sedangkan lebih ramai lagi pekerja bawahan tidak memahami kehendak pihak pengurusan.

Komunikasi hanya bersifat atas ke bawah. Jika ada pun bentuk komunikasi bawah ke atas, ia berlaku dalam ruang yang terhad. Sedangkan dalam Islam manusia digalakkan berhubung, meningkatkan silaturrahim dan saling bermaaf-maafan sepanjang masa. Setiap kelemahan dan kekuatan dibincang bersama agar jalan terbaik boleh dicari.

Penjawat awam yang bemasalah bukan tidak boleh dipulihkan. Selagi hayatnya masih ada, mereka masih tetap boleh menyumbang meskipun dilihat mempunyai masalah kesihatan, kecualilah yang bersifat kronik.  Islam tetap memberikan peluang kedua kepada setiap orang, jika ianya tersasul dan menghadapi masalah. Dengan peluang kedua ini, seseorang itu akan muncul sebagai pekerja yang cemerlang, dengan syarat iklim organisasi tidak menyumbang kepada tekanan dan pemaksaan yang keterlaluan. Hakikatnya, di manakah peranan pembimbing kerana teladan Nabi Muhamad SAW dalam pengurusan modal insan jelas memberikan semangat dan motivasi.

Penulis ialah Yang Dipertua Yayasan Dakwah

Kenapa fobia sejarah?

HASIL kaji selidik oleh sekumpulan wartawan mengenai pengetahuan sejarah dan kenegaraan di kalangan remaja dan belia, amat meresahkan. Laporan kaji selidik itu bertajuk, Ramai buta sejarah, disiarkan di muka depan Utusan Malaysia, kelmarin, mengundang perhatian besar.

Ramai yang tidak tahu tarikh kemerdekaan, nama-nama Perdana Menteri terdahulu, nama bendera, Rukun Negara, tarikh penubuhan Malaysia dan banyak lagi fakta asas tentang Malaysia. Mengejutkan dan memalukan. Inilah akibatnya jika generasi muda semakin longgar dan terpisah daripada sejarah. Itu baru fakta asas dan belum menyentuh tentang sejarah yang lebih lengkap.

Nampaknya tanpa sejarah, rakyat kita tidak ubah seperti pendatang asing. Di kebanyakan negara maju perhatian terhadap sejarah dan kenegaraan menjadi penekanan. Sesiapa sahaja yang mahu mendapat status warga negara disaring ketat. Mereka mesti menjunjung Perlembagaan, faham sejarah selain fasih menggunakan bahasa kebangsaan. Di Malaysia, ramai yang lulus permohonan menjadi warga negara tidak boleh bertutur bahasa kebangsaan seolah-olah menjadi pelancong asing selain tidak hayati sejarah. Maka Awang lega dengan keputusan kerajaan menjadikan sejarah subjek teras dan wajib lulus di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai 2013 seperti yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Muhyiddin Yassin baru-baru ini.

Ia diikuti dengan pengumuman oleh Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi bahawa tiga elemen iaitu unsur kewarganegaraan, patriotisme dan perlembagaan akan diajar dalam subjek Sejarah yang dijadikan mata pelajaran teras bermula 2014.

Ramai yang menyambut positif langkah tersebut. Mereka dapat melihat kewajaran dan kepentingannya untuk kesejahteraan dan masa depan negara yang lebih baik. Namun tidak kurang juga suara sumbang terutama daripada DAP. Ada juga pemimpin parti komponen BN yang kurang senang dan mahu mengenakan syarat. Awang hairan mengapa mereka perlu fobia kepada sejarah. Fakta tetap fakta. Sejarah tanah air ini bermula ratusan tahun dahulu dan ia tidak boleh dipadamkan begitu sahaja. Dalam kita memperakukan sumbangan semua kaum terhadap kemerdekaan negara, realitinya kaum Melayu yang paling dominan. 

Bacalah banyak buku dan dokumen sejarah Tanah Melayu yang ditulis oleh tokoh sejarah Barat yang jelas mencatatkan hal tersebut. Sejarah tidak boleh diseleweng mengikut selera politik. Era darurat tetap memperlihatkan ancaman pengganas komunis. Chin Peng tidak boleh diiktiraf sebagai hero atau apatah lagi negarawan. Awang menentang jika ada usaha untuk menulis semula sejarah. Adalah boleh diterima jika aspek-aspek tertentu mahu ditambah baik tetapi bukan dengan mengolahnya berdasarkan tekanan kaum-kaum dan etnik tertentu. Di banyak negara, kerajaannya tidak hiraukan sebarang teguran apatah lagi cadangan untuk meminda sejarah yang telah menjadi dokumen rasmi. Awang berharap kerajaan Malaysia tidak berganjak. Jika usaha menulis semula sejarah dibenarkan maka selepas ini banyak lagi yang akan dipinda dan dirombak termasuk Perlembagaan. Sejarah bukan produk komersial untuk dijual beli dan ditawar harga. Janganlah segala-galanya mahu dilihat dari sudut keuntungan seperti berniaga. Setiap warga negara mesti berkiblatkan negara ini dan bukan di luar. Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Kalau sejarah tanah air ini mahu ditolak, untuk apa menjadi warganegara?

Dato' Nalla Karipan

Wanita ditinggal kekasih di Lombok malu pulang ke Terengganu

Jumaat , 26 November 2010


JAKARTA: Kisah wanita Malaysia termasuk gadis bawah umur lari bersama kekasih ke Lombok, Nusa Tenggara Barat, Indonesia, bukan perkara baru dan sejak 10 tahun lalu, 15 kes seumpamanya telah dilaporkan berlaku di pulau itu. 

Bilangan sebenar mereka yang pergi ke pulau itu atas nama cinta dipercayai lebih besar berdasarkan laporan media tempatan dan difahamkan mereka kebanyakannya rela menetap di sana walaupun terpaksa menjalani kehidupan dalam keadaan serba kekurangan.

Sehingga kini, jumlah sebenar mereka yang terbabit tidak dapat dipastikan tetapi kes ini bukan sahaja dilaporkan berlaku di pulau Lombok, malah tujuh kes serupa juga dilaporkan berlaku di beberapa tempat lain iaitu di pulau Jawa, Sulawesi, Sumatera dan Kalimantan.
Setakat ini, 22 kes dilaporkan ke Kedutaan Besar Malaysia di sini, sama ada oleh keluarga mereka melalui Wisma Putra atau secara langsung ke pejabat kedutaan di sini selain oleh pihak berkuasa Indonesia apabila wanita berkenaan berdepan dengan masalah.

Terbaru ialah kes Harlizan Ibrahim, 35, wanita Malaysia yang ditinggalkan kekasihnya di Lombok Barat dan telah bernekad untuk menetap di pulau itu kerana malu pulang ke pangkuan keluarga di Kuala Terengganu.

Itulah pengakuan Harlizan kepada wartawan tempatan dua hari lalu ketika menceritakan kisah hidupnya tinggal di sebuah kampung yang jauh dari kota, semuanya dibuat atas permintaan kekasihnya bernama Asitah, lebih setahun yang lalu.

Sejak itu Asitah telah pulang semula ke Malaysia untuk bekerja dan selepas empat bulan berlalu beliau terputus hubungan dan tidak mendapat sebarang khabar berita daripada kekasihnya.
Wanita itu yang melahirkan seorang anak lelaki enam bulan lalu dan kini ditempatkan sementara di sebuah rumah kebajikan Bude Rini, Mataram, Lombok, memberitahu wartawan tempatan beliau terpaksa menggunakan kayu api untuk memasak, suatu kesukaran yang tidak pernah beliau lalui dalam kehidupannya di Malaysia.

Beliau juga dilaporkan terpaksa menjual kesemua barang kemasnya untuk perbelanjaan anaknya dan sejak akhir-akhir ini Harlizan mengalami masalah tekanan mental dan telah dua kali dibawa ke Hospital Sakit Jiwa di Mataram oleh rumah kebajikan itu.

Sementara itu, Kedutaan Besar Malaysia di sini sedang berusaha membantu menguruskan penghantaran pulang Harlizan ke tanah air selain menguruskan kebenaran untuk beliau membawa bersama anaknya, walaupun beliau sendiri sehingga kini masih menolak untuk pulang Malaysia.

"Pihak kami telah beberapa kali menghubungi Harlizan sejak 6 Oktober lalu dan sejak itu setiap tiga atau empat hari sekali menghubunginya sehingga 21 Oktober lalu, namun beliau tetap tegas tidak mahu pulang ke Malaysia," kata jurucakap bahagian Konsular Kedutaan Besar Malaysia di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya akan membantu Harlizan dalam urusan dengan Imigresen Indonesia berkaitan kesalahan beliau tinggal lebih masa di republik itu manakala bagi anaknya pula, akan mengeluarkan visa yang sesuai kerana status anak itu ialah warganegara Indonesia mengikut Undang-undang di republik itu.

Undang-undang No.62 Tahun 1958 Tentang Kewarganegaraan Indonesia Bab II, Fasal 4 (c) menyebut: "Anak yang lahir di Indonesia daripada perkahwinan seorang ayah warganegara Indonesia dan ibu warganegara asing, secara automatik menjadi warganegara Indonesia".

Jurucakap itu berkata, Kedutaan Besar Malaysia difahamkan bahawa rumah kebajikan Bude Rini kini sedang membantu menguruskan pendaftaran sijil kelahiran anak itu selain menguruskan pasport untuk bayi itu.

Katanya, daripada 15 kes seumpamanya di Lombok, lapan orang adalah gadis bawah umur dan enam daripada mereka, termasuk lima kes bawah umur telah dihantar pulang Malaysia.

Sementara itu, empat daripada tujuh kes serupa di luar pulau Lombok telah juga dihantar pulang ke tanah air. Jumlah mereka yang telah dihantar pulang ke Malaysia sehingga kini ialah 10 orang.

Pihak Kedutaan Besar Malaysia kini masih mengesan 12 lagi kes berkenaan di di Lombok dan di tempat lain di republik itu.

Di KUALA TERENGGANU, kakak Harlizan, Hartini Ibrahim berkata adiknya tidak perlu malu untuk pulang ke kampung kerana keluarga mereka sentiasa menunggu kepulangannya.

"Saya berharap adik saya segera pulang ke pangkaun keluarga kerana ibu, (Hasmah Sheikh Puteh) sangat merinduinya," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Nibong, Kuala Terengganu, hari ini.

Hartini berkata, keluarganya tidak mengetahui secara mendalam hubungan adiknya dengan pemuda Lombok itu, malah beliau yang paling rapat dengan Harlizan juga tidak tahu nama pemuda itu.

Katanya, adik ketiga daripada tujuh beradik itu sering menghubungi keluarganya untuk bertanya khabar tetapi tidak bercerita mengenai kehidupan di sana dengan lelaki itu.

"Dua hari lalu saya baru berhubung melalui telefon dengannya. Dari perbualan itu, saya rasa Harliza tidak menghadapi sebarang tekanan, mungkin dia cuba sembunyikan apa yang berlaku daripada kami," katanya.

Hartini berkata, beliau telah berhubung dengan kedutaan Malaysia di Indonesia untuk membawa pulang adiknya itu ke Terengganu. - BERNAMA

Khamis, November 25, 2010

Mata Lebam: 2 menteri diarah soal Gani Patail






Bekas Pegawai Penyiasat polis terhadap kes ini, Mat Zain Ibrahim semalam (22 November) menghantar satu surat terbuka kepada Ketua Polis Negara meminta beliau membersihkan pasukan polis dan mendakwa pihak yang patut dipersalahkan dalam isu ini adalah Peguam Negara, Tan Sri Gani Patail.


SURAT TERBUKA
Kepada,
YDH Tan Sri Haji Ismail bin Haji Omar IGP,
Ketua Polis Negara,
Polis Di-Raja Malaysia,
Bukit Aman,
50560 Kuala Lumpur. Melalui:Email dan Pos
Email:iho@rmp.gov.com

YDH Tan Sri,
LAGI MENGENAI INSIDEN MATA-LEBAM.
Assalamualaikum wbt.,Semoga YDH Tan Sri dalam sihat walfiat.
1. Dengan segala hurmatnya saya menjemput Tan Sri merujuk kepada teks ucapan YB Lim Kit Siang, “Gani Patail stan
d accused of fabricating evidence in the Anwar Ibrahim “black-eye” investigation in 1998,which stands unrebutted although made by the police officer responsible for the investigation 12 years ago.” ,ketika beliau mengemukakan satu usul untuk memotong gaji Peguam Negara sebanyak RM 10.00 di-Parlimen pada Selasa 9.11. 2010 yang tersebar dalam laman-laman blogs .
1.2. Setelah meneliti teks tersebut sepenuhnya,saya mengesahkan telah menghantar email kepada YB LKS pada 14.4.2010 yang beliau sebut itu, sebagai membalas/membetulkan komen beliau terhadap PDRM berkaitan siasatan kes mata-lebam, yang sedikit tersasar. Saya turut megesahkan bahawa kenyataan-kenyataan yang beliau petik daripada surat saya bertarikh 15.4.2009 kepada Lembaga Penasihat SPRM dan Surat Terbuka kepada YBhg.Datin Kalsom Taib bertarikh 8.10.2010(Surat Terbuka Pertama),yang salinannya saya email kepada Tan Sri, adalah betul setakat yang terkandung dalam salinan-salinan original surat-surat berkenaan.Saya akan merujuk kepada kandungan surat- surat tersebut apabila, atau jika berkenaan.
1.3. Sehubungan hal sama,saya mendapat tahu menerusi media, bahawa YB Dato Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz ,Menteri di-JPM akan membawa isu diatas dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang bermesyuarat pada Jumaat 12.11.2010.Beliau turut mengumumkan bahawa penjelasan akan diminta daripada Tan Sri Abdul Gani Patail (TSGP) sebagai memberinya peluang untuk menjelaskan dirinya yang merupakan hak beliau kepada pendengaran yang adil. Saya menyokong sepenuhnya TSGP diberikan hak sedemikian oleh kerana hak kesamarataan dari sudut undang-undang dan hak pendengaran yang adil adalah merupakan hak asasi individu yang dijamin oleh Perlembagaan Malaysia (Perlembagaan),dan wajar dihurmati oleh semua pihak.
2. Bagaimanapun apa yang menjadi kemuskhilkan saya kini ialah,apabila penjelasan diberi oleh TSGP, seorang Peguam Negara, dalam bentuk apa sekalipun,sama-ada secara lisan,atau kenyataan akhbar,atau representasi dan lain-lainnya,pihak berkuasa manakah yang layak dan berhak serta mempunyai kuasa untuk memberikan pendengaran yang adil kepada semua pihak terlibat dalam persoalan ini, dan tidak hanya adil kepada TSGP seorang sahaja.Sesuai untuk saya nyatakan disini, bahawa pihak-pihak yang terlibat, bukan setakat empat individu yang dinamakan dalam laporan Dato Seri Anwar Ibrahim (DSAI) iaitu TSGP,Tan Sri Musa Hassan (TSMH),Dr.Abdul Rahman Yusof
(Dr.Rahman) dan saya sendiri. Malahan Jabatan Peguam Negara,PDRM dan Kementerian Kesihatan Malaysia (khususnya Hospital Kuala Lumpur) juga merupakan pihak yang mempunyai kepentingan dalam perkara ini.Selain itu, Jemaah Menteri pada masa yang material itu juga adalah pihak dalam isu sama,jika apa yang akan saya bentangkan dalam perenggan-perenggan dibawah diambil pertimbangan.
3. Setakat yang saya telah dinasihatkan dan sesungguhnya percaya;bahawa jika seorang Peguam Negara didapati tidak lagi berupaya diatas apa sebab pun, untuk melaksanakan tugasnya dengan sempurna, atau didapati telah melakukan sesuatu yang boleh menyebabkan beliau dipecat daripada jawatannya,maka pihak yang berkuasa
mengadili/menghakimi beliau ialah suatu Tribunal yang dilantik oleh SPB Yang Di-Pertuan Agong sahaja, sepertimana perbekalan Artikel 125 Clause (4) Perlembagaan; setelah dinasihatkan oleh Perdana Menteri mengikut Artikel sama Clause (3).(Perbekalan ini adalah digunapakai terhadap Peguam Negara bila dibaca bersama Artikel 145 Clause (6)).Precedent penggunaan Artikel ini telah dicipta oleh mantan Perdana Menteri YA Bhg.Tun Mahathir Mohamed, ketika menangani isu pemecatan YA Bhg.Tun Salleh Abas,mantan Ketua Hakim Negara.Oleh itu soal sama ada Artikel berkenaan tidak boleh atau sukar dilaksanakan tidak timbul.
4. Berkaitan dengan dakwaan DSAI yang beliau buat pada 1.7.2008 itu,izinkan saya memaklumkan kepada Tan Sri,bahawa saya telah dibawa menemui Yang Amat Berhormat Dato’Seri Mohd.Najib Tun Abdul Razak (YAB PM) persendirian pada 23 Oktober 2008 lebih kurang jam 1030 pagi di-Pejabat Menteri Kewangan.Ketika itu YAB PM masih lagi Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Malaysia yang baru diambil alih.Pertemuan ini diatur dipercayai terbit daripada pendedahan yang saya buat,menerusi Pernyataan Tuntutan saya yang disiarkan meluas olih media, apabila kandungan tuntutan tersebut dibacakan sepenuhnya olih pihak Pembelaan dalam prosiding kes liwat terhadap DSAI, ketika diperingkat Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, dalam bulan Ogos/ September 2008.
4.1. Saya harus menyatakan bahawa interaksi antara kami dilakukan dalam suasana yang sangat mesra, dalam semangat persahabatan dan saya sedikit pun tidak rasa tertekan walaupun itulah kali pertama saya mengenali YAB PM.Dalam pertemuan ini, saya telah menjelaskan kepada beliau peranan dimainkan masing-masing oleh TSGP,TSMH, Dr.Rahman dan saya sendiri dalam penyiasatan “kes mata-lebam”.Saya menyentuh sedikit sebanyak butir yang terkandung dalam kertas siasatan kes tersebut dan mengenai keterangan yang telah saya berikan kepada SPRM.YAB PM ada membuat komen-komen tertentu, mengenai isu yang saya taklimatkan secara lisan kepada beliau.
4.2. Dalam perbualan sama ,saya memberitahu YAB PM mengenai maklumat yang saya perolehi; dimana pihak Kerajaan telah melantik satu Panel bagi mengkaji siasatan yang dijalankan oleh SPRM. Saya juga telah menyebutkan nama dua orang yang telah dilantik sahaja yang saya ketahui pada masa itu.Secara sepontan YAB PM bangun daripada tempat duduknya dan menyatakan dengan serious bahawa beliau tidak tahu menahu mengenai perlantikan Panel yang saya nyatakan kepadanya.Beliau selanjutnya menyatakan bahawa sekiranya benar sesuatu Panel telah dilantik, beliau pasti telah ditaklimatkan mengenainya.Malahan YAB PM telah menasihatkan saya supaya tidak percaya dengan khabar angin sedemikian kerana perkara itu adalah tidak benar.Setelah berbual satu dua perkara lain saya telah meninggalkan Pejabat YAB PM.
5. Sekembalinya dari pertemuan tersebut, saya mengambil sikap tunggu dan lihat.Seterusnya menjelang Februari 2009 saya mendapat maklumat, keputusan siasatan SPRM akan diumumkan sedikit hari lagi.Jesteru itu saya mengambil keputusan untuk mengemukakan satu laporan bertulis yang lengkap, kepada YAB PM.Laporan tersebut bertarikh 19 Februari 2009 (lebih kurang 3 minggu sebelum keputusan rasmi diumumkan di-Parlimen pada 11.3.2009)yang dialamatkan atas nama YAB PM persendirian dan dihantar dengan tangan serta disahkan penerimaannya oleh Pejabat Menteri Kewangan.Tanpa menyentuh butiran terperinci laporan tersebut, memadai jika saya menyatakan bahawa ianya boleh disifatkan sebagai “a no holds barred report”.(Dalam surat saya kepada Tan Sri bertarikh 6.5.2010 perenggan 12 ,saya ada setakat menyebut mengenai edaran surat kepada YAB PM ini.)
5.1. Untuk faedah Tan Sri,saya perturunkan perenggan 4 laporan kepada YAB PM tersebut seperti berikut;
“Para 4:
Dengan rendah diri saya memberi maklumat ini secara terus kepada YAB Dato Seri,atas kesedaran dan kepercayaan bahawa YAB Dato Seri akan menerajui kepimpinan Negara sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-6 menjelang akhir Mac atau April depan.

a)Ianya juga adalah,atas kesedaran dan kepercayaan bahawa SPRM tidak dapat tiada akan merujuk hasil siasatan laporan DSAI berkaitan kes “mereka keterangan palsu” itu kepada YAB Dato Seri,memandangkan kedudukkan Gani Patail dan Musa Hassan sebagai orang nombor satu dalam Jabatan masing-masing.
b)Sesungguhnya dengan rendah diri,saya memohon agar YAB Dato Seri sudi menerima maklumat yang akan menyusul dibawah sebagai input mustahak dalam membantu YAB Dato Seri mempertimbangkan sesuatu keputusan yang terbaik,adil dan saksama dan “without fear or favour”berkaitan kes “mereka keterangan palsu”tersebut.
………….
………….
Ditandatangan oleh Mat Zain Ibrahim bertarikh 19.2.2009.
.
6. Seterusnya pada 11.3.2009, Dato Seri Nazri telah membuat pengumuman di-Parlimen mengenai keputusan siasatan SPRM tersebut.Antara perkara penting yang beliau umumkan ialah; bahawa siasatan dan keputusan tersebut telah selesai dua bulan daripada tarikh laporan DSAI,bermakna dalam minggu pertama bulan September 2008. Bagaimanapun hanya diumumkan pada hari tersebut kerana kes ini sangat sensitif.Beliau seterusnya mengumumkan bahawa siasatan SPRM telah diteliti oleh tiga orang Ahli Panel bebas yang dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya(DPP) mengikut Kanun Prosidur Jenayah(CPC) oleh Peguam Cara Negara(SG).Beliau juga memberikan nama-nama tiga orang Ahli Panel bebas tersebut iaitu; Datuk Abdul Kadir Sulaiman,Datuk Wira Mohd.Noor Ahmad dan Datuk Mohd.Noor Abdullah,masing-masing mantan Hakim Mahkamah Persekutuan dan seorang mantan Hakim Mahkamah Rayuan. Selanjutnya beliau mengumumkan bahawa Ahli Panel sebulat suara (3-0) mendapati TSMH tidak terlibat dalam sebarang salah laku jenayah manakala keputusan majority (2-1) terhadap TSGP yang bermakna seorang dari Ahli Panel tersebut mendapati terdapat keterangan mengaitkan TSGP dalam suatu salah-laku.Namun begitu kedua-dua TSGP dan TSMH dibersihkan daripada sebarang salah laku jenayah.

6.1. Perkara penting yang boleh saya rumuskan mengenai ketususan ini ialah; maklumat yang saya berikan kepada YAB PM ketika menemuinya pada 23.10.2008,berkaitan dengan perlantikan Ahli Panel tersebut adalah betul. Dua nama Ahli Panel yang saya berikan kepada YAB PM ketika itu juga betul. Perkara yang lebih penting dari itu ialah;keputusan siasatan kes tersebut telah selesai dibuat pada awal September 2008 yang bermakna pada ketika saya menemui YAB PM, keputusan berkenaan sebenarnya telah selesai dibuat lebih kurang 6 minggu sebelum pertemuan itu. Sedangkan, YAB PM sendiri masih tidak tahu menahu mengenainya dan diletakkan dalam gelap berkaitan suatu perkara undang-undang yang sangat mustahak, yang melibatkan seorang Peguam Negara dan seorang Ketua Polis Negara.Walhal setahu saya adalah menjadi tanggung jawab Peguam Negara untuk menasihatkan Jemaah Menteri dalam perkara berkaitan undang-undang sepertimana termaktub dalam Perlembagaan.
6.2. Pegumuman Dato Seri Nazri pada 11.3.2009 itu, menyedarkan saya bahawa Peguam Negara telah memperdayakan Jemaah Menteri untuk mempercayai bahawa SG mempunyai kuasa untuk melantik Ahli-Ahli Panel tersebut sebagai DPP mengikut peruntukkan dalam CPC, tetapi sebenarnya SG tidak mempunyai hak atau kuasa ini sepertimana jelas dalam Seksyen 376(4) CPC.Peguam Negara juga telah memperdayakan Jemaah Menteri untuk mempercayai bahawa kononya Ahli-Ahli Panel Bebas terdiri daripada mantan-mantan Hakim Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan yang dilantik sedemikian itu, mempunyai hak dan kuasa untuk mengadili/menghakimi seorang Peguam Negara, padahal, hak dan kuasa untuk melantik Tribunal bagi maksud tersebut hanya terletak kepada SPB Yang Di-Pertuan Agong seorang sahaja, setelah dinasihatkan oleh Perdana Menteri sendiri, sepertimana termaktub dalam Perlembagaan.
7. Saya sedikitpun tidak terkejut dengan perkembangan ini oleh kerana ini bukan kali pertama Peguam Negara memperdayakan (atau dalam terma yang digunakan dalam Kanun Keseksaan,”menipu”) Jemaah Menteri, untuk mempercayai perkara yang tidak benar dan menyebabkan Jemaah Menteri melakukan sesuatu,yang tidak akan dilakukan, sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.Beliau pernah lakukan perkara yang sama didalam proses siasatan kes mata-lebam.
7.1. Terbit daripada pengumuman oleh Dato Seri Nazri sedemikian itu,saya telah menghantar surat bantahan dan rayuan, Rujukan MZ/SUL/5776/7 bertarikh 15.4.2009 kepada Pengerusi dan Ahli-Ahli Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah,(LPPR),dan salinannya kepada Pengerusi-Pengerusi Jawatankuasa Kecil LPPR dan Jawatankuasa Khas (Parlimen),Saya turut menulis laporan kepada Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia (Persendirian) pada 7.5.2009 dan mengedarkan kedua-dua salinan laporan diatas kepada SG yang masing-masing telah akui penerimaannya.Saya ada menyebut perkara ini dalam perenggan 13 dan 14 surat saya bertarikh 6.5.2010 kepada Tan Sri.
7.2. Dalam laporan saya kepada LPPR itu, saya telah menghuraikan dengan terperinci mengenai caramana pemalsuan keterangan tersebut telah dilakukan dan oleh siapa.Saya juga turut melampirkan dokumen-dokumen buktinya.Selain itu saya juga mempersoalkan berkaitan kesahihan perlantikkan Ahli-Ahli Panel bebas oleh SG demikian itu.(bekaitan hak dan kuasa yang wajib dilaksanakan oleh Pendakwa Raya secara sendiri, sudi Tan Sri merujuk kepada hujah yang dikemukakan oleh SG sendiri dihadapan Hakim YA Dato Mohamad Zabidin bin Mohd.Diah dalam Rayuan Jenayah No:43-(70)-2008 dalam perkara Pendakwa Raya lwn DSAI (Decision on Revision bertarikh 5.3.2009) berkaitan kuasa Pendakwa Raya menandatangani sendiri sijil dibawah Seksyen 418(1) CPC yang boleh dibaca bersama dengan kuasa Pendakwa Raya sendiri dalam melantik Timbalan Pendakwa Raya dibawah Seksyen 376(4)CPC.).
7.3. Selain daripada dua perkara utama dalam laporan tersebut saya telah memadatkan/meringkaskan maklumat mengenai insiden menipu Jemaah Menteri sepertimana terkandung dalam perenggan 41 hingga 42 (a) yang diperturunkan seperti dibawah;
“KEPUTUSAN JEMAAH MENTERI MENUBUHKAN SURUHANJAYA DI RAJA.
41.Jemaah menteri yang bermesyuarat pada 27.1.1999 bersetuju menubuhkan Suruhanjaya Di Raja tersebut,yang mendapat perkenan SPB Yang Di Pertuan Agong pada 3.2.1999.(Jemput YA Bhg.Tun,merujuk lampiran N,iaitu salinan surat Kerajaan memohon perkenan tersebut).Terma rujukan Suruhanjaya Di Raja yang di-Titahkan adalah sepertimana perenggan 4(i)dan (ii).
42.Saya ada alasan untuk menegaskan bahawa Jemaah Menteri mengambil keputusan menubuhkan Suruhanjaya Di Raja ini setelah dibekalkan dengan maklumat yang mengelirukan dan tidak benar (sepertimana kandungan Kenyataan Media Peguam Negara 5.1.1999),berkaitan status siasatan kes mata-lebam ketika itu,serta maklumat kononnya mengenai ketidakupayaan dan/atau ketidakcekapan PDRM menangani siasatan kes ini.Saya percaya sekiranya Peguam Negara telah menasihatkan Kabinet bahawa siasatan PDRM telah mengesahkan sebab kecederaan mata-lebam tersebut serta mengenalpasti sejak 30.10.1998 lagi,orang yang bertanggung-jawab mencederakan Anwar Ibrahim,saya yakin Kerajaan tidak akan membuang masa dan dana Rakyat serta mengaibkan PDRM,dengan menubuhkan Suruhanjaya Di Raja tersebut,jika hanya untuk mencari jawapan yang sama yang telah PDRM bentangkan tanpa sebarang keraguan, kepada Gani Patail.
(a)Walaupun diakhir prosiding Suruhanjaya Di Raja tersebut,Yang Arif Pengerusinya telah sedaya upaya cuba menaikkan imej dan keyakinan rakyat terhadap PDRM dengan kata-kata pujian akan bagaimana tegas dan jujurnya Pegawai-pegawai dan anggota Pangkat Rendah PDRM memberikan keterangan masing-masing walaupun terhadap Ketua Polis Negara mereka,hakikatnya ianya telah terlewat kerana ketika itu intergriti dan imej PDRM telah dimusnahkan dengan hanya satu Kenyataan Media Peguam Negara 5.1.1999 yang direka.”

8. Saya percaya penerima-penerima laporan bertarikh 15.4.2009 itu tidak terlepas pandang maklumat diatas.Sungguhpun saya terdengar komen yang menyatakan maklumat tersebut adalah keterlaluan dan ada juga yang mempersendakannya sebagai maklumat mengarut,namun majoriti daripada mereka bersetuju maklumat tersebut adalah serious.Namun begitu, masa telah menentukan untuk saya merasa telah di-“vindicated” setelah 15 bulan mengemukakan maklumat tersebut, apabila pada 29.7.2010,Peguam Negara sendiri,yang mengetuai Pasukan Pendakwaannya yang terbaik, telah menuduh YA Bhg.Tun Dr.Ling Liong Sik (Tun LLS),bekas Menteri Kanan Persekutuan di-Mahkamah, dibawah Seksyen 418 Kanun Keseksaan, kerana menipu Jemaah Menteri.Maklumat yang dahulunya dikatakan sebagai keterlaluan dan mengarut dan tidak mungkin berlaku kepada Jemaah Menteri, kini terserlah dan tidak boleh disembunyikan lagi.
8.1. Sekiranya Peguam Negara menuduh Tun LLS dalam apa pertuduhan lain pun, beliau dan keluarganya tetap akan merasa keaibannya.Malah mungkin banyak lagi kesalahan yang lebih berat yang beliau boleh dituduh berkaitan skandal PKFZ itu.Tetapi apabila Peguam Negara dengan sengaja memilih untuk menuduhnya kerana menipu Jemaah Menteri, maka bukan sahaja Tun LLS yang merasa aib, bahkan kesemua Ahli Jemaah Menteri dan rakyat telah diaibkan.Ianya boleh memberi gambaran negatif seolah-olah Jemaah Menteri Malaysia terdiri dari gulungan mereka yang dengan mudah ditipu.Siapa yang ada ekses untuk menipu Jemaah Menteri?, kalau tidak dikalangan Menteri sendiri atau orang-orang yang dipertanggung-jawabkan oleh Perlembagaan untuk menasihatkan Jemaah Menteri.Mesej apa yang ingin disampaikan oleh Peguam Negara dan kepada siapa, hanya beliau mengetahuinya.
8.2. Namun begitu,mungkin ada hikmahNya Peguam Negara berbuat begitu.Jika Bahagian Pendakwaan dapat mengesan “ingredients” yang diperlukan untuk membuktikan Tun LLS telah menipu Jemaah Menteri, sepertimana pertuduhan yang dikenakan terhadap beliau,bagaimana pula mereka boleh terlepas pandang kesalahan menipu Jemaah Menteri yang dilakukan oleh TSGP sendiri?.Walhal maklumat mengenai kesalahan itu sepertimana perenggan 7.3 diatas adalah sangat jelas, dan telah diakui terima oleh SG.Lebih-lebih lagi kita ketahui SG dan Ketua Bahagian Pendakwaan, Jabatan Peguam Negara adalah orang-orang yang sangat teliti apabila mengkaji sesuatu kertas siasatan dan pakar dalam undang-undang jenayah.Tidak mungkin mereka terlepas pandang.Lagipun “ingredients” untuk membuktikan kes tersebut, semuanya dimuatkan dalam maklumat berkenaan. Apa yang pasti ialah, pertuduhan menipu Jemaah Menteri terhadap Tun LLS itu tidak adil kepada beliau,jika Peguam Negara pula tidak dituduh,kerana beliau juga pernah menipu Jemaah Menteri, sekurang-kurangnya dua kali.
8.3. Baru-baru ini pula,ketika perbicaraan OC Phang, salah seorang tertuduh dalam skandal PKFZ ,seorang DPP daripada Jabatan Peguam Negara telah menyatakan persetujuannya di-Mahkamah, untuk perbicaraan kes Tun LLS diselesaikan dahulu oleh kerana mengikut kronologi kejadian, kes yang dihadapi oleh Tun LLS,telah berlaku terlebih dahulu daripada kes terhadap OC Phang.Saya tidak akan terkejut ,apabila perbicaraan kes Tun LLS dimulakan,Peguam beliau akan meminta pula, pendakwaan terhadap Peguam Negara diselesaikan dahulu oleh kerana mengikut kronologinya, Peguam Negara yang lebih dahulu menipu Jemaah Menteri daripada Tun LLS.Apa pula pendirian yang akan diambil oleh DPP ketika itu,kita tunggu dan lihat.Secara ikhlas,saya tidak berniat untuk mempersendakan perkara ini,tetapi hampa melihat Sistem Keadilan Jenayah dan Sistem Pentadbiran Keadilan kita dihalakan kelorong kemusnahan dan kehancuran oleh orang yang telah diberi kuasa mengawalnya, seolah-olah rakyat jelata semuanya buta undang-undang.
9. Saya juga tidak berhasrat untuk melebarkan perkara dalam persoalan ini dengan isu lain.Namun begitu,saya juga tidak dapat mengelakkan diri daripada bercakap mengenai Statutory Declaration(SD) palsu oleh Private Investigator Balasubramaniam (P.I.Bala).Jelas P.I.Bala telah melakukan suatu kesalahan jenayah dan boleh dihukum penjara 7 tahun dibawah Seksyen 193 Kanun Keseksaan jika disabitkan kesalahannya.Malah P.I.Bala sendiri mengaku bahawa SD keduanya itu, mengandungi kenyataan palsu serta dengan berani secara terbuka, mencabar TSGP menuduhnya di-Mahkamah.Rakyat jelata, malahan rakyat Malaysia diseluruh dunia pun tahu perkara ini.
9.1. Dari sudut keputusannya, kita harus terima hakikat bahawa apa juga keputusan yang dibuat mengenai kes ini,Peguam Negara adalah dilindungi oleh Perlembagaan dan tidak boleh dipersoalkan di-Mahkamah.Persoalannya, adakah Peguam Negara sendiri telah membuat keputusan yang adil kepada semua pihak?.Tentunya ia tidak adil kepada orang-orang yang telah dituduh kerana melakukan kesalahan yang sama seperti P.I.Bala,atau yang dituduh membuat afidavit palsu,atau memberi keterangan palsu di-Mahkamah, ataupun orang-orang yang telah dituduh kerana kesalahan-kesalahan berkaitan membuat, atau memberi keterangan palsu yang lain yang boleh dihukum dibawah Seksyen 193 Kanun Keseksaan juga.Malah lebih tidak adil lagi,kepada orang-orang yang telah didapati bersalah dan menjalani hukuman penjara pula.Antaranya yang saya ingat, ialah dalam kes seorang Sharma Kumari Shukla, yang dijatuhkan hukuman 3 tahun penjara bagi setiap satu daripada dua kes membuat kenyataan palsu, dalam afidavit, berkaitan dengan nama beliau sahaja,iaitu perbezaan diantara “Sharma Kumari” dan “Sharma Kumari Shukla” pada 26.4.2000.Malah ketika menjatuhkan hukuman, Majistret Juliana Mohammad dilapor menyatakan “making false statement was like giving false evidence,which could undermine the country’s justice system”. Saya juga masih ingat betapa Peguam Negara begitu megah dengan kejayaan seorang DPP-nya yang berhujjah bersungguh-sungguh dalam prosiding rayuan, dihadapan Hakim Mahkamah Tinggi Augustine Paul (mendiang) apabila Sharma Kumari dibebaskan, tanpa membela diri pada mulanya. Mungkin lebih tidak adil lagi kepada Sharma Kumari, apabila dalam rayuan kes kes yang lebih berat lagi daripada kes beliau, malah hingga ada kes yang menyebabkan kehilangan nyawa, Peguam Negara bertindak sambil lewa sahaja, malahan ada yang tidak dibuat rayuan langsung.
9.2. Disebalik itu pula, mungkin keputusan TSGP untuk tidak mengambil sebarang tindakan terhadap P.I.Bala, dan menutup kes terhadapnya, adalah sangat adil kepada TSGP sendiri yang boleh dibuktikan telah memalsukan beberapa keterangan, atau kepada kenalan beliau atau orang-orang lain yang telah melakukan kesalahan serupa tetapi dikecualikan daripada tindakan undang-undang.Antara yang saya ingat ialah dalam kes Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik (TSRTC)bekas Ketua Menteri Melaka. TSGP sendiri yang telah mengesahkan bahawa terdapat keterangan prima-facie berkaitan empat pertuduhan jenayah yang boleh dikenakan terhadap TSRTC, dan salah satu daripada kesalahan-kesalahan tersebut ialah kerana membuat Statutory Declaration palsu di-Pejabat Perdana Menteri,Jabatan Perdana Menteri ketika itu terletak di-Jalan Dato Onn Kuala Lumpur,suatu kesalahan yang boleh dihukum penjara 7 tahun dibawah Seksyen 193 Kanun Keseksaan jika disabitkan kesalahannya.(komen saya mengenai TSGP berkaitan perkara TSRTC dan beberapa yang lain adalah sepertimana perenggan 19,20 dan 21 dalam surat saya kepada Tan Sri bertarikh 6.5.2010, khasnya perenggan 29).
10. Dalam hal diatas saya hanya mampu memberi pendapat peribadi saya untuk menyatakan, bahawa caramana Peguam Negara sampai kepada keputusan yang dibuatnya berkaitan kes P.I.Bala dan sebelum itu, dalam memilih pertuduhan sesuai terhadap Tun LLS, mengesahkan tanpa ragu lagi, bahawa beliau tidak menghiraukan langsung hak kesamarataan individu dari sudut undang-undang, yang dijamin oleh Perlembagaan .Tidak keterlaluan untuk saya menyatakan bahawa beliau telah sampai ketahap tidak lagi mampu berfikir secara rasional.Saya berpendapat bahawa TSGP telah hilang keupayaan untuk melaksanakan tanggung-jawab dan fungsi jawatannya, dengan betul dan adil selaku Peguam Negara.Saya juga berpendapat yang beliau tidak lagi mampu dan berupaya untuk menjadi pelindung Keadilan Awam dan hak asasi rakyat.Sebagai seorang individu, saya berhak untuk tidak membiarkan hak kebebasan individu saya,isteri dan anak-anak serta cucu-cucu saya ditentukan oleh seorang yang tidak waras dan rasional lagi.Mungkin ramai individu lain juga berpendirian sedemikian.
10.1. Sekiranya Ketua Hakim Negara boleh dibawa kehadapan Tribunal,jika bekas Timbalan Perdana Menteri,Menteri Besar,Menteri-Menteri kanan termasuk Tun LLS,Ahli-Ahli Parlimen,Ketua Polis Negara,Panglima dalam Tentera Darat, Ketua Setiausaha Kementrian,Ketua Pengarah-Ketua Pengarah Jabatan Kerajaan dan lain-lain, mampu dihadapkan kemuka pengadilan oleh Kerajaan,malah ada diantara mereka yang telah menjalani hukuman,dibuang kes dan ada yang masih menunggu perbicaraan selain daripada telah diaibkan.Apa istimewanya Peguam Negara? Walaupun kita wajar hurmati kuasa seorang Peguam Negara seperti yang termaktub dalam Perlembagaan, namun, tidak ada dalam mana-mana undang-undang Malaysia yang melindungi beliau sekiranya, menyalahgunakan kuasanya atau melakukan jenayah.Beliau tidak ada hak atau kuasa untuk sewenang-wenangnya mencabuli undang-undang, lebih-lebih lagi jika jenayah itu adalah terhadap Keadilan Awam itu sendiri dimana beliau sepatutnya menjadi pelindungnya.
YDH Tan Sri,
11. Sungguh pantas masa berlalu.Kini usia kes mata-lebam telah genap 12 tahun dan sedang melangkah pantas menuju tahun ke-13.Jika tidak ada penutupan sepenuhnya (“full and final closure”) kepada episode ini,ia akan terus melangkah 12 tahun lagi dan tidak berkesudahan.Setiap hari ada sahaja peristiwa yang mengingatkan saya kepada insiden mata-lebam ini.Malahan di-Parlimen pun sejak insiden ini berlaku sehingga kehari ini tidak henti-henti membahaskannya,dan tidak nampak tanda-tanda untuk ia dihentikan dalam masa terdekat ini.Ketika saya mulakan menulis surat ini kepada Tan Sri dua hari lalu;mengingatkan saya tempoh 8.10.1998 hingga 20.11.1998 genap 12 tahun dalam sejarah,merupakan tempoh paling rumit yang PDRM lalui menangani kes mata-lebam ini,khasnya kepada diri saya sendiri.Saya sedar bukan tidak ada usaha PDRM dan Kerajaan untuk membawa kes ini kepada penutupan sepenuhnya.Malangnya terdapat halangan-halangan yang sengaja diujudkan olih pihak-pihak yang mempunyai kepentingan dalam perkara ini,dengan memutar belitkan fakta-fakta yang betul,malahan membenamkan keterangan sebenar daripada diketahui umum dan Jemaah Menteri,sehingga memburukkan lagi keadaan.
