salam

Ahad, Februari 13, 2011

Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama Sedunia Disambut Kali Pertama Di Malaysia

PUTRAJAYA, 13 Feb (Bernama) -- Malaysia buat pertama kalinya meraikan sambutan 'Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama Sedunia' bulan ini seperti yang disaran oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dengan menyediakan pelbagai program di seluruh negara termasuk sesi ramah mesra Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan pemimpin-pemimpin agama di sini, Isnin.

Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Datuk Azman Amin Hassan berkata kesudian Perdana Menteri untuk meluangkan masa menghadiri program itu membuktikan beliau komited untuk merungkai isu-isu keagamaan dalam negara secara berhemah demi kesejahteraan rakyat pelbagai kaum.
"Sambutan ini yang turut dipersetujui Jawatankuasa Mempromosi Persefahaman dan Keharmonian di antara Penganut Agama, merupakan satu platform untuk memberi signal kepada pihak agama bahawa kerajaan mengambil berat soal ini," katanya dalam temu bual eksklusif bersama Bernama mengenai program itu di sini.

"Ia juga selari dengan kenyataan Perdana Menteri di PBB sebelum ini yang beliau tidak mahu wujudnya kumpulan-kumpulan militan yang agresif dan ekstrem yang boleh mengancam perpaduan dan keselamatan negara," tambahnya.

'Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama Sedunia' merupakan idea Raja Jordan Abdullah II dan Puteranya Ghazi Muhammad yang menjadi Utusan Peribadi serta Penasihat kepada Raja Abdullah II pada Perhimpunan Agung PBB ke-65 di New York tahun lepas, dan idea yang diketengahkan kemudiannya menjadi resolusi yang diterima pakai PBB untuk disambut pada minggu pertama Februari setiap tahun di negara-negara anggota.

Ia diwujudkan bagi meningkatkan lagi kerjasama dan keharmonian pelbagai agama di dunia akibat daripada timbulnya pelbagai salah faham mengenai Islam yang sering dikaitkan oleh sesetengah pihak dengan keganasan, terutamanya selepas peristiwa 11 September di Pusat Dagangan Dunia (WTC), New York, pada 2001.

Mengulas mengenai acara sambutan esok Azman berkata, Perdana Menteri akan menyampaikan amanat penting kepada ketua-ketua agama dan penganutnya supaya keharmonian rakyat pelbagai kaum dan agama dalam negara terpelihara.

"Beliau juga dijadual menyerahkan watikah pelantikan kepada anggota Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian di antara Penganut Agama," katanya.

Walaupun PBB mencadangkan ia disambut pada minggu pertama Februari, Azman berkata Malaysia sudah memulakan pelbagai program sejak awal tahun ini, dan ia akan diteruskan sehingga akhir Februari.

Antara aktiviti yang dianjurkan termasuk Muzakarah Pakar bersama Mufti setiap negeri dan tokoh-tokoh Islam anjuran Institut Kemajuan Islam Malaysia, serta penyampaian mesej keharmonian agama dan muhibah yang disebarkan di rumah-rumah ibadat di seluruh negara dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia serta beberapa pertubuhan agama yang lain.

"Kami juga mengambil kesempatan menyampaikan mesej mengenai World Interfaith Harmony Week ini pada jamuan Tahun Baru Cina di beberapa tempat dengan menjemput semua ketua agama hadir baru-baru ini, dan kepentingan mengenai persefahaman tingkatkan kerjasama antara penganut-penganut agama di Malaysia disentuh dalam pertemuan dengan mereka," katanya.

Menurutnya ketua-ketua agama berperanan meredakan ketegangan apabila timbulnya sebarang konflik antara sesuatu kaum dan agama dalam negara supaya tidak menjadi lebih serius.

Beliau memberi contoh mengenai konflik antara penganut agama Islam dan Kristian di Nigeria sebelum ini yang mengakibatkan ratusan nyawa terkorban, dan akhirnya pergolakan selesai selepas kedua-dua tokoh agama iaitu imam Dr Muhammad Nurayn Ashafa dan Pastor Dr James Movel Wuye mengambil kata sepakat memilih untuk berdamai.

"Kedua-duanya datang ke Malaysia tahun lepas dan beberapa negara lain menceritakan pengalaman mereka yang akhirnya menjadi kawan baik dan berkempen bersama-sama supaya diwujudkan persefahaman antara agama melalui pendamaian, bukan peperangan," katanya.

Mengulas mengenai perpaduan antara pelbagai kaum dan agama dalam negara Azman berkata beliau berpendapat ia masih berada dalam keadaan yang baik dengan kebanyakan isu yang ditimbulkan akhirnya menemui jalan penyelesaian.

Selain Malaysia beberapa negara lain juga sedang menganjurkan sambutan World Interfaith Harmony Week antaranya Mesir, Jordan, Indonesia, Filipina, Amerika Syarikat dan Jerman

Tiada ulasan:

Catat Ulasan


TREBEST PLUS CAPSULE - HEBAT !!! HUBUNGI 010-9165803 EN. HUSSEIN dan KLIK GAMBAR PRODUK DI ATAS