KUALA LUMPUR, 10 Feb (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) Selangor berkata tindakan kerajaan Pakatan Rakyat negeri Selangor hanya membenarkan Setiausaha Kerajaan Negeri menghadiri sebahagian daripada Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri mungkin bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan Negeri Selangor.
Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Selangor Datuk Mohamed Satim Diman berkata oleh hal demikian semua Adun Barisan Nasional (BN) negeri mendesak Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menghapuskan apa jua sekatan terhadap Datuk Mohamad Khusrin Munawi dalam melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang diberikan kepadanya.
"Menurut Perlembagaan Negeri Selangor, mesyuarat Exco adalah satu mesyuarat yang tiada pembahagian masa. Oleh itu hasrat Abdul Khalid untuk membahagi-bahagikan masa adalah tidak berperlembagaan, bertentangan dengan amalan pentadbiran dan bersifat pecah dan perintah (divide and rule)," katanya dalam satu kenyataan.
Kenyataan tersebut dikeluarkan berikutan keputusan Abdul Khalid, yang sebelum ini membantah pelantikan Mohamad Kushrin sebagai SUK, akhirnya bersetuju supaya pegawai tertinggi pentadbiran negeri itu mengangkat sumpah simpan rahsia di hadapannya minggu hadapan namun beliau tidak akan dibenarkan menghadiri bahagian tertentu mesyuarat Exco Kerajaan Negeri.
Mohamed Satim berkata seluruh ADUN BN Selangor melahirkan rasa amat kesal di atas tindakan Menteri Besar itu memanjang-manjang polemik pelantikan Mohamad Khusrin sebagai SUK.
"ADUN Selangor tidak mahu jawatan SUK ini terus menjadi mangsa politik dan sikap takbur Menteri Besar," katanya.
Beliau berkata Abdul Khalid seharusnya menerima perkenan Sultan Selangor terhadap pelantikan SUK dan membenarkan pegawai kerajaan itu melaksanakan tanggungjawabnya tanpa sebarang sekatan yang sengaja dibuat-buat oleh pimpinan Negeri itu.
Katanya sikap yang ditunjukkan oleh Abdul Khalid sangat tidak bersesuaian dengan dengan kedudukan beliau sebagai Menteri Besar.
"Apakah sebab dan masalahnya yang menyebabkan Menteri Besar begitu takut dan tidak selesa dengan kehadiran seorang SUK di dalam Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri," kata beliau.
Mohamed Satim berkata Mentri Besar perlu berhenti berpolitik sepanjang masa kerana ini tidak mendatangkan natijah dan kesan baik kepada rakyat sedangkan rakyat seluruh rakyat menantikan sebuah kerajaan negeri yang lebih efisien dan berkesan.
-- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan