ARKIB : 13/10/2010 ( Utusan Malaysia)
ISNIN minggu ini saya dijemput sebagai ahli panel forum bersama-sama pemimpin Perkasa, Ibrahim Ali dan kolumnis Mingguan Malaysia yang juga pensyarah Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Dr. Mohd. Ridhuan Tee Abdullah. Forum bertajuk "Perpaduan Melayu Dalam Menjamin Masa Depan Bangsa" dianjurkan oleh Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu di bawah naungan Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Forum itu diadakan sebagai pembuka tirai bagi program Perpaduan Melayu yang dianjurkan oleh UiTM bagi memberi kesedaran kepada lebih 170,000 pelajarnya dan 8,000 pensyarahnya yang berada di merata pelosok negara mengenai betapa pentingnya perpaduan demi kelangsungan bangsa.
Berikut ialah sedutan kertas kerja saya:
DARI segi sosio-politik moden Malaysia, kisah mengenai perpaduan Melayu telah mula dibincangkan sejak pembentukan negara ini lagi. Ia memuncak selepas tragedi 13 Mei 1969 yang memperlihatkan rasa tidak puas hati terhadap kedudukan mereka dalam bidang sosial dan ekonomi. Orang Melayu dilihat bersatu atas nama perpaduan bangsa demi mempertahankan hak.
Atas dasar itu, Pas menyertai BN sebaik saja barisan kebangsaan itu ditubuhkan pada 1 Januari 1973. Ia memperlihatkan kedua-dua parti terbesar orang Melayu itu mula bercakap mengenai perpaduan bangsa. Perkembangan itu menjurus kepada pilihan raya 1974 yang menyaksikan kemenangan besar BN. Presiden Pas, Asri Muda dilantik menyertai Kabinet BN sebagai menteri penuh. Namun, dipendekkan cerita berlaku pergolakan antara kedua-dua pihak menyebabkan Pas disingkirkan dari BN pada 1976.
Sejak itu, Pas dikatakan berdendam dengan UMNO. Orang yang paling menyimpan dendam dengan UMNO sehingga ke saat ini ialah tokoh Pas yang cukup kebal, Nik Abdul Aziz Nik Mat. Beliau melihat UMNO dengan penuh curiga - sama ada kecurigaan beliau itu berasaskan fakta, dibuat-buat, atau satu permainan perang psikologi, kita tidak pasti.
Persoalannya apakah Nik Aziz tidak boleh menerima apa yang berlaku dahulu itu lebih bersifat politik semata-mata? Apakah Nik Aziz tidak tahu yang semasa Pas dalam BN dulu, partinya menggunakan peluang yang oportunistik itu untuk memperkukuhkan kuasanya serta membelakangkan falsafah setiakawan BN, yang antara punca ia disingkirkan?
Selepas penyingkiran itu, BN terus unggul sebagai parti yang memerintah negara ini.
Itu senario pertama. Kita mengimbau 10 tahun selepas itu. Berlaku pula pepecahan dalam parti terbesar orang Melayu, UMNO yang memperlihatkan perbalahan politik antara Dr. Mahathir dan Tengku Razaliegh Hamzah (Ku Li) pada 1987. Ku Li berpatah arang dengan UMNO dan menubuhkan Parti Semangat 46 (S46). Pada pilihan raya 1990, Pas berjaya menawan semula Kelantan selepas 18 tahun di bawah BN. Kemenangan 49-0 itu dicapai hasil gabungan Pas-Berjasa dan Parti Semangat 46 dalam apa yang dikenali sebagai Angkatan Perpaduan Ummah(APU) - satu perpaduan yang membabitkan parti-parti Melayu di Kelantan.
Namun dipendekkan cerita lagi, diharapkan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Pas yang memimpin APU tidaklah begitu baik sebagai rakan kongsi. Ku Li benar-benarnya marah dengan Pas sehingga sanggup bersumpah dengan al-Quran menyatakan beliau tidak akan bekerjasama semula dengan Pas. S46 merasakan mereka ditipu oleh Pas yang dipimpin oleh Nik Aziz. Petikan kenyataan Ku Li (25 Julai 1999): ''Ambo (saya) sendiri akan bersumpah. Insya-Allah, ini bukan kerana politik tetapi demi menegak kebenaran. Ambo akan bersumpah bersaksikan al-Quran, bersaksikan rakyat ramai dan nescaya bersaksikan malaikat nak tunjuk palsu dan pembohongan Pas."
Jika dulu sehingga ke saat ini Nik Aziz merasakan beliau tidak boleh bekerjasama dengan UMNO atas insiden 1976 itu, maka Nik Aziz pun dua kali lima juga. Ku Li menuduh Nik Aziz menipunya dalam soal pemberian jawatan kepada pemimpin S46 dalam kerajaan Kelantan, Ku Li menuduh Nik Aziz menipu kerana tidak menubuhkan kerajaan Islam dan Ku Li menuduh Nik Aziz menipu mengatakan Sultan Kelantan tidak meluluskan deraf Hudud.
Sehinggakan Ku Li berkata: ''Ambo benar-benar percaya (kepada Pas) tapi rupanya kena tipu tetapi bukan saja ambo kena tipu, rakyat Kelantan turut ditipu kononnya nak tubuh kerajaan Islam di Kelantan termasuk Tuhan kena tipu."
Kini kira-kira sedekad kemudian berlaku satu lagi pergolakan membabitkan orang Melayu. Kuasa BN yang dipimpin oleh Abdullah Ahmad Badawi merudum selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 2008.
Selain Kelantan yang masih kekal, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor jatuh ke tangan pembangkang. Kuasa dan pengaruh UMNO mulai goyah. Mereka merasakan orang Melayu telah lari daripada memberi sokongan kepada UMNO dan BN. Undi Cina juga semakin menghakis - yang memperlihatkan mereka memberi sokongan kepada pihak pembangkang, terutamanya DAP dan pakatan pembangkang lain.
Selepas pilihan raya 2008, hala tuju MIC dan MCA tidak tentu arah. Pemimpin sezaman dengan Tun Mahathir semuanya mulai hilang sedikit demi sedikit. BN kini hanya berdiri atas kekuatan Najib Tun Razak, sebagai Perdana Menteri dan Presiden serta Pengerusi UMNO dan BN.
Seperti juga semasa krisis Mahathir-Anwar pada sekitar 1997/98, NGO-NGO secara sedar atau tidak tiba-tiba tumbuh bagai cendawan. Kini pelbagai NGO Melayu tumbuh - termasuklah Perkasa, yang paling lantang memperjuangkan atas nama agama, bangsa dan tanah air.
Orang Melayu kini mula bercakap mengenai perpaduan antara mereka. Mereka perlu bersatu kembali. Sesetengah pihak memperjuangkan agar UMNO dan Pas bersatu kembali. Ini termasukkan orang dari dalam UMNO sendiri. Mereka percaya bahawa hanya dengan bersatu semula dengan Pas, kuasa dan undi orang Melayu akan pulih semula. Orang Melayu ternyata amat keliru. Mereka merasakan kuasa mereka semakin hilang. Mereka bimbang dan takut.
Tapi dalam masa yang sama orang Cina, termasuk yang berada di atas pagar serta yang berada dalam establishment BN melihat dengan curiga gagasan ini. Mereka melihat dengan penuh curiga. Apa akhirnya akan jadi dengan gagasan ini? Apakah mereka akan lebih disisihkan selepas ini?
Maka yang parah lebih parah lagi. Kita bimbang jika ini berlaku orang Cina yang dimaksudkan tadi akan lebih meninggalkan BN. Apa akan jadi jika MIC dan MCA beralih angin dan meninggalkan BN?
Jika itu terjadi, kuasa Melayu akan hilang selama-lamanya. Persoalan besarnya ialah apakah Pas dan segelintir Melayu dalam PKR boleh diharapkan?
Kita lihat senario sekarang dalam kerajaan Pulau Pinang dan Selangor.
Kita terpaksa lupakan kerajaan Pulau Pinang yang bertunjangkan kepada satu kuasa besar luar sebagai penasihatnya. Kita lihat Selangor - di negeri yang kita berdiri sekarang ini. Di ibu negerinya Shah Alam yang dulunya kita bangga sebagai ibu kota Melayu terulung di negara ini. Dan di sinilah terletakkan institusi pendidikan Melayu ulung iaitu UiTM Induk.
Persoalannya apakah kerajaan Selangor ini benar-benar diperintah oleh menteri besarnya seorang Melayu? Atau ia hanyalah simbol seorang menteri besar dan tidak lebih daripada itu?
Ini bukan saya yang bangkitkan, tapi ia datang dari dalam kerajaan itu sendiri. Seorang pemimpin negeri itu pernah memberitahu saya mengenai fenomena ini. Beliau bimbang kerana melihat menteri besar gagal mengawal exco-exconya terutamanya terdiri daripada DAP yang semakin rakus. Satu demi satu isu-isu yang berbau cauvinis dan perkauman dibangkitkan. Menteri besar hanya mengiakannya sahaja.
Saya bertanya kepada pemimpin itu, jika ditakdirkan pakatan anda menang memerintah Putrajaya kelak pada pilihan raya umum ke-13 dan corak pemerintahannya sama sebagaimana yang berlaku di Selangor sekarang, apa akan jadi?
Dia berkata: ''Mungkin pada masa itu kita akan berfikir untuk bergabung dengan UMNO..." Tidakkah beliau sedar pada masa itu nasi sudah menjadi bubur.
Yang nyata, Pas tidak akan meninggalkan pakatan mereka itu. Walaupun semua orang tahu DAP sebuah parti yang cukup cauvinis, tapi Pas tetap menerima mereka. Pas hanya mahu berkuasa dan itu sudah cukup bagi mereka. Nik Aziz sanggup mempersendakan Melayu semata-mata kerana mahu menjaga hati sahabat-sahabatnya.
Kekeliruan yang berlaku sekarang ialah satu perang saraf yang cukup berkesan dilakukan oleh DAP. Menurut blogger BigDog Zakhir Mohamed 'DAP adalah punca racism menular di Malaysia'. Saya bersetuju 100 peratus dengan beliau. Lim Kit Siang menggelar Negarawan Ulung Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai "Rasis no-1 Malaysia."
DAP sesungguhnya telah memainkan reverse-psycology yang cukup hebat dan berjaya. Jika dulu orang Melayu macam Mahathir, dikenali sebagasi ultra-Melayu, kini mereka dipanggil sebagai rasis-Melayu. Malangnya ada juga orang Melayu kini sudah terbawa-bawa dengan slogan rasis ke sana ke mari yang ditujukan kepada orang Melayu.
Jika dulu DAP dikenali sebagai parti cauvinis yang bersifat perkauman melampau kini orang Melayu yang dituduh sebagai rasis. Apakah kita ini rasis?? Apakah Utusan Melayu itu rasis? Sejarah Utusan Melayu cukup panjang bermula dari tahun 1939 di Singapura yang merupakan pusat gerakan revolusi Indonesia dan kumpulan-kumpulan kiri Melayu. Editor-editor Utusan pada masa itu telah pun berjuang, atas dasar multirasialisme. Samad Ismail ketika itu menerima kewujudan multirasialisme. Walaupun ia berjuang atas dasar itu, tapi akhbar itu tetap meneruskan perjuangan untuk menyampaikan utusan kepada orang Melayu sehinggalah ke saat ini.
Hari ini Utusan Melayu telah dicap sebagai akhbar rasis. Apakah itu perjuangannya? Selama lebih 70 tahun ia berjuang bukan sahaja untuk orang Melayu tapi untuk rakyat keseluruhan negara ini. Utusan Melayu cukup faham dengan dasar dan perjuangan negara ini yang berlandaskan parti yang memerintah selama lebih 50 tahun ini. Utusan faham dengan dasar multirasialisme bersama-sama parti-parti bukan Melayu yang lain.
Akhbar itu hanya bersuara apabila orang Melayu dipersoalkan hak mereka. Apakah itu salah? Apakah salah akhbar itu menjawab balik tohmahan-tohmahan yang dimainkan oleh pihak-pihak yang cukup cauvinis seperti DAP?
Yang nyata sekarang, Pas, DAP dan PKR hanya mahukan Putrajaya. Mereka sedang pulun ke arah itu. Mereka sedang bermain dengan perang psikologi dan psikologi songsang yang cukup hebat. Kita tidak pasti siapa di belakang perancangan yang sedang diatur oleh DAP sekarang. Benarkah wujud elemen ketiga dalam perancangan dan usaha itu?
Apakah perpaduan yang dicanangkan oleh orang Melayu muaasir ini untuk bersama Pas sesuatu yang relevan? Pas sebenarnya sedang seronok dengan angan-angannya untuk ke Putrajaya. Sebaliknya UMNO harus memantapkan barisannya bersama-sama MCA, MIC dan parti komponen lain bagi mengembalikan suara mereka. Kita harus bertanya diri kita sekarang - apakah mereka gagal dalam pemerintahan selama 50 tahun yang telah kita lalui ini? Atau apakah kita mahu mencuba sebuah kerajaan baru yang amat dibimbangi oleh seorang pemimpin Selangor itu tadi?
Mana satu kita mahu? Perpaduan Melayu harus dilakukan bersama dengan bangsa-bangsa lain. Kita tiada pilihan. Melayu hanya kira-kira 67 peratus di negara ini. UMNO harus menguatkan kembali pengaruhnya bersama-sama parti-parti komponen lain. Pas bukan jawapannya.
Jangan nanti Yang Dikejar Tak Dapat, Yang Dikendong Berciciran.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan