LABIS 18 Jan - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menasihatkan rakyat agar jangan mengambil risiko memperjudikan nasib negara dengan cuba "bereksperimentasi" memberi sokongan kepada pembangkang sebaliknya kekal menyokong Barisan Nasional (BN) untuk masa depan yang terjamin.
Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN berkata, BN mendukung konsep kerjasama antara parti-parti komponen dan memegang idelogi bersama untuk memacu kejayaan negara ke tahap yang lebih baik.
"BN adalah parti yang ada ideologi bersama sebab itulah kita berjaya membawa negara kita menjadi berjaya dan bukan setakat itu (sahaja), kita nak bawa negara kita lebih berjaya lagi," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran bangunan gantian Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Cina) Labis dan majlis ramah mesra bersama persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) masyarakat Cina, di sini hari ini.
Najib berkata, pakatan pembangkang yang terdiri dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas hanya mampu 'tidur sebantal tetapi mempunyai mimpi dan cita-cita yang berlainan'", sekaligus membuktikan tiada persefahaman yang wujud dalam pakatan tersebut.
"Pas masih lagi bercita-cita buat negara Islam ala Pas tapi DAP cakap 'over my dead body' (langkah mayat saya dahulu). Mereka 'bermain mata' kerana hendak mengalahkan BN.
"Tapi cuba bayangkan kalan dalam hati, Pas ada cita-cita nak buat negara Islam cara Pas, DAP nak buat negara sekular cara DAP, memang mereka tak boleh bersama, pada hakikatnya mereka cuba nak main sandiwara politik saja.
"Mereka cuba memperbodohkan rakyat. Kerjasama mereka itu rapuh, hubungan itu tidak boleh berjaya sebenarnya," katanya.
Sehubungan itu, Najib berkata, jika rakyat mengambil langkah memberi undi kepada pembangkang, masa depan negara akan hancur dan tidak mudah untuk rakyat mendapat kembali apa yang telah dibina dengan susah payah. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan