1. Tiba-tiba isu TBS BTS meletup dalam media. Lalu saya terpanggil untuk menulisnya, setelah agak lama ‘bercuti’.
2. Tujuan utama saya menulis isu ini adalah untuk (a) menarik perhatian pucuk pemimpin kerajaan agar segera insaf dan belajar dari misfortunes yang terus menerus menimpa para peniaga kecil, khususnya peniaga Melayu, (b) merayu pihak-pihak yang terlibat agar segeralah bertindak mengatasinya, (c) mendesak agar dielakkan kebodohan seperti ini daripada berulang lagi, dan (e) meminta sama-sama muasabah diri untuk mencari dan mengatasi kelemahan masing-masing; bukan menyalahkan orang lain.
3. Sebelum ini, dilaporkan, mungkin betul atau kurang tepat, para peniaga kecil Melayu telah ‘diusir/dipinggir’ dari Parkson, dari Alamanda dan dari Sg Wang. Dikatakan tiada pembelaan dari pihak berkuasa.
4. Sekarang berulang lagi sejarah hitam ini dalam riuk pikuk ‘Rakyat Didahulukan’; seolah-olah mahu sabotaj usaha murni YAB DSN. Adalah amat menghairankan isu yang sesenang inipun tidak dapat diselesaikan dengan baik dan saksama sebelum TBS hendak memulakan operasinya. Apa yang lebih membimbangkan ialah potensi malapetaka sosio-ekonomi dan ‘British Disease’yang boleh berlaku ke atas golongan miskin, hampir 75% adalah Melayu / Bumiputera, menjelang tahun 2020 nanti, jika senario seperti ini terus berlaku.
Persepsi Buruk
5. Kekecuhan di TBS BTS boleh memberikan berbagai-bagai persepsi buruk.
Pertama, perancangan yang lemah oleh pihak-pihak berkaitan.
Kedua, nampak sangat tidak ada koordinasi antara pihak-pihak yang berkenaan.
Ketiga, kebajikan penjaja dan pengguna seola-olah diabaikan maka prinsip ‘rakyat didahulukan’ tidak menjadi kenyataan.
Keempat, wakil pihak kerajaan yang datang cuba menyelesaikan masalah nampaknya keras / kasar.
Kelima, pihak-pihak tersebut gagal belajar dari sejarah dan dari Aesop (620 BC – 560 BC) – “Better be wise by the misfortunes of others than by your own”.
6. Sehubungan kekecuhan tersebut, saya telah mengedarkan sms berikut untuk mendapatkan reaksi daripada rakan-rakan yang saya kenal.
“Salam…Sy bimbang apa yg dibisingkan olh penjaja Melayu la ni apabila TBS BTS nak buka akn berlaku pula apabila Melayu/UMNO tersedar semasa NKEA dah hampir beres nanti (2019/2020) dan mereka hanya dapat kuah/tulang aje.
Sediakah pemilik 131 EPP / 60 BO (siapa mereka?) dgn mudah beri peluang pd Melayu? Kerajaan/UMNO wajar beri penjelasan utk kikis kebimbangan ini dan supaya sokongan pd kerajaan/parti bertambah mantap. Siapa blh beri penjelasan?
Perlu elak economic genocide di Chile dan Argentina di masa lalu drp berlaku ke atas kita. Tk”
Reaksi
7. Saya ingin berkongsi sebahagian reaksi yang saya terima itu ekoran daripada sms tersebut. Ia merupakan maklum balas yang berguna, sekalipun jika ianya kurang tepat, untuk semua pihak yang berkenaan, termasuklah kerajaan / DSN sendiri.
8. Reaksi pertama
“Kebimbangan yg berasas..tapi elok berikan maksud TBS BTS & 131 EPP/60 BO..supaya mereka faham & tak tafsir BTS itu Buah Tandan Segar..”
9. Reaksi kedua (dengan sedikit suntingan):
“Kes TBS ini memang tidak adil. Pemaju dakwa banyak keluar modal untuk bangunkan terminal tu. Tetapi modal tu adalah tabung kerajaan untuk pengangkutan awam. Pelik betul.
Mereka dapat % setiap tiket yang dibeli oleh penumpang selain caj bas-bas ekspress masuk ke terminal tu. Tapi kenapa ruang niaga terlalu mahal. Di bas terminal jangnlah galakkan cafe berjenama atau nak kan kios yang canggih dan nampak mewah kerana yg ke situ hanya penumpang bas, bukan penumpang kapal terbang. Penumpang bas, kalau mampu mereka naik kapal terbang.
Jika peniaga terpaksa letak harga tinggi menjadi bebanan kepada penumpang kerana tiada pilihan lain. Dan jika penumpang berjimat tidak membeli kerana harga mahal, peniaga pula akan menerima kerugian dan susah utk bayar sewa.
Sepatutnya adakan ruang retails 8’ x 10’ sebanyak mungkin. Ramai peniaga Melayu boleh berniaga. Sepertimana di Puduraya. Bukan mahu jadi seperti keadaan Puduraya sebelum ini.
Dgn modal sekali sahaja utk papan tanda kedai yg canggih dan bersiling plaster serta shelter yg menarik sudah membolehkan peniaga tidak terbeban dengan sewa yg mahal. Hanya utk ruangan kecil tu sewa pasti tak bebankan penyewa.
Perlu diingat, peniaga peringkat ini bukannya berniaga utk jadi jutawaan. Mereka sekadar dpt bayar sewa ruang niaga, sewa rumah, sewa hidup bulanan dan menabung sikit.
Terminal yg besar dan canggih tak boleh segalanya seperti airport.
Yang pasti pada saya, ada pihak yg tidak telus dalam memilih penyewa. Memang menyakitkan hati hal ini.
Pihak penguasa bas juga ada berjumpa Perkasa tentang caj yang melampau.”
10. Reaksi ketiga:
“Tepat, sepatutnya pihak yg berkenaan ambil feedback drp usahwan. Perkara kadar sewa apabila dibincang secara terbuka memalukan kita, yg tak sedapnya Khalid Ibrahim ambil peluang, dan dilihat sebagai penyelamat. tq”
11. Reaksi keempat:
“Pejuang Melayu hanya seperti peribahasa ‘anjing menyalak bukit tak kan runtuh”.
“Pejuang Melayu hanya seperti peribahasa ‘anjing menyalak bukit tak kan runtuh”.
12. Sebagaimana kemelut TBS BTS boleh memberikan berbagai-bagai tanggapan, empat reaksi di atas juga boleh mengundang pelbagai tafsiran dan persepsi. Antaranya ialah:
Pertama - ianya sudah tentulah memalukan kerajaan / DSN; rakyat menunggu apakah tindakan akan diambil ke atas mereka yang terlibat;
Kedua - damage control hendaklah dilaksanakan segera; pegawai yang kurang mesra alam / kurang PRnya usahlah ketengah; cantik saja tak cukup;
Ketiga - golongan bawah terus terabai dan terpinggir; ikan bilis terus ditelan oleh jerung!
Keempat - keyakinan terhadap pemimpin UMNO terhakis;
Kelima - parti pembangkang pasti akan eksploit isu ini – sama ada dalam PRK Tenang atau PRU 13 nanti.
13. Yang paling penting untuk disedari, diinsafi dan dipelajari segera oleh para pemimpin UMNO SEKARANG ialah bencana ini terlalu kecil, jika dibandingkan malapetaka sosio-ekonomi yang bakal menanti golongan miskin / bawahan akibat pelaksanaan ETP/NEM/NKEA ini, sekiranya terus dibiarkan ekosistem ikan jerung menelan ikan bilis berkembang. Pelaburan TBS BTS yang canggih ini, difahamkan, hanyalah bernilai 570 juta tetapi pelaburan 12 NKEA (131 EPP / 60 BO) adalah bernilai RM1.4 trillion (US$444 billion) atau 2,456 kali ganda lebih banyak! Termampukah kita membayangkan impaknya?
14. Sekiranya ekosistem eksploitatif tersebut berterusan maka, secara mudah, begitulah reaksi golongan miskin (majoriti adalah orang Melayu / Bumi) menjelang tahun 2020 nanti tetapi ianya beribu kali ganda lebih dahsyat kerana (a) kemelutnya meluas di seluruh negara; tidak lagi tertumpu di BTS saja dan (b) marah mereka meluap-luap umpama gunung berapi Merapi sebab ‘nasi sudah menjadi bubur’ dan mereka hanya mendapat kuah dan tulang.
15. Mereka baru tersedar pada masa itu bahawa mereka sesungguhnya sudah terpinggir dan hak mereka sudah terhakis habis. Telahan Allahyarham Aminudin Baki bertukar menjadi realiti ngeri orang Melayu / Bumi – “itek di air mati kehausan, ayam di kepuk mati kelaparan”!
16. Mengapa saya katakan ‘mereka baru tersedar pada masa itu’? Sebabnya, pada MASA INI, para pemimpin Melayu, termasuk UMNO, kecuali beberapa orang serta PERKASA dan MPM, rata-rata dilihat seolah-olah tidak ambil berat mengenai potensi outcome dan impak negatif ETP/NEM/NKEA ini ke atas kaumnya. Ramai juga dilihat tidak tahu dan tidak minat hendak ambil tahu, termasuklah pegawai kanan Melayu / Bumi. Semuanya hendak dibebankan ke atas bahu DSN dan TSMY. Kesian… tak kan terkajang batu sepulau dek mereka berdua.
17. Perkiraan ini belum lagi mengambil kira orang Melayu yang bersedia menjual bangsa dan agamanya sendiri demi kerakusan nafsu mereka. Maka di manakah dahan kukuh sebagai tempat golongan 75% itu hendak bergantung? Lantaran mereka berpautlah kepada dahan PERKASA dan MPM.
18. Lalu jika berlakulah economic genocide dan British Disease terhadap orang Melayu / Bumi menjelang tahun 2020 nanti akibat penyelewengan pelakasanaan dasar-dasar yang digubal sekarang, terutamanya ETP/NEM/NKEA, maka para pemimpin UMNO SEKARANG perlulah bertanggung jawab. Tidak boleh mengelak, tidak boleh lari!
19. Namun malapetaka itu masih boleh dielakkan sekiranya tindakan SEGERA diambil SEKARANG. Yakinlah “There are no mistakes in life, only lessons. But if you don’t learn from those lessons then it will be a mistake” – Anonymous. Maka segeralah belajar daripada kesilapan TBS BTS ini untuk mengelakkan kesilapan yang sama berulang di masa akan datang.
20. Seterusnya marilah kita sama-sama sederap membantu DSN dalam menjayakan gagasan GTP/ETP/NEM/NKEA beliau dengan belajar dari misfortunes Argentina, Bolivia dan Chile di masa lalu, sepertimana yang dinasihatkan oleh Aesop – “Better be wise by the misfortunes of others than by your own.”
by darahtuah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan