salam

Isnin, Januari 03, 2011

Khurafat: Perbincangan dengan LPF dipertingkat

KUALA LUMPUR 2 Jan. - Kerajaan perlu mempertingkatkan perbincangan dengan Lembaga Penapisan Filem (LPF) berikutan semakin banyak filem dan drama televisyen berunsur khurafat dan tahyul ditayangkan sejak kebelakangan ini.

Ia kerana, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom (gambar), pihak penerbit dan pengeluar filem mempunyai pandangan tersendiri mengenai produksi filem atau drama berunsur berkenaan.

Sehubungan itu, katanya, perbincangan dan kefahaman mengenai syariat perlu diadakan dengan pihak terbabit supaya pemikiran masyarakat terutama remaja tidak terpesong setelah menonton filem-filem tersebut.

"Saya tidak menolak tentang pembikinan filem yang berunsur khurafat tetapi ia perlu dipandu oleh pendekatan syariat.
"Kita perlu menerangkan kepada orang ramai mengenai perkara-perkara khurafat dan bagaimana mengelakkannya serta sejauh mana wujudnya perkara-perkara tersebut.


"Garis panduan berhubung syariat dalam pembikinan filem boleh didapati pada laman web Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melepaskan lebih 2,000 peserta Larian Hijrah '1Malaysia 1Ummah' 1432H Peringkat Wilayah Persekutuan, berhampiran Masjid Negara di sini hari ini.

Jamil Khir memberitahu, sebelum sesebuah drama ditayangkan di televisyen, ia perlu melalui LPF dan kelulusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta tenaga pakar dalam bidang-bidang tertentu.
Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan tindakan sesetengah saluran televisyen menerangkan kepada penonton supaya tidak mempercayai unsur-unsur tahyul dan khurafat di akhir filem atau drama.

Menurutnya, Turki, Iran dan Indonesia mempunyai panel syariat/syariah sebagai panduan pengeluar-pengeluar filem supaya tidak terkeluar daripada garis yang ditetapkan.

Berhubung artis-artis tempatan yang berpakaian seksi dalam majlis keramaian, Jamil Khir berkata, Jakim turut memberi garis panduan mengenai perihal pemakaian baju artis.

Pada masa sama, katanya, pihak penganjur dan pengelola program harus mengingatkan artis-artis jemputan mengenai pemakaian mereka supaya tidak terkeluar daripada garis panduan yang ditentukan oleh Jakim.

"Artis tidak sepatutnya berpakaian begitu dengan berpendapat jika berbeza daripada orang lain akan mendapat lebih publisiti.

"Kita harap mereka yang terlibat tidak mencari publisiti murahan dengan berpakaian seksi hanya untuk menjadi popular," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan


TREBEST PLUS CAPSULE - HEBAT !!! HUBUNGI 010-9165803 EN. HUSSEIN dan KLIK GAMBAR PRODUK DI ATAS