salam

Rabu, November 24, 2010

Nukilan Ketua Penerangan PERKASA


APA RUGINYA PARTI-PARTI POLITIK BERBAIK-BAIK DENGAN PERKASA DAN APA PULA UNTUNGNYA JIKA MEREKA MUSUHI PERKASA !!!!!
1) Sebagai sebuah badan NGO yang memperjuangkan kepentingan dan hak istimewa orang2 Melayu seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Negara maka Perkasa merasa terpanggil untuk turut sama berperanan dan sama-sama neyinsing lengan bagi menjadi benteng untuk mempertahankan hak tersebut agar tidak terus diambil dan dipindah milik oleh orang lain.Keahlian Perkasa adalah terbuka kepada semua orang2 Melayu di Semenanjung,Peribumi serta Bumiputra di Sabah dan Sarawak..Peranan yang dimainkan oleh Perkasa adalah lengkap melengkapi jika digandingkan dengan Parti Politik Khusunya UMNO dan PAS sebuah Parti yang ditunjang belakangi oleh orang2 Melayu dan Islam.,
2)Kita melihat dengan adanya persefahaman dan kerjasama antara parti2 Politik yang turut sama memperjuangkan nasib orang2 Melayu dan Islam serta Bumiputra dengan Perkasa akan memudahkan lagi masing2 pihak memainkan peranan tersebut.Perjuangan Perkasa merentasi batas2 kelompok,keturunan,darah mahupun daerah,malahan melampaui perbedzaan parti2 politik dan ideologi yang menjadi anutan mereka.Sebab itu kita dapati Perkasa sebagai sebuah badan NGO turut dianggotai oleh ahli2nya yang terdiri daripada ahli2 UMNO,PAS dan juga PKR.Dimana kita dapati antara lain Perkasa memainkan peranan sebagai badan pemersatu seluruh ummat Melayu dan Islam dan Bumiputra daripada pelbagai latar belakang dan ideologi politik.
3)Adalah menjadi rahsia umum bahawa ramai ahli umno malah ada yang berjawatan didalam parti baik diperingkat bahagian mahupun cawangan yang menjadi ahli Perkasa,malah bergerak begitu aktif dalam perkasa kerana pelbagai alasan spt kekangan oleh pimpinan peringkat bahagian dan cawangan terutama pemimpin yang takut dgn bayang2 mereka sendiri yang tidak begitu mengalu-alukan penglibatan mereka diperingkat bahgain.Jadi dgn persefahaman yang ada maka mereka tidak akan teragak agak dan tidak merasa serba salah utk bergerak dalam parti mahupun dalam Perkasa.
4)Saya yakin dengan Kerjasama dan persefahaman yg erat antara kedua belah pihak ini ianya tidak akan menghakis atau menjejaskan sokongan kepada mana-mana parti.kerana Perkasa adalah Perkasa,dan Perkasa bukan Umno,bukan Pas dan bukan PKR…Perkasa punyai identiti yang tersendiri..Ideologi dan idealisme yg diperjuangkan oleh sesebuah parti itu tidak akan luntur atau hilang dek kerana berbaik-baik dengan Perkasa…Malah ia akan semakin menebal dan mendalam kefahaman serta kecintaan dam iltizam mereka kepada ideologi yang diperjuangkan oleh ahli kedua dua badan tersebut,masing-masing ada pernanan dan kumpulan sasar serta saling bantu menbantu dan lengkap melengkapi antara satu sama lain.
5)Dalam erti kata yang lain sama ada secara sedar atau pun tidak dan sama ada secara terancang atau pun tidak Perkasa punyai pengaruh dan peranan dalam menentukan trend/pola dan aliran pengundian serta landskap politik dalam negara khususnya dalam menghadapi PRU KE13 akan datang..Berkawan dan berbaik baik dengan Pekasa bermakna langkah bijak untuk menentukan kelangsungan serta kesinambungan kuasa Politik yang akan terus didominasi oleh orang2 Melayu.Manakala menjauhkan diri apatah lagi mengambil sikap utk bermusuh dan memerangi Perkasa adalah langkah yang sumbang dan tempang serta natijahnya akan merugikan diri sendiri.
6)Oleh kerana Politik adalah ‘Game of Numbers’ jadi sudah tentulah utk menambahkan bilangan undi dan penyokong serta pendukung ideologi yg diperjuangkan maka sesebuah Parti Politik itu haruslah mengambil sikap untuk berkawan dan bersahabat dengan semua orang…bak kata pepatah berkawan biar beribu dan bermusuh biar satu.Janganlah dek kerana nak menjaga hati orang lain walaupun penuh dgn pelbagai kelainan dan perbedzaan baik dari segi Akidah mahupun Ibadah,Bahasa mahupun budaya,darah mahupun daerah maka rakan yang seagama,sebahasa,sebudaya,sebangsa,dan sekiblat,sama matlamat dan tujuan perjuangan sanggup diketepikan ibarat mendengar guruh dilangit air ditempayan dicurahkan yg mana kita khuatir akhirnya yang dikejar tak dapat dan yang dikendung pula berciciran…akhirnya mengalami nasib pak kadok menang sorak kampung tergadai.
7)Oleh itu sebelum nasi menjadi bubur maka marilah kaita bersatu, berpadu dan berbaik baik walaupun dalam kepelbagaian perbedzaan antara Parti Politik dan badan NGO..Iaini’ Bersatu dalam kepelbagaian’.Marilah kita mengamalkan sikap didalam perkara yg kita persetujui bersama.. ayuh sama2 kita menyinsing lengan turun kepadang dan dlm perkara yang kita mungkin berbedza kita amalkan sikap untuk kita bertolak ansur dan berkompromi. Marilah kita bermula dengan melihat dimana adanya titik2 pertemuan dan faktor2 yang boleh menyatukan kita dan persetankan serta ketepikan perbedzaan yg mgkin ada antara kita.
8)Oleh itu saya menyeru seluruh kepimpinan dan pendokong Parti-Parti Politik dan NGO yang sehaluan dasar perjuangan dengan perkasa,Marilah kita sama-sama dengan fikiran yang terbuka,berlapang dada,walaupun dengan semangat yang membara didada tetapi dingin dikepala merenung sejenak bahawa kita cuma berbedza dlm perkara2 ranting sedangkan ada banyak lagi perkara2 pokok yang kita maseh boleh bekerjasama.Kenapa kita besar2kan satu atau dua perkara ranting yang kita berbedza sedangkan berpuluh puluh lagi perkara besar dan pokok yang mana kita boleh bersama..Kita mgkin berbedza dari segi ‘approach’ atau pendekatan dan kita tetap sama dari matlamat dan tujuan…Kita mungkin berbedza dari segi wadah dan kita tidak berbedza dari segi akidah.Malah Kita juga faham akan tetap ada perbedzaan antara kita sebab rambut sama hitam tapi hati lain-lain.
9)Bersama-samalah kita merenung kata-kata para hukamak bahawa ‘berbedza pendapat itu adalah teman untuk kita berfikir’.Kita dizinkan untuk berbedza pendapat dalam batas-batas dan adab-adab yang dibenarkan dan kita harus pula tahu untuk menguruskan perbedzaan tersebut…Kesimpulannya ialah Tidak ada ruginya jika Parti Politik berbaik-baik dengan Perkasa dan tidak pula ada untungnya jika mereka menjauhkan diri atau mengambil sikap untuk bermusuh dengan Perkasa.
TK.Wassalam.
Ruslan Haji Kasim,
Ketua Penerangan
Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara.

Perjuangan PERKASA Bagaikan Ombak Tak Bertepi


1. Tidak ada apa salahnya PERKASA kerana apa yang diperjuangkan adalah mempertahankan perkara 153 yang telah tertulis di dalam perlembagaan. Sesiapa sahaja yang membuat tuntutan melebihi perkara 153 itu atau mencabarnya baik bukan Melayu atau Melayu sendiri akan ditentang. Kalau nak ubah sangat perkara 153 itu dapatkan lah majoriti 2/3 di Parlimen dan mendapat perkenan daripada Yang Dipertuan Agung serta persetujuan orang Melayu maka terpindalah perkara 153 itu. Pada hal perkara 153 itu dilindungi oleh ISA tetapi undang2 negara sekarang sudah jadi cacar marba. Kita beriya-iya mempertahankan ISA tetapi bila sudah sampai masa untuk digunakan maka tidak digunakan. Jikalau begitu hapuskan saja ISA supaya tidak menyakitkan hati rakyat yang menyokongnya.
2. Disebabkan undang-undang sedia ada tidak digunakan tepat pada waktunya maka perkara 153 sudah boleh dibahas di mana-mana oleh sesiapa saja sedangkan kebanyakkannya tidak ambil tahu tentang sejarah kewujudannya di dalam perlembagaan. Maka dimana letaknya kedaulatan undang-undang dan kemuliaan perlembagaan itu?
3. Belum pernah berlaku perkara-perkara sensitif dibahaskan secara terbuka dinegara ini tanpa sekatan dan tidak ramai yang tahu bahawa membincangkan perkara 153 secara sewenang-wenangnya dan semborono adalah satu kesalahan menghasut. Jadi salah siapa jika keadaan yang tidak tenteram ini berlaku?
4. Kerajaan sebagai pemegang kuasa wajar menyekat perkara ini dengan segera walaupun agak terlewat ,bukannya membiarkan sehingga menjadi nanah dan barah.Rakyat semakin hari semakin gelisah.
5. Jangan salahkan PERKASA kerana PERKASA mempertahankan perkara 153 itu disebabkan tidak ada pihak yang cuba mempertahankannya kerana masing-masing berebut undi. Jika kerajaan dapat mencegah lebih awal tentu PERKASA tidak selantang sekarang. Keadaan tentu akan menjadi lebih tenteram.
6. SU UMNO jangan salahkan PERKASA kerana PERKASA telah ambil alih kerja UMNO yang sepatutnya SU UMNO yang uruskan. Bukan asyik menjaga hati kawan-kawan Cina dan Indianya tetapi sepatutnya beliau menjaga keluhuran perlembagaan itu lebih utama.
7. Kedaulatan undang-undang dan keluhuran perlembagaan di dalam rukun negara sudah dicampakkan ke dalam tong sampah oleh kebanyakan rakyat. Jika Rukun Negara itu dicipta untuk perpaduan maka sekarang menunjukkan perpaduan rakyat berada ditahap kritikan apabila undang-undang dan perlembagaan sudah dipermain-mainkan dan dipersenda-sendakan.
8. Waktu yang terdekat, PERKASA sewajarnya jangan gentar kerana tidak ada apa-apa kesalahan undang-undang yang dilanggar malah PERKASA mengangkat undang-undang itu di tempat sewajarnya kerana bukankah perlembagaan negara itu adalah undang-undang tertinggi negara.


Amir Hamzah
Batu Pahat

Keistimewaan Melayu adalah hak


Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan mengiktiraf hak istimewa orang-orang Melayu. Ia hendaklah ditafsir menurut sejarah dan falsafah yang ada di sebalik kewujudannya. Ini kerana peruntukan itu wujud dengan nilai, sejarah dan falsafah yang tertentu. Mungkin ada pembaca yang tidak bersetuju dengan apa yang saya katakan ini. Mereka mungkin berkata, perubahan masa dan keadaan menuntut perubahan kepada budaya, keadaan sosial dan falsafah Perlembagaan negara. Walau apa pun, saya amat yakin bahawa majoriti masyarakat Melayu menganggap keistimewaan ini sebagai hak dan mereka inginkan nilai, sejarah dan falsafah kewujudan Perkara 153 diambil kira dalam membuat tafsirannya.
Amat menyedihkan apabila orang Melayu yang mendapat manfaat daripada Perkara 153 sendiri telah mentafsir peruntukan ini dengan menafikan “hak” orang Melayu. Atas apa alasan sekalipun ulasan atau tafsiran terhadap Perkara 153 dibuat, ia amat tidak adil kepada orang Melayu.
Hakikatnya, Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, yang menjadi asas kepada kedudukan istimewa orang Melayu telah dikategorikan sebagai perkara sensitif. Mempersoalkan kedudukannya sehingga mencadangkan supaya ia dilupuskan daripada Perlembagaan secara perundangannya dikategorikan sebagai satu hasutan. Peristiwa berdarah 1969 juga mempunyai kaitan dengan Perkara 153. Atas alasan kestabilan negara, perkara berkaitan keistimewaan Melayu diberi perhatian serius dan diklasifikasi sebagai perkara sensitif. Walaupun pendakwaan jarang sekali dilakukan berkaitan perbuatan mempersoalkannya, peruntukan berkaitan amat jelas wujud di dalam Akta Hasutan.
Keistimewaan yang diberikan kepada orang Melayu bukan perkara baru. Ia adalah antara menu utama dalam pembentukan asal negara ini.
Istilah keistimewaan Melayu bermula sejak campurtangan British di Tanah Melayu. Ketika pemerintahan British, keistimewaan orang Melayu dijaga melalui polisi di dalam pentadbiran British. Polisi keistimewaan Melayu diiktiraf British kerana rungutan dan permintaan para raja Melayu.
Disebut di dalam laporan Suruhanjaya Reid bahawa keputusan untuk memasukkan peruntukan berkaitan keistimewaan Melayu ke dalam Perlembagaan Persekutuan tidak mendapat tentangan yang menyerlah walaupun tindakan untuk menambahkan lagi keistimewaan tersebut mendapat reaksi negatif banyak pihak. (lihat Perenggan 165)
Suruhanjaya Reid juga menyebut mengenai pertembungan antara kehendak prinsip kesamarataan antara rakyat yang berbilang bangsa. Walaupun begitu, Suruhanjaya berpendapat, peruntukan mengenai keistimewaan Melayu amatlah diperlukan bagi menjaga kedudukan bangsa Melayu. Selain daripada itu, keistimewaan Melayu juga diperlukan bagi menjamin kedudukan Melayu dalam proses integrasi antara kaum-kaum di negara ini setelah prinsip “common nationality” diperkenalkan oleh Perlembagaan Persekutuan 1957 (lihat Perenggan 165). Apa yang dapat dihujahkan daripada kenyataan Laporan Suruhanjaya Reid ini ialah proses integrasi antara pelbagai bangsa yang ada di Tanah Melayu akan mengambil masa yang agak panjang. Pada andaian Suruhanjaya Reid sekiranya proses integrasi antara pelbagai kaum di negara ini menjadi bertambah baik, ia akan seterusnya dapat mengurangkan atau menghapuskan keistimewaan Melayu. Apa yang dapat difahami daripada kenyataan Suruhanjaya Reid ini adalah, selagi mana integrasi antara pelbagai kaum belum mencapai tahap matang, kedudukan istimewa Melayu harus dikekalkan.
Sehingga 53 tahun merdeka integrasi antara pelbagai bangsa di negara ini masih menjadi agenda utama negara. Perkara berkaitan perpaduan atau integrasi antara kaum kekal menjadi isu sensitif. Ada yang berpandangan bahawa perpaduan di kalangan rakyat Malaysia agak rumit kerana negara kita tidak menjalankan proses asimilasi yang mahukan semua pihak melenyapkan identiti bangsa masing-masing dengan menerapkan satu identiti sahaja.
Semua kaum di Malaysia masih mengekalkan identiti kaum masing-masing. Seorang cendekiawan mengibaratkan perpaduan di kalangan rakyat Malaysia yang pelbagai bangsa seperti beberapa batang besi yang diikat bersama. Batang-batang besi tersebut akan terlerai sekiranya tali pengikat yang menggabungkannya terputus. Batang-batang besi tersebut tidak dilebur dan dibekukan untuk menjadi satu batang besi yang lebih besar dan tegap. Batang-batang besi yang dilebur dan dikeraskan ini tidak akan terlerai sekiranya tali pengikatnya terputus.
Walaupun bersetuju dengan cadangan Parti Perikatan mengenai kedudukan istimewa Melayu, Suruhanjaya Reid mencadangkan supaya keistimewaan Melayu disemak semula selepas 15 tahun. Kenapa 15 tahun? Adakah jangkamasa 15 tahun ini satu jangkamasa yang substantial? Jawapan kepada persoalan ini tidak dijelaskan oleh Suruhanjaya Reid.
Jangkamasa 15 tahun adalah andaian Suruhanjaya Reid. Hakikatnya, hanya masyarakat Malaysia selepas merdeka yang menentukan. Secara prinsipnya, kenyataan Suruhanjaya Reid ini bukanlah sesuatu yang mengikat. Sejauh manakah Suruhanjaya Reid dapat menentukan integrasi kaum di Malaysia akan berjalan lancar dan boleh mencapai objektifnya hanya dalam masa 15 tahun. Hatta negara-negara yang tamadunnya beratus-ratus tahun masih lagi mempunyai masalah berkaitan perkauman dan ia kekal sampai ke hari ini. Pengajarannya ialah jangkamasa 15 tahun cuma jangkaan Suruhanjaya Reid. Ia tidak semestinya benar dalam realiti.
Walaupun mencadangkan jangka masa 15 tahun untuk disemak semula peruntukan ini, Laporan Suruhanjaya Reid juga menyebut bahawa, ia terpulanglah kepada keputusan kerajaan yang memerintah, sama ada untuk mengekal, atau mengurang atau melupus keistimewaan tersebut. Keputusan kerajaan tersebut tertakluk kepada keadaan masyarakat Melayu semasa semakan tersebut dilakukan (lihat Perenggan 167).
Hakikatnya keputusan sama ada keistimewaan Melayu perlu diteruskan ataupun tidak bergantung kepada keadaan dan status orang Melayu. Sekiranya integrasi antara pelbagai kaum tidak mencapai tahap matang seperti andaian Suruhanjaya Reid, kemungkinan untuk kerajaan meneruskan status quo Perkara 153 menjadi jelas. Selain daripada itu, sekiranya kedudukan ekonomi Melayu masih belum mencapai tahap yang boleh dianggap mampu bersaing dengan kaum bukan Melayu, Perkara 153 ini masih diperlukan. Atau, selagi orang Melayu fikir mereka masih memerlukan keistimewaan seperti yang termaktub, ia harus dikekalkan di dalam Perlembagaan.
Perlembagaan
Perkara 153 adalah di bawah tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong. Perlembagaan memberi kuasa kepada Raja-raja Melayu untuk menjaga kedudukan istimewa orang Melayu. Perlembagaan tidak memberikan Parlimen kuasa penuh untuk meminda Perkara 153. Peruntukan ini hanya boleh dipinda sekiranya mendapat perkenan Raja-Raja Melayu. Selain daripada itu, apa juga polisi yang diperkenalkan berdasarkan Perkara 153 tidak boleh diubah kecuali mendapat perkenan Raja-Raja Melayu.
Majoriti ahli Suruhanjaya Reid mencadangkan supaya Yang di-Pertuan Agong menjalankan tanggungjawab menjaga keistimewaan Melayu atas nasihat Jemaah Menteri. Justice Abdul Hamid, ahli Suruhanjaya Reid dari Pakistan, dalam nota kecualiannya menyatakan bahawa kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam hal ini adalah kuasa budi bicara. Baginda boleh menjalankan kuasa berkaitan keistimewaan Melayu di atas keputusan sendiri tanpa mendapatkan nasihat Jemaah Menteri.
Keadaan ini amat kukuh untuk dihujahkan bahawa keistimewaan Melayu di bawah Perkara 153 adalah satu “hak” dan bukanlah hanya keistimewaan dalam kata harfiahnya.
Saya perlu nyatakan bahawa Pekara. 153 adalah sebahagian daripada hak asasi. Pengiktirafan sebegini juga diamalkan di negara-negara lain. Hak asasi ini diiktiraf oleh kebanyakan negara untuk menjaga kestabilan sosial supaya sesuatu kaum tidak terpinggir dan keadilan dapat dicapai dengan memberi peluang kepada semua. Hak asasi ini boleh dikatakan sebagai pengecualian kepada dasar kesamarataan menggunakan prinsip diskriminasi positif atau juga dikenali sebagai affirmative action.
Di negara seperti Amerika Syarikat, dasar affirmative action ini tidak disebut di dalam Perlembagaan. Ia hanyalah polisi pentadbiran negara. Negara kita mengiktiraf keistimewaan Melayu di dalam Perlembagaannya. Ini menjadikan kedudukan istimewa ini lebih “istimewa” berbanding amalan di Amerika Syarikat.
Perkara 153 diperkenalkan bukan kerana sifat rendah diri atau inferiority complex orang Melayu sebagaimana anggapan sesetengah pihak. Ia bukan tongkat kepada Melayu. Ia merupakan pengiktirafan yang diberikan oleh Perlembagaan kepada orang Melayu kerana asal negara ini adalah “Tanah Melayu”. Ia tiada kaitan dengan kedudukan kaum lain yang telah lama berada dan menyumbang kepada negara ini.
Objektif Perkara 153 bukan juga untuk mempersoalkan kehadiran kaum bukan Melayu di negara ini. Kaum bukan Melayu tidak harus merasa bimbang dengan kekalnya Perkara 153 di dalam Perlembagaan.
Apa yang ingin saya sampaikan adalah penghormatan harus diberikan kepada kaum Melayu dan penghormatan tersebut sebenarnya di iktiraf oleh Perlembagaan. Walauapa pun, saya tidak fikir keistimewaan Melayu ini satu diskriminasi, walau dikatakan sebagai diskriminasi positif. Ia adalah satu struktur sistem yang telah dicipta untuk kestabilan negara ini.
Oleh itu prinsip keluruhan Perlembagaan atau ketinggian Perlembagan harus sentiasa diberi perhatian sewajarnya. Keistimewaan yang diberikan kepada kaum Melayu di dalam Perkara 153 adalah satu hak yang diiktiraf oleh Perlembagaan dan tidak harus dipertikaikan.
Ingin saya tegaskan di sini bahawa Perkara 153 di dalam Perlembagaan Persekutuan tidak menyekat kedudukan kaum bukan Melayu di negara ini. Walaupun peruntukan telah wujud sepanjang 53 tahun lepas, ia tidak menjadi penghalang yang besar kepada bangsa bukan Melayu untuk memakmurkan kedudukan sosial dan ekonomi mereka di negara ini. Perkara 153 tidak menafikan kedudukan kaum bukan Melayu. Sebenarnya tiada hujah yang konkrit untuk dikatakan kuota Melayu menerusi Perkara 153 ini telah menafikan kedudukan kaum bukan Melayu sehingga menjadikan kaum bukan Melayu merempat di negara ini. Malah, apa yang kita saksikan dengan nyata ialah, kaum Melayu, atas apa sebab sekalipun, masih lagi di belakang kaum bukan Melayu dalam aspek kedudukan ekonomi. Tiada kemudaratan yang dilahirkan oleh Perkara 153 walaupun ia seringkali dijadikan alasan amalan ketidaksamarataan antara rakyat pelbagai kaum di negara ini.
Oleh DR. SHAMRAHAYU ABD. AZIZ

Siapa yang benar, Anwar atau mereka?



Adakalanya gambar sudah boleh menceritakan segala-galanya. Begitu juga dengan PKR, parti politik yang diasaskan oleh Anwar Ibrahim. Lihatlah wajah-wajah ini. Suatu ketika mereka adalah pemimpin PKR dan sebahagiannya adalah sahabat Anwar tetapi kini tidak lagi. Mereka dan ramai lagi pemimpin peringkat pertengahan dan cabang bertindak keluar kerana sebab yang sama – hilang kepercayaan terhadap ketua pembangkang itu.
Terbaru, tindakan Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan, Zaid Ibrahim meninggalkan PKR kelmarin, mencetuskan tanda tanya besar tentang nasib parti itu. Siapa lagi yang akan keluar dan sampai bila PKR mampu bertahan?
Seperti biasa, Anwar dan orang kepercayaannya, Azmin Ali atau ada yang merujuk mereka sebagai rakan kongsi, sudah punya jawapan. Kedua-duanya akan mencari salah semua mereka yang meninggalkan parti. Malah ada yang dihina dan difitnah. Tetapi siapakah yang benar, sama ada Anwar bersama Azmin atau puluhan pemimpin serta ribuan lagi ahli PKR meliputi semua kaum yang bertindak keluar?
Tidak perlu Awang ulas panjang untuk mencari jawapan. Renungkanlah di mana salahnya. Parti yang masih baru sudah ditinggalkan sebegitu ramai pengikut. Sebenarnya terlalu banyak isu melingkari PKR daripada integriti dan moral Anwar, dasar yang bercelaru sehinggalah kepada kelemahan pengurusan parti sebagaimana kegawatan pemilihan parti itu sekarang. Tetapi yang lebih menarik untuk dikaji mengapa semakin kuat dorongan untuk keluar PKR. Seorang bekas pemimpin PKR memberitahu Awang, Anwar seorang yang hipokrit dan melakukan perkara yang tidak boleh diterima dek akal dan kewarasan. “Sesiapa sahaja yang mengetahui siapa sebenarnya beliau, pasti terdorong kuat untuk membetulkan keadaan. Ini juga jihad,’’ katanya.
Awang menung panjang apatah lagi mendapat tahu satu demi satu kisah sisi gelapnya yang luar biasa. Keghairahan beliau mendapatkan campur tangan asing bagi menyelamatkan dirinya daripada kes liwat, amat memalukan. Rasanya, Anwar adalah ketua pembangkang di seantero dunia yang paling bermasalah dan mempunyai isu moral yang serius. Awang bersyukur kebenaran makin terserlah. Tahniah kepada semua yang berani menegakkan kebenaran dan meninggalkan Anwar. Semoga Allah menyelamatkan Malaysia. Benar, ini juga jihad kita.

Usah jadi seperti tikus membaiki labu


KUANTAN: Datuk Seri Najib Razak hari ini mengingatkan pihak tertentu yang cuba mengubah perlembagaan negara supaya tidak bersikap seperti ‘tikus membaiki labu’.
Perdana Menteri berkata, sistem pemerintahan Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen wajar dipertahankan kerana ia telah berjaya membawa kepada keamanan, kestabilan politik dan aspirasi rakyat. “Untuk itu seluruh rakyat perlu terus mempertahankan sistem yang terbukti berkesan membawa ketabilan ini dan tidak ada sebab untuk kita bersikap ibarat tikus membaiki labu,” katanya.
Beliau berkata, demikian ketika berucap melancarkan buku ‘Raja Dan Rakyat Berpisah Tiada’ tulisan Datuk Halim Ibrahim di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini malam ini.
Penerbitan buku itu bersempena ulang tahun ke-80 keputeraan Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah.
Turut hadir Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah; Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Sultan Iskandar; dan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob.
Najib berkata, sistem pemerintahan raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen juga membolehkan pembangunan dilaksanakan secara terancang dan tertib dan sebagai hasilnya, taraf hidup rakyat berjaya dipertingkatkan hanya dalam tempoh 50 tahun.


“Kita juga berjaya mentransformasikan negara dari sebuah negara pertanian yang berpendapatan rendah kepada sebuah negara perindustrian moden yang berpendapatan tinggi,” katanya.
Najib berkata, sistem berkenaan juga terbukti sebuah sistem terbaik yang ternyata keberkesanannya kerana ia mengadunkan warisan tradisi negara yang terbaik bersama-sama aspirasi rakyat.
Katanya, lipatan sejarah di bawah sistem pemerintahan raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen menunjukkan perjalanan negara ke arah sistem itu bersifat evolusi, bersandarkan muafakat dan berlatarbelakangkan ketertiban dan ia berbeza dengan sesetengah negara di dunia yang melibatkan revolusi dan anarki.
Sementara itu, Najib berkata penerbitan buku itu membolehkan rakyat iaitu pembaca mengenali dengan lebih dekat tentang hati budi dan jiwa raga Sultan Pahang kerana ia dikarang oleh individu yang akrab dengan baginda.
Katanya, walaupun ia bukanlah buku yang pertama dan yakin bukan juga yang terakhir, namun ia tetap penting sebagai rekod tawarikh untuk teladan serta panduan bagi generasi hari ini dan akan datang.
“Sesungguhnya bangsa yang tidak tahu, mahu pun berminat dengan sejarah warisan bangsanya sendiri adalah bangsa yang lemah dan miskin semangatnya,” katanya. – BERNAMA

PERKASA mahu bebas, tidak mahu dipandang serong


KUALA LUMPUR, PERKASA secara dasarnya hari ini menolak dan lebih berminat untuk tidak bergabung menjadi sebahagian daripada Barisan Nasional (BN) dengan alasan tidak mahu terikat dengan mana-mana parti politik.
Malah PERKASA juga berpendapat keputusan tidak menjadi ahli gabungan adalah satu pilihan tepat kerana ia tidak akan menyekat usaha mereka untuk memberikan pandangan dan pendapat.
Menurut Setiausaha Agung Perkasa Syed Hassan Syed Ali, buat masa sekarang pihaknya tidak akan menyertai mana-mana parti politik termasuk menjadi anggota gabungan BN.
“Buat setakat ini Perkasa lebih berminat untuk tidak bergabung atau menjadi ahli bersekutu dengan mana-mana parti politik.
“Sebabnya untuk kekal bebas tanpa terikat dengan mana-mana pihak.
“Apa jua dasar yang baik yang baik untuk rakyat, selari dengan Perlembagaan Negara, Perkasa akan bagi sokongan kepada mana-mana pihak,” katanya .
Beliau berkata jika berlaku perubahan dalam keputusan itu ia hanya dibuat ketika mesyuarat agung Perkasa.
“Apa pun Perkasa akan menyerah kepada perwakilan mesyuarat agung untuk memutuskan sama ada mahu memohon menjadi ahli gabungan atau bersekutu dengan BN.
“Ia perkasa dasar, maka keputusan terletak pada perwakilan mesyuarat agung Perkasa,”
Tambah Syed Hassan, sukar untuk Perkasa menjadi ahli gabungan dalam BN kerana ahli pertubuhan itu terdiri daripada latar belakang politik yang berbeza.
“Secara peribadi saya rasakan sukar untuk NGO seperti Perkasa menyertai atau bergabung dengan mana-mana parti politik kerana ahli-ahli Perkasa terdiri daripada latar belakang politik yang berbeza dan ada yang tidak minat politik.
“Mereka menyertai Perkasa adalah kerana Perkasa hanya sebuah NGO yang mempertahankan hak-hak orang Melayu dan Bumiputera lain.
“NGO ini membuka keahlian kepada semua orang Melayu dan Bumiputera tanpa kira fahaman politik,” .
Beliau juga berkata keputusan untuk tidak menyertai BN adalah kerana Perkasa tidak mahu dilihat berpihak kepada mana-mana parti politik di negara ini.
“Jadi jika menyertai BN akan akur dengan cara BN. Ini yang susah kerana selama ini Perkasa bebas menegur mana-mana pihak yang difikirkan menggangu hak-hak orang Melayu dan Bumiputera serta kemuliaan Islam.
“BN pun Perkasa pernah tegur. Umno, MCA, Gerakan, MIC semuanya Perkasa selalu tegur secara terbuka sebelum ini.
“Kalau bersama dalam BN payahlah. Perkasa tidak mahu berpihak kepada mana-mana parti politik. Yang mana tak kena dengan perjuangan Perkasa, kami akan bersuara dan tegur dengan tegas. Tidak kira siapa,” katanya.

Siri Tazkirah

Siri Tazkirah di Rumah Perlindungan Remaja Baitul Fiqh,USJ, oleh Sdr.Ruslan Kassim Ketua Penerangan PERKASA

TREBEST PLUS CAPSULE - HEBAT !!! HUBUNGI 010-9165803 EN. HUSSEIN dan KLIK GAMBAR PRODUK DI ATAS