MUNGKIN Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng tidak tahu atau tidak faham dengan peribahasa Cina iaitu Cónglái bu xie le yi feng xìn, ér ni shì shengqì (never write a letter while you are angry). Kerana itu Guan Eng telah dikecam hebat dek kenyataan beliau semasa konvensyen pembangkang baru-baru ini.
Apakah pembaca lebih 200,000 naskhah sehari Utusan Malaysia boleh diperlekehkan sebagai bukan rakyat Malaysia tulen seperti tuduhan Guan Eng?
Inilah persoalan asas yang perlu direnungi bersama. Kita tentu marah kerana Guan Eng nampaknya telah membesarkan skop kebencian beliau yang kini bukan sahaja melibatkan parti Barisan Nasional (BN) dan UMNO, tetapi rakyat Malaysia secara keseluruhannya.
Dan sudah tentu kita tidak dapat lari daripada memikirkan bahawa Guan Eng semakin benci dengan kaum Melayu kerana orang Melayulah yang membaca Utusan Malaysia!
Adalah tidak adil apabila seorang cauvinis mempersoalkan kerakyatan seseorang warganegara hanya kerana membeli surat khabar Utusan Malaysia. Ia ternyata menyerlahkan lagi kebaculan dan keangkuhan Guan Eng yang semakin tidak sedar diri tentang kepincangan dan ketidakupayaan beliau menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang selama ini.
Realitinya, Guan Eng adalah seorang diktator yang tidak mahu menerima sebarang kritikan meskipunia bertujuan memperbetulkan sikap beliau yang rasis dan berat sebelah.
Malah, tuduhan Guan Eng yang mempertikaikan kerakyatan mana-mana pihak yang 'meraikan' tragedi 13 Mei juga merupakan satu tuduhan yang melulu dan tidak berasas.
Hakikatnya, tidak ada satu pihak pun yang mahu 'meraikan' tragedi 13 Mei. Tetapi pihak-pihak ini mahukan tarikh itu diingati terutamanya tentang betapa rapuhnya keamanan di antara kaum-kaum di negara ini jika sensitiviti di antara kaum-kaum tidak dijaga dengan nyawa dan raga.
Adalah tidak salah, malah patut digalakkan apabila ada pihak yang sentiasa prihatin dan saling ingat-mengingati sesama kita, rakyat Malaysia.
Kelantangan Guan Eng mempersoalkan isu 'meraikan' tragedi 13 Mei tentunya mendatangkan persoalan. Kenapa Guan Eng melenting? Apakah kerana beliau tidak mahu rakyat lebih berminat untuk mengetahui sebab-sebab berlakunya tragedi tersebut atau tidak mahu rakyat tahu tentang penglibatan aktif parti DAP yang mencetuskan tragedi 13 Mei?
Jika Guan Eng berfikiran rasional, beliau sepatutnya bersikap positif tentang tragedi tersebut kerana ia telah lama berlaku dan kita boleh berubah demi kesejahteraan rakyat Malaysia.
DAP boleh berubah sama seperti sekarang yang mana parti tersebut sudah bersekongkol dengan Pas meski pun parti tersebut tidak mungkin akan bersetuju dengan perjuangan 'Islamik' Pas.
Seperkara lagi, Guan Eng ternyata tersalah langkah apabila menimbulkan isu 3R (Race, Religion dan Royal) yang kononnya diperalatkan oleh BN dan UMNO. Tuduhan melulu beliau itu jelas menunjukkan seorang pemimpin DAP yang tidak pernah menghargai pencapaian dan kemakmuran yang telah dikecapi oleh Malaysia selama ini. Apakah Guan Eng buta mata dan hati sehingga tidak nampak pencapaian ekonomi dan pendidikan bangsa beliau sendiri di negara ini?
Jika benar parti UMNO hanya mementingkan bangsa Melayu sahaja, tidak mungkin bangsa-bangsa lain yang menerajui ekonomi negara. Selama ini, tidak pula timbul cetusan dan perbandingan di antara kaum-kaum yang deskruktif dan sehebat ini. Tetapi ia semakin menyerlah dan mendatangkan keresahan kita semua. Ini semua adalah hasil daripada modus operandi parti DAP sendiri dan diberi lampu hijau oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim. Parti DAP dan pakatan pembangkang yang berulang kali mengaitkan UMNO dengan 'ultra-Melayu' di setiap ceramah, perjumpaan dan sidang akhbar, jelas menunjukkan ulangan kepada modus operandi parti pembangkang sebelum ini yang melabelkan UMNO/BN sebagai parti rasuah.
Modus operandi sebelum ini mungkin hampir berjaya menimbulkan persepsi negatif terhadap parti UMNO dan BN. Tetapi kali ini, Guan Eng telah tersilap langkah. Hari ini beliau bukan sahaja berdepan dengan UMNO dan BN sahaja tetapi rakyat Malaysia terutamanya kaum Melayu. Tetapi bak perpatah Melayu, terlajak perahu boleh diundur terlajak kata buruk padahnya!
DR. NOVANDRI HASAN BASRI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan