salam

Selasa, Februari 08, 2011

Khusrin terima tugas pertama sebagai SUK Selangor

SHAH ALAM 7 Feb. – Datuk Mohamad Khusrin Munawi hari ini menerima tugas pertamanya sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor apabila diminta membantu menangani masalah penduduk setinggan yang mendiami tanah negeri itu.

Perkara itu dimaklumkan kepada Mohamad Khusrin oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim apabila kedua-dua mereka mengadakan pertemuan di pejabat Menteri Besar di Bangunan SUK di sini, hari ini.

Sekretariat Akhbar Pejabat Menteri Besar dalam satu kenyataan berkata pada pertemuan itu, Mohamad Khusrin juga diminta menyediakan laporan dari masa ke masa kepada kerajaan Selangor mengenai maklumat terkini hartanah yang dimiliki kerajaan negeri demi mengenal pasti nilai tanah terbiar dan bermasalah.


"Mohamad Khusrin juga diminta meneruskan usaha-usaha kerajaan Selangor menangani masalah kecurian pasir yang boleh mengganggu pendapatan kerajaan negeri,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu bagaimanapun tidak menyebut sama ada Abdul Khalid membenarkan Mohamad Khusrin mengangkat sumpah simpan rahsia di hadapannya bagi membolehkan SUK itu menghadiri mesyuarat exco dan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor.

Abdul Khalid mempertikaikan pelantikan Mohd Khusrin sebagai SUK berkuat kuasa 1 Januari lepas oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, dengan mengatakan beliau tidak dimaklumkan terlebih dahulu mengenai pelantikan itu.

Berikutan itu, kerajaan Selangor yang diterajui bersama oleh Parti Keadilan Rakyat, Pas dan DAP mengadakan sidang khas Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk meminda Undang-undang Tubuh Negeri Selangor, bagi mengembalikan kuasa Sultan dan Menteri Besar dalam pelantikan SUK, Pegawai Kewangan Negeri dan Penasihat Undang-undang Negeri, yang berada di bawah bidang kuasa suruhanjaya tersebut.

Pindaan itu gagal kerana tidak mendapat sokongan majoriti dua pertiga anggota dewan. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan


TREBEST PLUS CAPSULE - HEBAT !!! HUBUNGI 010-9165803 EN. HUSSEIN dan KLIK GAMBAR PRODUK DI ATAS