salam

Isnin, Januari 10, 2011

Mempertahankan Hak Secara Bijaksana

Malaysia adalah sebuah negara demokrasi yang memberikan kebebasan hak asasi kepada seluruh warganegaranya tidak mengira bangsa dan juga agama, sebagaimana yang dijamin di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Jika kita percaya dan menghormatinya (Perlembagaan Persekutuan), tentulah kita juga harus menghormati semua kandungannya termasuklah keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja - Raja Melayu, melindungi Agama Islam, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan kepentingan sah kaum-kaum lain di negara ini.

Tidak wajar adanya tindakan dari pihak-pihak tertentu yang mempertikai dan mempersoalkan perkara-perkara ‘tersebut’ yang menjadi asas utama pembentukan negara Malaysia dan ia termasuk di dalam Perlembagaan Persekutuan namun, kenapa ia boleh menimbulkan kegusaran dan keresahan di kalangan segelintir rakyat ?
Semua yakin dan ingin memaklumkan bahawa kedudukan orang Melayu serta Bumiputera dan kepentingan kaum-kaum lain dari segi politik telah termaktub jelas dalam Perlembagaan Persekutuan dan ianya tidak pernah diubah sejak ianya digubal oleh pemimpin terdahulu.

Sebagaimana yang ditegaskan dalam ucapan YAB. Perdana Menteri selaku Presiden UMNO dalam Mesyuarat Agong UMNO baru –baru ini. “Ia terkunci kemas dalam artikel-artikel Bahagian 3 mengenai kewarganegaraan, Perkara 38 berkait Majlis Raja-Raja, Perkara 152 tentang Bahasa Kebangsaan dan Perkara 153 mencakupi antara lain perizaban kuota perkhidmatan dan permit untuk orang Melayu.”

Kata YAB. Perdana Menteri lagi, “Perlembagaan Negara yang ada sekarang adalah asas teras kepada kontrak yang telah dimuafakat bersama oleh bapa-bapa pengasas yang mewakili kaum masing-masing ketika di ambang kemerdekaan. Ia kemudiannya telah dimaktubkan sebagai kontrak sosial nasional, tertinta dalam perkara dan fasal Perlembagaan Persekutuan, yang menjadi undang-undang tertinggi negara. Mahu tidak mahu, kita sebagai rakyat Malaysia sewajibnya menghormati persepakatan mulia yang telah dilakukan terdahulu kerana itulah ‘kunci’ kepada kelangsungan dan survival kebangsaan.”

Lantaran itu sebarang isu yang boleh menjejaskan perpaduan kaum, tidak perlulah dibincangkan secara terbuka atau diperdebatkan dimedia – media massa. Janganlah ada pihak yang mengambil kesempatan dengan ‘menangguk di air keruh’ yang boleh mengancam keselamatan dan keharmonian negara yang selama ini kita kecapi. Semua pihak dan kaum harus mengambil ‘langkah baik’ seperti yang diputuskan oleh kepimpinan tertinggi BN agar hal-hal atau isu sensitif perlulah di bawa ke dalam perbincangan tertutup, tanpa perlu memainkannya di media massa.

Tidak salah untuk sesuatu kaum untuk mempertahankan hak masing-masing selagi ianya tidak melanggar Perlembagaan Persekutuan. Namun, cara terbaik mempertahankan sesuatu 'hak' adalah dengan mengambil sikap tenang dan menerangkan secara bijaksana mengenai hak semua pihak. Dalam konteks negara Malaysia yang mempunyai pelbagai kaum, kita haruslah kembali merujuk kepada "Perlembagaan Negara" jika ada wujudnya ketidakpuashaian kerana isi kandungannya sudah termaktub dan sudah jelas dipaparkan mengenai hak bumiputera dan kaum-kaum lain.

Hak yang tertulis (di Perlembagaan Persekutuan) perlulah dijelaskan dengan tenang dan berfakta. Janganlah terlalu beremosi sehingga boleh menyinggung perasaan kaum - kaum lain. Sememangnya generasi dahulu (sebelum Merdeka) dengan generasi sekarang (sesudah Merdeka) tentulah berbeza tahap pemahaman mereka. Memang benar semua hak Melayu, bumiputera Sabah/Sarawak dan Bukan Bumiputera telah tertulis di Perlembagaan Persekutuan tetapi tidak semua generasi muda sekarang yang mungkin memahaminya dengan baik. Oleh yang demikian marilah kita selaku warga yang memahami dan juga generasi lama yang memahami maksud tersirat dan tersurat di dalam Perlembagaan Persekutuan, menjelaskan kepada semua pihak dengan penuh tenang dan sabar.

Percayalah, tiada siapa yang dapat lari dari Perlembagaan Negara. Semuanya sudah jelas terkandung di dalam Perlembagaan Negara mengenai kedudukan Raja, agama, bahasa, kewarganegaraan, hak kebebasan, Hak Istimewa Melayu/ Bumiputera. Tiada siapa rakyat Malaysia yang dibelakangkan.

Malah dalam perkara 153 (perkhidmatan awam : Perkara 153 (2,3 dan 4), bidang ekonomi : Perkara 153 (6), bidang pelajaran: Perkara 153 (2,3 dan 4) dan Perkara 89 dan 90 (Tanah Rezab Melayu), kaum lain tetap mendapat manfaatnya. Tiada siapa di negara ini yang tidak dibenarkan menjadi pegawai kerajaan, belajar di institusi pengajian tinggi, dan boleh terlibat dalam perniagaan. "Dimana ada kemahuan disitu ada jalan".

Lantaran itu, Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diwujudkan oleh Y.A.Bhg. Tun Abdul Razak (bekas Perdana Menteri Malaysia yang ke-2) telah menetapkan hak 30 peratus ekuiti untuk kaum bumiputera namun ianya tetap telah menguntungkan kaum lain. 

Seperti kata Tun Dr Mahathir Mohamad “Berkenaan dengan Dasar Ekonomi Baru pula, agihan kepada Bumiputera hanyalah daripada bahagian ekonomi yang tumbuh dan tidak dengan merampas apa yang telah dimiliki bukan Bumiputera untuk diberi kepada Bumiputera.” Tidaklah adil mempertikaikan Dasar Ekonomi Baru secara membuta tuli, apatah lagi jika orang itu adalah orang Melayu yang telah berjaya dibawah dasar itu.

Cabaran utama kita ialah untuk menjelaskan semua isi kandungan Perlembagaan Persekutuan ini kepada generasi muda kini dan ianya haruslah dijalankan secara bijaksana tanpa perlu menyinggung perasaan mereka. Apatah lagi kita perlu berhadapan dengan golongan 'ultra kiasu' yang sengaja tidak mahu memahami perkara yang telah tersurat dalam Perlembagaan Negara.

Langkah kerajaan memperkenalkan lulus wajib subjek sejarah dalam peperiksaan adalah ‘langkah awal yang tepat pada waktunya’ terutama apabila perpaduan masyarakat Malaysia kerapkali tercabar hasil dari perpecahan fahaman politik sempit dan tuntutan atau tindakan melampau dari sesetengah pihak yang sudah mula mempersoalkan keluhuran perlembagaan Malaysia. Seperti kata George Santayana ahli falsafah sepanyol yang terkenal, "Mereka yang lupa sejarah akan dihukum dengan mengulangi kesalahan mereka berulang kali”.

Terima kasih kepada Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao yang baru-baru ini menggesa semua rakyat agar bersatu dan mendukung Perlembagaan Persekutuan, yang mengandungi kontrak sosial bagi mewujudkan keadilan sosial serta perpaduan di negara ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan


TREBEST PLUS CAPSULE - HEBAT !!! HUBUNGI 010-9165803 EN. HUSSEIN dan KLIK GAMBAR PRODUK DI ATAS