Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) kesal dengan tindakan pengurusan Terminal Bersepadu Selatan-Bandar Tasik Selatan (TBS-BTS) yang sewenang-wenangnya mengenakan kadar sewa yang terlalu tinggi.
Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, sepatutnya ruang niaga berukuran 2.4 x 3 meter (8 x 10 kaki) diwujudkan sebanyak mungkin khusus untuk peniaga kecil.
Namun katanya, ruang niaga yang disediakan pihak pengurusan terminal adalah bersaiz kios yang terlalu canggih seperti ruang niaga di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Sehubungan itu, kata beliau, Perkasa merasakan perancangan bagi projek tersebut adalah tidak betul.
“Kalau projek yang dimajukan oleh usahawan Melayu dan kerajaan tidak mampu membantu usahawan Melayu, maka tidak hairanlah kalau peniaga Melayu dipinggir dari pusat beli-belah seperti Parkson, Alamanda, Sungai Wang, Times Square dan lain-lain.
“Perkasa tahu kononnya pemaju mendakwa mereka keluar modal tetapi sebenarnya pemaju menggunakan tabung pengangkutan yang berjumlah RM570 juta,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Baru-baru ini, kira-kira 200 penyokong Barisan Nasional (BN) dan parti pembangkang bergabung mengadakan perhimpunan secara aman di dua lokasi berhampiran TBS-BTS yang bertujuan membantah kadar sewa ruang niaga terminal berkenaan yang disifatkan terlalu tinggi.
Ibrahim berkata, sekiranya perkara seperti ini berlanjutan menghantui peniaga kecil Melayu, pihaknya percaya orang Melayu tidak akan mendapat peluang di bawah 131 projek permulaan (EPP) membabitkan nilai pelaburan RM414 bilion (AS$138 bilion) dan 60 peluang perniagaan (BOA).
Berikutan itu, jelas beliau, Perkasa mahu kerajaan mewujudkan Unit Perancangan Pelaksanaan dan Pemantauan Prestasi Ekonomi Bumiputera (UPB) yang akan bertindak sama seperti Unit Penyampaian dan Prestasi Pengurusan (Pemandu) di Jabatan Perdana Menteri.
“Namun, masih ramai yang tidak faham dengan maksud yang tersirat atas cadangan Perkasa itu, Jika kelemahan demi kelemahan berlaku dan pemimpin pula retorik, justeru, akan berlaku penghapusan ekonomi seperti di Chile dan Argentina kini.
“Wahai Melayu, sedarlah masa belum terlambat dan yakinlah tidak ada kesilapan dalam hidup tetapi gagal belajar daripada kesalahan adalah satu kesilapan,” ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan