Tanggal 10 Februari 1946 bersamaan 8 Rabi’ulawal 1365H, orang Melayu di seluruh negara telah diajak untuk berhimpun secara besar-besaran di Batu Pahat bagi melakukan upacara mengangkat sumpah.
Ia merupakan satu ikrar yang mengandungi agenda atau garis panduan yang wajib dipatuhi dan ditaati oleh kesemua orang Melayu bagi membentuk seterusnya mengekalkan ketamadunan bangsa. Ikrar ini juga disebut sebagai ‘Sumpah Melayu’ untuk Melayu. Maka orang Melayu pun bersumpah bahawa inilah asas keramat orang Melayu untuk terus mengharungi cabaran masa depan yang lebih cemerlang demi agama, bangsa dan negara. Lalu termaktublah sumpah ini sebagai SUMPAH MELAYU.
Kenapa Melayu takut membicarakan sumpah mereka? Kenapa Melayu takut membicarakan perjuangan Melayu? Adakah kerana ini menghilangkan rasa moden di kalangan mereka? Adakah ini menunjukkan bahawa kita tidak maju bila membicarakan tentang perjuangan bangsa?
Melayu sebenarnya perlu sedar dan perlu menjelaskan. Ketegasan kita memperkatakan hak dengan penjelasan yang sempurna. Kita perlu pertahankan sumpah kita kerana kita tidak mahu kedaulatan Melayu mengalir meninggalkan kita – lebih buruk bila Melayu beransur hilang di bumi sendiri.
Kita mesti mengenal apa yang perlu kita perjuangkan dan pertahankan. Jangan terleka dengan perjuangan politik yang mementingkan segelintir mereka yang mahu terus berkuasa. Kita mahu mereka yang turut membicarakan hak yang perlu dipertahankan demi Melayu untuk Melayu.
SUMPAH MELAYU
KAMI, umat Melayu beragama Islam pada hari ini berjanji tidak akan berhasad dengki, khianat dan iri hati, bertelagah dan berbalah sama sendiri. KAMI berjanji akan bersatu padu dan patuh menegakkan agama Islam. KAMI juga berjanji akan bekerja kuat untuk menyara diri dan keluarga kami.
KAMI sedia bersaing sesama umat Melayu dan kaum-kaum lain dengan jujur dan terhormat.
KAMI umat Melayu bersumpah setia untuk :
•Mempertahankan kepentingan dan hak Melayu;
•Mempertahankan kedaulatan Raja-Raja Melayu;
•Memperjuangkan ikhtisad dan pelajaran bangsa Melayu; dan
•Mempertahankan maruah Negara supaya aman sejahtera.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan