LANGKAWI, 23 Jan. - Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah hari ini mengingatkan semua pihak di negeri itu agar tidak menjadikan masjid sebagai medan meraih sokongan atau menyebarkan ideologi masing-masing.
"Mimbar masjid adalah wadah atau ruang memupuk ukhuwah Islamiah sesama muslim dan bukannya gelanggang atau medan melepas geram serta cercaan kepada mana-mana pihak,” titah baginda di sini.
Baginda bertitah demikian ketika merasmikan bangunan baru Masjid Al Ehsan Temoyong di sini. Bangunan baru bernilai RM7 juta itu boleh menampung 2,500 jemaah pada satu-satu masa.
Masjid, titah baginda seharusnya menjadi institusi untuk menyubur rasa kasih dan cinta sesama Islam.
Dalam titah itu Tuanku Abdul Halim turut melahirkan rasa dukacita melihat umat Islam terus bermusuhan dan bersengketa sesama sendiri.
"Penyakit pecah-belah ini datang dari hawa nafsu dan kepentingan duniawi yang boleh menghancurkan umat, yang untung ialah musuh-musuh Islam yang sentiasa menunggu saat-saat kejatuhan,” titah baginda.
Sultan Kedah seterusnya menggesa agar umat Islam di negeri itu memastikan masjid dimuliakan, dihormati dan tidak dicemari dengan unsur-unsur yang boleh menafikan kekudusannya.
"Beta berharap Majlis Agama Islam Kedah dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah meningkatkan pemantauan dan seliaan supaya tidak timbul sebarang kejadian yang mencemar imej dan kesucian masjid di negeri ini,” titah baginda. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan