salam

Isnin, Januari 24, 2011

Pakatan pembangkang terbawa-bawa politik derhaka, republikanisasi !!!!

TINDAKAN kerajaan Selangor untuk mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) tergempar pada 24 Januari ini secara jelas mampu diinterpretasikan dalam konotasi politik yang mudah bahawa apa saja undang-undang yang menyekat nafsu pentadbiran kerajaan tiga parti ini daripada berkuasa mutlak, maka ia perlu disisihkan. 

Ibarat dalam filem Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Musang Berjanggut, di mana salah satu wataknya menggambarkan betapa undang-undang mampu diubah, jika seseorang itu berkuasa atas sesuatu jawatan.

Untuk itu, watak dalam filem Musang Berjanggut dalam dunia alaf baru ini jelas tergambar melalui tindakan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang seolah-olah cuba untuk melakukan apa saja bagi mengubah struktur perundangan negeri untuk tujuan menghalalkan tindakannya.

Ini juga menggambarkan kerajaan pakatan tiga parti (PKR, DAP dan PAS) menafikan peranan Sultan Selangor serta pihak persekutuan daripada mencampuri urusan yang kononnya eksklusif termaktub sebagai hak ke atas seorang Menteri Besar. Inilah sebenarnya bayangan yang akan terus menghantui negara jika pemimpin tiga parti pembangkang ini terus dibiarkan memerintah. 

Bayangkan ini baru berlaku pada peringkat negeri. Beberapa negeri di bawah pentadbiran pembangkang termasuk Perak sebelum ini dan terkini di Selangor seolah-olah kuasa Sultan dianggap tidak berdaulat bagi pemegang kuasa pakatan pembangkang. 

Lihat saja sebelum ini bagaimana pada ketika jangka masa sambutan Jubli Perak pemerintahan Sultan Perak yang sepatutnya berlangsung dalam keadaan negeri yang aman, damai dan stabil serta sentosa, namun akibat rakus kuasa dan tidak mengenal erti hamba, maka apabila saja titah supaya berundur daripada persada kuasa dan diberikan kepada yang berhak, maka Sultan disanggah. 

Bagi pakatan tiga parti pembangkang, apabila saja Sultan Perak mencemar duli menghakimi situasi dan berkenan dengan realiti, ia dianggap campur tangan Istana ke atas politik, walhal realitinya hak dan benar terlihat, bahkan tiada bercanggah dengan mana-mana peruntukan perlembagaan sekalipun. 


Inilah hakikatnya apabila keputusan mahkamah diperoleh, nyatakan titah dan penelitian Tuanku Sultan tepat, dan dalam kes yang berlaku di Perak, apabila bilangan ahli legislatif yang menyokong pakatan pembangkang tidak lagi majoriti. 


Secara logiknya ia memberikan hak kepada Barisan Nasional (BN) untuk dilantik sebagai kerajaan apabila parti itu beroleh tiga mandat tambahan anggota legislatif yang keluar pakatan tiga parti dan menjadi bebas serta mengisytiharkan sokongan kepada BN untuk menguasai majoriti dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak. 

Kini selepas Perak, Selangor pula mengalami nasib serupa, apabila Sultan Selangor pula seolah-olah cuba dicabar. Secara logiknya, apabila saja Tuanku Sultan berkenan dengan sesuatu tindakan bahkan tidak pula bertentangan dengan peruntukan perundangan, dan diterima pakai dengan angkat sumpah serta segala prosedur dipenuhi, seseorang Menteri Besar harus memuktamadkan perkenan Sultan sebagai hak dan dijunjung kasih. 

Tetapi amat derhaka hati apabila Menteri Besar yang hadir di majlis Istana dan selepas beredar sanggup pula menderhakai Sultannya sendiri. 

Apakah salahnya jika seorang Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) yang dilantik dan sudah sedia diperkenankan Tuanku Sultan diterima Menteri Besar? Bahkan perlantikan itu juga ada asas merit yang pastinya menunjukkan prestasi sebagai pentadbir awam yang cekap sepanjang khidmatnya. 

Apakah Khalid selaku Menteri Besar mahukan SUK dan pentadbir awam seseorang yang terbabit secara aktif dalam kancah parti politik, yakni aktif di dalam PKR atau DAP?. 

Secara khususnya, dari segi pengamatan terhadap insiden betapa titah dan tindakan Sultan seolah cuba dibonekakan dan dinafikan PKR, DAP dan PAS. Adakah pakatan tiga parti pemerintah di Selangor itu ingin menjadikan Selangor negeri republik?. 

Rakyat harus berhati-hati di dalam perkiraan politik. Tidak mustahil apa saja akan dilakukan DAP, PKR termasuk PAS semata-mata bagi tujuan mendapatkan dan memperkukuh hierarki kuasa yang dinikmati mereka. 

Sifat autoritarian dan kuku besi pemimpin pakatan tiga parti pembangkang jelas menunjukkan bahawa mereka tidak berkeupayaan untuk berjuang memikirkan mengenai keperluan dan pembangunan rakyat. 

Pemikiran dan tindakan beberapa individu dalam komuniti pentadbir eksekutif negeri termasuk berjawatan Menteri Besar dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta wakil rakyat PKR, DAP dan Pas jelas mempunyai kecenderungan ke arah republikanisasi negeri dan Malaysia. 
Tindakan dilakukan kerajaan Khalid di Selangor ini adalah gambaran betapa bahaya pada masa depan yang sedang menanti legasi negeri-negeri Melayu yang bertunjang kepada asas tradisi pembinaan Malaysia sebagai negara yang memaktubkan kedudukan Raja sebagai pemerintah berdaulat. 

Secara tersiratnya, mereka tidak berjiwa tradisi Malaysia dan tidak sesuai dengan persekitaran negara ini untuk diberikan kuasa. Sidang DUN tergempar 24 Januari ini adalah kejadian politik yang bagaikan mencabar titah Sultan. 

Penulis ialah pensyarah Universiti Utara Malaysia 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan


TREBEST PLUS CAPSULE - HEBAT !!! HUBUNGI 010-9165803 EN. HUSSEIN dan KLIK GAMBAR PRODUK DI ATAS