salam

Jumaat, Disember 03, 2010

PERKASA penyelamat Melayu – Khir Toyo


KANGAR: Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo menganggap situasi orang Melayu berubah dengan adanya Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) seperti PERKASA hari ini.
“ Apa yang saya lihat PERKASA berjaya mengubah situasi dan lanskap politik Malaysia hari ini. Saya yakin PERKASA mampu mengubah kenyakinan orang Melayu terhadap UMNO.” Kata beliau semasa berucap pada majlis pelancaran PERKASA peringkat daerah-daerah Negeri Perlis di sini pada 31 Oktober lalu.
Katanya lagi, sebagai orang Melayu adalah tanggungjawab kita mempertahankan Islam dan bangsa Melayu. Lebih-lebih lagi ketika hari ini pemimpin Melayu menjadi lebih pemaaf, lebih bertoleransi dan lebih memberi kepada kaum lain atas desakan serta tuntutan politik.

“Hanya PERKASA yang ‘lantang’ perjuangkan hak keistimewaan orang Melayu seperti yang sudah termaktub dalam Perlembagaan. Kalau NGO kaum lain lantang meminta hak mereka, kenapa PERKASA tidak boleh diterima sedangkan apa yang pertahankan adalah hak keistimewaan kaum Melayu sendiri.
“Ini terbukti apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak telah memberi satu kata putus yang lebih bermakna pada Perhimpunan Agung UMNO 2010 terhadap keistimewaan orang Melayu.

“Sebelum ini PERKASA dikritik hebat malah dijauhi UMNO. Perjuangan untuk menyatukan orang Melayu perlu dilaksanakan PERKASA khususnya dalam mengekalkan kuasa Melayu. Amat jelas bahawa dengan peringatan PERKASA, dalam Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini bahawa soal biasiswa, permit, bahasa Melayu atau perkara 152 dan 153 adalah di bawah Majlis Raja-Raja Melayu yang tidak boleh dipinda di Parlimen, walaupun menguasai majoriti dua pertiga.
“Saya kira pemimpin UMNO hari ini telah dapat teruskan perjuangan yang selama ini berada dalam persimpangan.” Kata Dr. Mohamad Khir yang juga mantan Menteri Besar Selangor.
Beliau yang juga Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Selangor berkata, orang Melayu cukup baik dalam soal menghadapi kemelut politik, membicarakan soal agama serta soal kaum jika dibandingkan kita dengan Singapura, Indonesia, Filipina serta Thailand.
“ Sebenarnya kesamarataan tidak boleh disamaratakan dengan Singapura mahupun Indonesia. Kerana dasar mereka berbeza. Mereka ini tidak ada sekolah Cina dan India, tetapi hanya ada sekolah kebangsaan.
“Bila kita buat masjid guna duit kerajaan, ada kaum Cina dan India pertikaikan. Tetapi mereka lupa Islam adalah agama Persekutuan. Mereka lupa ‘pengorbanan’ kita untuk memberi tuntutan mereka demi perpaduan negara khususnya memberi sekolah Cina dan Tamil malah kita tidak boleh sentuhpun sekolah mereka ini, sebaliknya kerajaan tetap memberikan peruntukan yang besar kepada sekolah mereka.
“ Kini hak biasiswa orang Melayu mereka sentuh, keistimewaan orang Melayu seperti yang termaktub dalam perkara 153 juga sudah dicabar. Tetapi PERKASA mempertahankannya.
“Bila kita bicarakan soal ini, orang akan anggap rasis. Rasist dan Chauvinist ini berbeza. Rasist maksudnya sesuatu kaum itu berjuang untuk kaumnya dan menekan kaum yang lain. Yang dikata Chauvinist adalah perjuangan perkauman. Perjuangan perkauman ini memang wujud dari dulu lagi. UMNO, DAP, Gerakan adalah chauvinist.” Katanya.
Soal beliau lagi, pernahkan kita lihat DAP dengan MCA bergasak?
“Tidak pernah. Orang Cina tidak hentam-menghentam sesama mereka. Sebaliknya lebih bersatu dalam mempertahankan hak mereka walaupun daripada parti yang berbeza. Kalau tengok orang Melayu bergasak memang hebat. Justeru itu apa nak jadi dengan orang Melayu hari ini, jika tidak dapat bersatu memperjuangkan bangsanya?
“Dalam keadaan kerajaan bantu bermacam-macam bantuan sejak merdeka sampai ke hari ini, kita tetap jauh ketinggalan khususnya dalam bidang ekonomi. Bayangkanlah kalau orang Melayu tidak menjadi kerajaan. Persoalannya di sini kita perlu kekalkan orang Melayu dalam kerajaan agar orang Melayu tetap mendapatkan hak keistimewaan mereka sebab sudah jelas negeri yang diperintah oleh bukan Melayu sudah sedikit demi sedikit hak Melayu terhakis.
“Yang saya nampak hari ini hanya PERKASA berani bertindak dan mendesak dalam memertahankan hak Melayu dan hasilnya kita semua sudah nampak hari ini apabila Perdana Menteri sendiri sudah berani membuat keputusan bermakna terhadap hak Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.” Kata Dr. Mohamad Khir.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan


TREBEST PLUS CAPSULE - HEBAT !!! HUBUNGI 010-9165803 EN. HUSSEIN dan KLIK GAMBAR PRODUK DI ATAS