KOTA TINGGI: Sultan Johor, Sultan Ibrahim hari ini bertitah berasa murka dengan tindakan sekumpulan umat Islam yang bersembahyang dua imam di sebuah masjid, ketika pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, bulan lalu.
Perbuatan tersebut, titah baginda, amat dikesali dan tidak seharusnya berlaku hanya kerana perbezaan fahaman politik.
"Ketika kempen PRK DUN Tenang baru-baru ini, ada kumpulan yang singgah di masjid untuk sembahyang fardu tetapi malangnya mereka tidak menyertai jemaah yang sedang bersolat jemaah.
"Kalau mereka terlambat mereka hanya perlu sertai jemaah yang ada dengan berimamkan imam di masjid itu. Sebaliknya kumpulan ini membentuk satu sembahyang jemaah yang lain di barisan belakang, sedangkan solat jemaah yang ada masih belum selesai," titah baginda.LIHAT GAMBAR 1 YANG DIBULATKAN.
Sultan Ibrahim bertitah, perkara seperti itu harus dihentikan supaya tidak timbul fitnah umat Islam di Johor telah berpecah-belah dan tidak bersatu-padu.
"Semua jemaah dalam masjid hendaklah hormati imam yang dilantik oleh saya. Tidak ada perbezaan bangsa, kedudukan atau fahaman politik dalam masjid.
"Kedudukan atau fahaman politik tidak harus ada dalam masjid kerana kita menyembah tuhan yang sama iaitu Allah yang Maha Esa," titah baginda selepas menunaikan Solat Jumaat di Masjid Al-Hadi Kampung Makam, di sini.
Baginda, sebelum itu, merasmikan masjid tersebut yang bernilai RM2.1 juta dan siap pada Julai 2007.
Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman; Penasihat Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), Datuk Nooh Gadot dan Exco kerajaan negeri.
Dalam titah itu, Sultan Ibrahim turut mengingatkan umat Islam di Johor supaya tidak menjadikan masjid sebagai medan berpolitik atau tempat memecah-belahkan masyarakat.
Baginda seterusnya menitahkan pihak berwajib mengenakan tindakan tegas kepada mana-mana pihak yang didapati berbuat demikian.
Pada masa sama, Sultan Ibrahim mengingatkan umat Islam supaya menjaga kebersihan masjid dan tidak menyerahkan tanggungjawab itu kepada pihak pengurusan masjid semata-mata.
Baginda juga tidak mahu pihak pengurusan masjid menambah atau membina bangunan baru sesuka hati di kawasan masjid melainkan dengan kebenaran dan kelulusan Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) terlebih dahulu.
Titah baginda, langkah itu bagi mengelakkan sebarang kecacatan dan pembangunan yang tidak sistematik. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan