KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden Gerakan Datuk Chang Ko Youn berkata sudah tiba masa untuk Barisan Nasional (BN) menjadi sebuah parti politik tunggal yang mewakili semua rakyat Malaysia di negara ini.
Langkah seperti itu, katanya, bukan sahaja penting untuk masa depan gagasan itu tetapi juga menyatupadukan semua kaum dan memberi kelebihan kepada BN ke atas parti-parti pembangkang.
"Gerakan akan mendesak untuk merealisasikan idea itu di mana semua parti komponen dibubarkan dan ahli masing-masing hanya menjadi ahli BN," katanya pada perasmian Persidangan Perwakilan Pemuda dan Wanita Gerakan Kebangsaan di Menara PGRM di sini, Sabtu.
Katanya parti-parti komponen BN perlu mula menjadi parti tidak berasaskan perkauman dan meminda perlembagaan parti masing-masing bagi menerima ahli dari pelbagai bangsa dan agama.
"Dengan keahlian pelbagai kaum, kurang kemungkinan bagi mana-mana pemimpin memperjuangkan nasib sesuatu kaum sahaja di mana ia akan menjejaskan perpaduan kaum dan mungkin membiakkan rasa permusuhan antara kaum lain," katanya.
"Anda perlu bertanggungjawab kepada semua kaum dan tidak boleh mengadu domba antara kaum kerana semua adalah ahli anda," kata Chang.
Ketika bercakap kepada pemberita kemudian, katanya, pada hakikatnya persetujuan BN meminda perlembagaannya bagi menerima keahlian terus dan ahli bersekutu adalah pengiktirafan kelebihan dan kemajuan parti bukan berasaskan perkauman.
"Sekarang pun, parti komponen sudah mula mengadakan aktiviti bagi semua kaum dan bukan semata-mata untuk kaum tertentu sahaja seperti sebelum ini.
"Ini adalah permulaan baik dan saya pasti rakyat akan bangga dan mula kembali semula ke BN," jelasnya. - BERNAMA
Haprak Setiap Masa
Tiada ulasan:
Catat Ulasan