salam

Rabu, Disember 29, 2010

ISLAM KEBENARAN DAN KETURUNAN

KEBENARAN

Sebuah perkataan yang membawa banyak makna dalam kehidupan manusia. Tidak kira apa sahaja kebenaran, ia tetap akan terus dicari dan difahami oleh seluruh manusia di dunia.

Kebenaran itu boleh datang dari sudut mana sekalipun. Ia juga boleh datang pada bila-bila masa. Cumanya, ia perlu dicari dengan keikhlasan dan niat yang betul. Kebenaran adalah untuk memandu manusia ke arah yang betul. Kebenaran juga akan menghapuskan kebatilan.

Kebenaran dan kebatilan tidak sesekali akan dapat bersama. Manusia harus memilih antara dua, mana yang menjadi idaman kalbu. Jika kebenaran yang dipilih, sama ada cubaan dan dugaan yang akan semakin bertambah dan kemudian meraih bahagia, atau kebatilan yang dipilih. Ya sudah pasti, kebatilan akan menjanjikan pelbagai habuan, tetapi natijahnya sengsara yang bakal dirasai.
Saya pernah ditanya, Islam manakah yang anda akan pilih ; Islam keturunan atau Islam kebenaran?

Pada mulanya saya tidak memahami apakah yang ingin di tanya oleh sahabat saya ini. Adakah Islam ada yang benar dan tidak benar? Akhirnya barulah saya faham, Islam kebenaran itu hasilnya dari pencarian dan pemahaman yang jelas dan bersih terhadap agama Islam. Manakala Islam keturunan, ialah hasil sebuah perkahwinan kemudian menjadi Muslim hanya atas dasar nama dan bangsa.

Kedua-duanya amat berbeza. Islam kebenaran akan lebih dihargai dan dirasai dengan tanggungjawab dan kebahagian. Manakala Islam keturunan terbuka untuk diganggu-gugat dan mudah untuk dicarik-carik, natijah dari kurangnya faham tentang agama Islam. Ya, semuanya apabila Islam hanya atas Nama!

Lihatlah betapa ramai yang kembali kepada Islam selepas berpuluh atau berbelas tahun beragama selain dari agama Islam. Islam yang mereka faham sangat berbeza dari Islam yang hanya berdasarkan keturunan. Tidak percaya? Tanyakanlah tentang Islam kepada kedua kelompok ini. Anda akan bersetuju dengan saya.

Ya memang bukan semua Islam keturunan sebegitu, tetapi kebanyakkan begitu. Janganlah terlalu defensif sehingga kita tidak mahu mengatakan YA. Jikapun berasa malu, anggap sahajalah tulisan ini adalah sebuah ingatan kepada saya dan anda.

Ketika membaca tulisan Cassidy Herrington dalam sebuah laman web http://kykernel.com/, saya semakin bertambah percaya bahawa Islam ini harus dianuti dengan kefahaman. Ya walaupun Cassidy Herrington masih lagi dalam agamanya, dan usaha untuk memakai tudung itu hanya sebuah ‘eksperimen’ tetapi setidak-tidaknya beliau cuba memahami Islam.

Keindahan Islam tidak akan pernah dikecapi selagi mana kita tidak cuba memahami Islam. Solatlah sebanyak manapun, tetapi jika masih tidak memahami mengapa, dan apakah sumbernya perintah solat itu. Selagi itu, kita sama sahaja seperti melaksanakan ritual-ritual yang dilakukan oleh agama lain.

Janganlah marahkan saya dengan umpamaan di atas. Setuju atau tidak, saya tidak pernah memaksa anda untuk membaca artikel ini. Tetapi fikirlah.

Anda solat, tetapi anda tidak tahu mengapa perlu solat. “Perintah Allah” itu mungkin jawapan anda. Tetapi di mana perintah itu dinyatakan? “Dalam al-Quran”. Tetapi Adakah Allah telah memberitahu begitu dan begini secara detail di dalam al-Quran? Ya kemudian bagaimana?

“Ikut sahaja dari orang-orang tua kita yang dah pernah buat!”

Jangan dan terus jangan. Ingatlah peristiwa yang dirakamkan oleh Allah dalam surah al-Baqarah 2:170, “Dan apabila dikatakan kepada mereka" Turutlah akan apa yang telah diturunkan oleh Allah" mereka menjawab: "(Tidak), bahkan kami (hanya) menurut apa yang kami dapati datuk nenek kami melakukannya". Patutkah (mereka menurutnya) sekalipun datuk neneknya itu tidak faham sesuatu (apa pun tentang perkara-perkara agama), dan tidak pula mendapat petunjuk hidayah (dari Allah)?”


Kebenaran itu akan hadir, yang penting usaha. Usahakanlah untuk memahami Islam dengan sumbernya. Jadilah Islam kebenaran bukannya Iskam keturunan. Kita tidak mahu terjadi apabila ada orang bertanya tentang Islam, kita hanya diam seribu bahasa. Ya, kalau yang hanya diam tidak mengapa, tetapi kalau mahu menengkik dan marah-marah itu lagi buruk dan memburukkan wajah Islam.

Jangan kerana kita tidak tahu, kita menjadi duta hodoh Islam kepada masyarakat tentang Islam. Jadilah duta contoh dan duta yang sangat memahami Islam sehinggakan orang ramai mencari anda untuk mengenali islam. Sepertimana Mu’adz bin Jabal, Amru bin As dan lain-lain yang menjadi duta-duta Islam ketika zaman Rasulullah. Begitu jugalah kita harus meneladani dan mencontohi kewibawaan dan kefahaman mereka terhadap Islam.

Islam akan jatuh dan bangun di atas pundak kita semua. Jika kita jatuh, wajah Islam juga akan jatuh, kerana masyarakat sekarang akan mula berinteraksi tentang Islam bermula dari kita. Berbaloi kalau masyarakat kita semuanya seperti Maurice Bucaille, kerana beliau mengenali Islam bukan bermula dari Muslim. Tetapi realitinya, masyarakat khususnya bukan Islam mula berinteraksi dengan Islam daripada Muslim sendiri.

Jangan disebabkan Muslim mereka lari dari Islam. Kita tidak mahu pisang berbuah banyak kali hanya kerana mahu membuatkan masyrakat mengenali Islam. Berubahlah pada diri sendiri dahulu. Jadilah Muslim yang mengenali Islam kebenaran. Bukan sekadar keturunan dan kad pengenalan semata.


Sedar yang kita ini adalah duta besar Islam!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan


TREBEST PLUS CAPSULE - HEBAT !!! HUBUNGI 010-9165803 EN. HUSSEIN dan KLIK GAMBAR PRODUK DI ATAS