12. Saya percaya Tan Sri,pucuk pimpinan tertinggi dan warga PDRM keseluruhannya,berminat mengetahui apakah tindakan yang diambil oleh pucuk pimpinan PDRM sendiri ketika itu, untuk membawa penutupan segera kepada peristiwa tersebut sebelum didedahkan dalam prosiding Suruhanjaya Di-Raja, yang pada pendapat saya, tidak sepatutnya diadakan.Untuk faedah Tan Sri,saya ringkaskan seperti perenggan-perenggan berikut dibawah;
12.1. Sebenarnya persetujuan untuk penutupan sepenuhnya insiden mata-lebam itu, dicapai antara jam 2.30 petang hingga 3.30 petang hari Khamis 8.10.1998.Persetujuan ini dicapai diantara Tan Sri Abdul Rahim Noor (TSRN), Ketua Polis Negara ketika itu,Tan Sri Norian Mai,Timbalan Ketua Polis Negara dan saya selaku Pegawai Penyiasat,didalam bilik Pejabat TSRN sendiri.Wajar saya menyatakan kesediaan dan kerelaan TSRN mengambil tanggungjawab sepenuhnya insiden mata-lebam yang telah berlaku itu,dibuat secara sukarela dan tanpa pujukkan sebagai seorang gentleman. Proses penutupan ini juga dipersetujui dibuat secara professional,mengikut lunas undang-undang dan perlaksanaan sepenuhnya dibuat secara “above board”. Saya telah ditugaskan untuk menyiapkan kertas-siasatan serta merta dan lain-lain dokumentasi yang berkaitan,termasuk menyediakan factor-faktor mitigasi (mitigating factors),yang saya perakukan boleh disiapkan dalam tempoh 2 hari.Dengan mengambil kira tempoh rayuan 10 hari daripada Isnin 12.10.1998, jika ada sebarang rayuan keatas hukuman, kita menjangka dapat menutup kes tersebut sepenuhnya pada Khamis 22.10.1998.
12.2. Setelah memberi persetujuan tersebut saya lihat wajah TSRN begitu tenang,dan menerusi “body language” beliau, saya dapati seolah beliau begitu lega, setelah beban diatas bahunya dilepaskan.Malah beliau sambil bersahaja menanyakan kepada Tan Sri Norian, sama ada beliau(TSRN) layak membeli staff-car Mercedes yang sedang beliau gunakan itu, dan jika boleh beliau minta tolong, untuk repair sedikit-sedikit mana yang rosak.TSRN juga memanggil PA beliau untuk menyemak baki pinjaman perumahannya atau bil-bil Kerajaan yang perlu beliau jelaskan.Malah beliau berpesan kepada Tan Sri Norian untuk menjaga kebajikkan “budak-budak” (anggota polis) yang menjaga dan mengawal kediamannya dengan baik.Tan Sri Norian juga ada menyatakan yang beliau dan seluruh warga Polis tidak akan melupakan jasa-jasa TSRN kepada PDRM dan berjanji akan membantu beliau dan keluarga setakat yang termampu setelah TSRN meninggalkan Pasukan;mengikut rancangan,dua hari selepas perjumpaan kami itu,bagi membolehkan PDRM membuka lembaran baru.Begitulah antara suasana dalam bilik TSRN ketika itu,dan selepas bersalaman dan memohon kemaafan dan ucapan terima kasih saya dan keluarga kepada beliau,serta berjanji akan menjengok-jengok keluarga beliau di-Melaka, saya telah meninggalkan Pejabat TSRN jam lebih kurang 3.30 petang, membiarkan mereka berdua untuk meneruskan perbualan.
12.3. Manusia hanya boleh merancang,tetapi Allah sahaja yang boleh menentukanNya. Saya mendapat tahu kemudiannya, iaitu pada jam lebih kurang 5.00 hingga 5.30 petang 8.10.1998 itu,Tan Sri Mohtar Abdullah (Allahyarham) diringi oleh orang kuatnya Datuk Abdul Ghani Patail ,telah menemui TSRN dibilik Pejabat KPN.Lebih kurang jam 6.00 petang itu saya dipanggil untuk berjumpa dengan Tan Sri Norian dan beliau cuma memberitahu saya “untuk meneruskan siasatan seperti biasa”,dan apabila melihat beliau membuat gesture bahunya sedemikian,saya faham bahawa persetujuan yang dicapai antara kami beberapa jam sahaja sebelum itu telah dibatalkan.Saya harus menyatakan bahawa saya terkejut dan hampa dengan perubahan ini,tetapi siapalah saya untuk menghalangnya, oleh kerana kita sendiri tidak tahu apa yang akan berlaku pada hari esok.
13. Untuk mengelakkan sebarang kekeliruan dan mengenepikan sebarang keraguan Tan Sri, kepada ketepatan kronologi yang saya huraikan diperenggan 12 diatas,saya menggesa Tan Sri mendapatkan Kertas Siasatan kes mata lebam IP No:8497/98 bersangkut Tun H.S.Lee Rpt:25223/98 yang mungkin masih tersorok di-Jabatan Peguam Negara;untuk menyemak Diari Penyiasatan saya dan juga Minit-Minit saya bertarikh 15.10.1998,29.10.1998 dan 27.1.1999 yang kesemuanya berjumlah lebih daripada 100 muka surat, bagi tujuan verifikasi.Walaupun Diari Penyiasatan saya, tidak 100% lengkap seperti sebuah novel,namun tarikh,waktu dan rakaman ringkas peristiwa penting adalah cukup untuk menyegarkan ingatan saya kepada peristiwa sebenar yang berlaku.
13.1. Sudi nanti Tan Sri merujuk Diari Penyiasatan bertarikh 8.10.1998 (Khamis) siri 75 hingga 78 muka surat 22 hingga 24 khasnya nombor siri 78 bertarikh 8.10.1998 mulai jam 2.30 petang berkaitan dengan persetujuan penutupan berkenaan.
13.2. Untuk peristiwa berkaitan sebelumnya,sudi juga merujuk siri no:73 bertarikh 7.10.1998 (Rabu)jam 8.45 malam hingga 1100 malam dirumah Tim.KPN, Tan Sri Norian.Saya juga ada merakamkan nama Pengarah-Pengarah PDRM yang hadir sama.Perjumpaan ini adalah bagi membincangkan pendirian PDRM dalam menangani siasatan ini dan cara terbaik menyelesaiknya segera, tanpa membelakangkan undang-undang.Saya juga telah diberi mandat untuk mengambil keputusan sendiri, asalkan nama baik dan imej Pasukan dipelihara.
13.3. Dalam siri No:74 pula saya ada merakamkan mengenai perbincangan menerusi telefon antara jam 1200 tengah malam(7.10.1998) hingga 1.00 pagi (8.10.1998)dengan KPN.
13.4. Mengenai pendirian TSRN sendiri berkaitan siasatan ini pula,sila Tan Sri rujuk siri No:15 jam 9.30 hingga 11 malam,Ahad 27.9.1998, bertempat di-Pejabat Komander Brigade Tengah,Ceras.Dalam perjumpaan ini beliau secara one-to-one dengan saya mengarahkan untuk siasatan dijalankan secara berkecuali dan “to leave no stone unturned”.TSRN juga berpesan bahawa sebarang keputusan yang saya bakal ambil,hendaklah meletakkan imej Pasukan diatas segalanya.
14. Selanjutnya,sejak 9.10.1998 tempo dalam “gelanggang” siasatan bertukar menjadi tegang.Beberapa kali berlaku pertembongan secara “head-on” antara TSGP dan saya.Tidak mendatangkan faedah kepada mana-mana pihak pun jika saya menghuraikan apa yang terkeluar dari mulut TSGP dan apa pula yang terkeluar dari mulut saya.Mungkin hanya akan menimbulkan permusuhan dan benci membenci antara pihak-pihak yang tidak berkenaan.Namun begitu saya telah mengambil langkah-langkah yang terdaya oleh saya, sepertimana yang saya telah jelaskan terperinci dalam perenggan 10.9.1 Surat Terbuka Pertama.Selanjutnya,tanpa sedikitpun menghiraukan nasihat, sergahan dan amaran daripada saya yang lebih tua dari beliau, TSGP terus melakukan pemalsuan untuk menutup pemalsuan terdahulu dan membenamkan keterangan untuk membenamkan keterangan sebelum itu.TSGP yang sebelum insiden mata-lebam itu mungkin bersih daripada sebarang salah laku jenayah,tetapi kini mengikut pengiraan saya sendiri; boleh dihadapkan dengan sekurang-kurangnya 6 dakwaan salah laku jenayah melibatkan pembuatan keterangan palsu dan menyorokkan dan/atau cuba membinasaka keterangan,kesalahan-kesalahan yang beliau cari sendiri.
14.1. Lebih lama kes mata-lebam ini kekal,lebih banyak kesalahan tambahan yang mungkin akan tercipta,dan tidak hairan ramai lagi orang-orang yang tidak berkenaan akan terbabit, lebih-lebih lagi Pegawai-Pegawai Kanan kita yang bagus-bagus,terutamanya di-Jabatan Peguam Negara boleh menjadi korban keadaan, selain dari ianya merosakkan imej Negara.
15. Kita tidak dapat menafikan hakikatnya, bahawa kes mata-lebam itu dicetuskan oleh PDRM sendiri.Sewajarnyalah PDRM yang menyelesaikannya. Walaupun pihak Peguam Negara keberatan melepaskan kertas siasatan kes berkenaan sejak awal 1999 sehingga dirampas oleh pihak SPRM pada July 2008,atas sebab-sebab yang saya percaya TSGP dan TSMH ketahui,tidak bermakna PDRM kini terus menanggung beban mereka.Kita sedar hakikatnya bahawa Jemaah Menteri sendiri tidak mampu menyelesaikannya.Oleh kerana Jemaah Menteri tidak dibekalkan dengan kuasa menyiasat,atau kuasa membuat tangkapan,atau kuasa pendakwaan dan jauh sekali kuasa menjatuhkan hukuman.Yang ada dua daripada empat kuasa tersebut adalah Polis…
16. Saya memohon maaf jika penulisan saya kali ini membebankan Tan Sri.Saya ingin Tan Sri ketahui bahawa saya melakukan ini semata-mata sebagai memenuhi janji saya kepada pucuk pimpinan PDRM dan Kementerian Dalam Negeri yang telah saya perakukan secara bertulis apabila selesai siasatan kes mata-lebam tersebut.Jemput rujuk perakuan saya dalam muka surat 14 perenggan 9, Minit bertarikh 29.10.1998 dan muka surat 26 perenggan 9 juga, Minit bertarikh 27.1.1999.Tidak hairan jika Kertas Siasatan tersebut sengaja disorokkan akibat minit-minit ini.Malah kertas siasatan sama pernah “dihilangkan” antara 30.10.1998 hingga 20.11.1998 yang menyebabkan heboh seluruh Negara kerana berita “kehilangan”ini disiarkan disemua akhbar dan siaran Buletin Utama TV dan dibahaskan juga dalam Parlimen.
17. Sebagai insan biasa yang lemah ,saya juga tidak terlepas daripada membuat salah dan kesilapan.Ada juga kegagalan saya semasa dalam perhidmatan. Terdapat juga hari-hari bodoh dan hari-hari malas saya ketika dalam Pasukan. Namun disebalik itu,saya boleh mendabik dada dan mengangkat kepala, bahawa saya tidak pernah sekali dalam khidmat saya, menganiaya sesiapa.Saya tidak pernah memalsukan fakta dan keterangan untuk mensabitkan kesalahan terhadap mana-mana orang.Lebih daripada itu, saya tidak pernah menggadai atau melelong maruah Pasukan.
18. Akhir kata saya doakan YDH Tan Sri dianugerahkan kesihatan dan kesejahteraan, untuk memimpin barisan baru kepimpinan tertinggi PDRM yang kesemuanya dikenali dan diyakini dapat membantu Tan Sri, untuk membawa semula PDRM kezaman bilamana rakyat menaruh keyakinan dan penghurmatan yang tinggi terhadapnya, dan zaman kemegahan serta kemantapan semangat setia kawan, seperti yang pernah kita nikmati bersama, sepanjang dekad sembilan puluhan.Selamat maju jaya.
Wassalam.
Yang benar,
(Mat Zain Ibrahim)
22 November 2010.

TREBEST PLUS CAPSULE - HEBAT !!! HUBUNGI 010-9165803 EN. HUSSEIN dan KLIK GAMBAR PRODUK DI ATAS