salam

Selasa, Februari 08, 2011

Kedudukan Pegawai Kerajaan Negeri Bergantung Kepada Tuan Politik?

1. Kerajaan Negeri Selangor sedang berhadapan masalah pentadbiran yang serius jika ia masih meneruskan sikap berdolak dalik dalam menerima perlantikan Dato Mohd Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.

2. Sudah sejak tiga tahun lalu kedudukan ekonomi dan kewangan negeri dalam keadaan tidak baik, kegagalan menguruskan pentadbiran dengan cekap terutamanya membabitkan jawatan tertinggi dalam pentadbiran kerajaan negeri boleh merencatkan lagi pembangunan.
3. Setiausaha Kerajaan Negeri merupakan individu terpenting dalam sistem pentadbiran awam negeri. Kegagalan mengadakan majlis angkat sumpah SUK di hadapan Menteri Besar menyebabkan Dato Mohd Khusrin tidak dapat menghadiri mesyuarat EXCO dan juga melaksanakan segala keputusan-keputusan EXCO.

4. Ini bermakna secara prosedur, segala mesyuarat dan keputusan EXCO menjadi sia-sia dan membuang masa kerana ia tidak dapat diturunkan kepada pegawai kerajaan. Menteri Besar dan EXCO mungkin memberi arahan langsung kepada para pegawai kerajaan yang diperlukan. Namun arahan kepada pegawai kerajaan negeri tanpa melalui SUK merupakan satu pelanggaran tatacara "good governance" yang dilaung-laungkan oleh Pakatan Rakyat sebelum ini.

5. Segala bantahan dan gerak kerja kerajaan negeri dalam membantah perlantikan Khusrin ini telah dilaksanakan termasuklah mengadakan sidang Dewan tergempar bulan lalu, maka eloklah Kerajaan Negeri melihat ke hadapan dan menyegerakan majlis mengangkat sumpah SUK Selangor ini.

6. DYMM Tuanku telah memberi perkenan baginda ke atas perlantikan Khusrin. Malah menerima Khusrin mengangkat sumpah dihadapan baginda. Baginda juga telah memberi restu kepada Kerajaan Negeri mengadakan sidang khas Dewan Negeri Selangor.

7. Justeru moleklah kerajaan negeri terutamanya YAB Menteri Besar menyegerakan majlis angkat sumpah SUK ini agar pentadbiran negeri dan kepercayaan kakitangan awam dapat terus diperkukuhkan.

8. Tindakan kerajaan negeri berdiam diri hanya akan mengeruhkan lagi hubungan antara kakiitangan kerajaan dan pemimpin politik negeri. Kakitangan kerajaan melihat tindakan kerajaan negeri ini sebagai satu campur tangan politik secara langsung dalam pentadbiran awam. Ini menimbulkan ketakutan dan kepercayaan bahawa kedudukan mereka di negeri bergantung kepada sejauh mana mereka tunduk kepada kuasa politik bukannya sejauh mana mereka melaksanakan tugas dengan cemerlang.

9. Dulu saya dikritik kerana memberi anugerah penyapu kepada PBT yang gagal mencapai sasaran perkhidmatan yang ditetapkan. Apabila Majlis Daerah Hulu Selangor menerima anugerah penyapu tersebut riuh rendah kononnya saya menjatuhkan maruah pentadbiran awam negeri. 

10. Hakikatnya cadangan anugerah penyapu tersebut datang dari pegawai kanan kerajaan dan mendapat persetujuan para pegawai kanan kerajaan negeri. Malahan selepas menerima anugerah penyapu tersebut, Majlis Daerah Hulu Selangor menerima anugerah PBT cemerlang tiga tahun berturut-turut berdasarkan ukuran prestasi yang sama.

11. Ketika anugerah tersebut adalah bertujuan memberi kesedaran luar biasa kepada kakitangan awam untuk berkhidmat lebih efisyen dan kerja keras, keengganan Menteri Besar menerima perlantikan Khusrin telah menyebabkan pentadbiran kerajaan negeri menjadi terencat dan moral kakitangan awam berada di tahap yang sangat rendah.

12. Jika seorang pegawai kanan di peringkat negeri boleh diperlakukan seperti budak-budak, apakah erti kedudukan pegawai lain yang lebih rendah pangkat dan kekananan (seniority)? 

13 Jika restu dan perkenan Tuanku terhadap perlantikan ini pun dipandang sebelah mata oleh rejim politik baru Selangor, apakah nasib kakitangan kerajaan lain sekiranya tidak mengikut arahan "moghul" baru ini? Mereka mungkin tidak memberi "penyapu" jika tidak bekerja dengan baik, tetapi mereka akan buat apa sahaja untuk menolak kakitangan kerajaan hanya kerana mereka tidak suka atau mempunyai prasangka tidak baik terhadap individu tersebut.

14. Kegagalan mengadakan Majlis Angkat Sumpah SUK Selangor yang baru ini menunjukkan kerajaan negeri tidak serius dalam memastikan pentadbiran kerajaan negeri berjalan lancar, cekap dan efisyen. Sebaliknya mereka hanya mementingkan kroni mereka dilantik ke jawatan-jawatan kerajaan dan akan berbuat apa sahaja untuk menggagalkan kenaikan pangkat pegawai yang mereka tidak suka.

15. Apakah ini bukan satu bentuk penghinaan kepada perkhidmatan awam negeri apabila Menteri Besar secara terbuka menolak perlantikan pegawai kanan pentadbiran awam tanpa sebarang sebab yang memabbitkan keupayaan dan kemapuan bekerja pegawai tersebut?

16. Sungguhpun mereka menjanjikan ketelusan, pertanggungjawaban awam dan pentadbiran kerajaan yang baik, kesimpulan di sebalik krisis perlantikan SUK Selangor ini menunjukkan kedudukan pegawai kanan kerajaan negeri Selangor pada zaman Pakatan memerintah ini tidak lebih kepada hamba politik. Jika mereka tidak berani melanggar peraturan dan prosedur untuk memenuhi tuntutan "moghul politik" baru ini, mereka harus bersedia menjadi seperti Khusrin.

17. Bagi Tan Sri Khalid sendiri jika masih berdegil nyatalah beliau melanggar perkenan DYMM Tuanku dan juga membelakangkan undang-undang tubuh negeri Selangor. Nmapak jelas beliau meletakkan dirinya lebih tinggi dari undang-undang tubuh negeri Selangor. Inilah yang dikatakan bagi ulat naik daun.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan


TREBEST PLUS CAPSULE - HEBAT !!! HUBUNGI 010-9165803 EN. HUSSEIN dan KLIK GAMBAR PRODUK DI ATAS