salam

Khamis, Disember 09, 2010

Pertahan semangat perpaduan – Agong


PUTRAJAYA 7 Dis. – Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin menyeru umat Islam mempertahan dan memupuk semangat perpaduan, kasih sayang serta toleransi kaum sebagaimana yang ditunjukkan melalui peristiwa hijrah Rasulullah SAW.
Seri Paduka bertitah, peristiwa tersebut adalah detik bersejarah yang telah mengubah seluruh landskap kehidupan umat Islam ketika itu dengan semangat perpaduan jelas kelihatan dalam pelaksanaan Piagam Madinah di bawah teraju kepimpinan Nabi Muhammad.
Justeru, Seri Paduka memberikan ingatan supaya perpaduan yang telah dibina sekian lama di negara ini tidak diruntuhkan hanya kerana memenuhi tuntutan segelintir pihak yang ekstrem dan rakus meraih keuntungan untuk kelompok sendiri.
“Perancangan pembangunan negara pasti akan terbantut sekiranya perpaduan dan keharmonian rakyat tidak dipertahankan bersama.
“Negara akan terdedah kepada kemunduran dan kehancuran sekiranya masyarakat saling curiga mencurigai serta saling bertelagah.
“Adalah menjadi tanggungjawab bersama bagi memastikan negara dalam keadaan aman dan berjaya untuk diwarisi oleh anak-anak kita,” titah Seri Paduka.
Seri Paduka Baginda bertitah demikian pada majlis sambutan Ma’al Hijrah 1432 Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.
Turut berangkat mencemar duli ke majlis tersebut ialah Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah.
Hadir sama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz.
Tema sambutan Maal Hijrah tahun ini ialah ’1Malaysia, 1Ummah’ yang bertepatan dengan usaha kerajaan membina masyarakat bersatu padu berasaskan konsep 1Malaysia.
Tuanku Mizan bertitah, dalam Piagam Madinah, Rasulullah memberikan kebebasan beragama, hak asasi manusia, peranan dan tanggungjawab sebagai warganegara serta hubungan dengan pihak luar.
Seri Paduka menambah, Piagam Madinah juga memperlihatkan sikap Islam dalam menjaga keharmonian dalam sesebuah masyarakat yang berbilang kaum dan agama.
”Sekali gus ia membuktikan ajaran Islam memang sesuai untuk persekitaran majmuk, meliputi kepelbagaian kaum, budaya dan agama dan ia juga selaras dengan sifat Islam sebagai agama pembawa rahmat kepada seluruh alam.
”Islam sentiasa mengajak dan menuntut umatnya berbuat baik dan berlaku adil terhadap sesiapa sahaja tanpa mengira agama, kaum dan kedudukan dalam masyarakat,” titah Seri Paduka.
Seri Paduka juga berharap usaha murni dapat diteruskan dengan memberikan pengisian sambutan Maal Hijrah yang lebih bermakna dan mampu memberikan impak positif ke arah pembangunan ummah dan keharmonian kaum di negara ini.
”Kehidupan umat manusia sebelum kedatangan Islam telah melalui satu fasa yang kelam dan suram. Namun dengan kedatangan Islam, ia telah membawa suatu perubahan dan sinar baru kehidupan manusia.
”Islam sebagai agama penyatuan telah merubah kehidupan jahiliah yang berpecah belah menjadi umat bersatu padu dan saling bantu membantu.
Titah Seri Paduka, kedatangan Islam dengan membawa akhlak yang murni telah melenyapkan permusuhan dan sengketa di antara mereka.
Sambil menyifatkan usaha mencapai perpaduan bukan suatu perkara yang mudah, Tuanku Mizan mahu semua pihak memainkan peranan dan membuktikan keikhlasan selain semua kaum perlu saling memahami, menghormati dan bertolak ansur demi keharmonian.
”Bagi umat Islam, binalah ummah dan negara tercinta atas dasar iman dan ukhuwah yang erat. Ambillah pengajaran daripada peristiwa hijrah dengan penuh keinsafan dan mengharapkan keredaan Allah,” titah Seri Paduka.
Dalam pada itu, Tuanku Mizan mengingatkan bahawa peristiwa hijrah telah membawa perubahan dan transformasi positif pada sikap dan cara hidup umat Islam sekali gus menggambarkan betapa perlunya pengorbanan dan kegigihan untuk mencapai kejayaan dunia dan akhirat sebagaimana ditunjukkan oleh golongan Ansar dan Muhajirin.
”Bagaimanapun, semua pengajaran itu akan tinggal dalam lipatan sejarah sekiranya kita terus leka dan hanya berbangga dengan pencapaian umat terdahulu sedangkan kita sendiri tidak pernah berubah untuk mencapai kejayaan,” titah Seri Paduka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan


TREBEST PLUS CAPSULE - HEBAT !!! HUBUNGI 010-9165803 EN. HUSSEIN dan KLIK GAMBAR PRODUK DI ATAS