salam

Jumaat, Januari 07, 2011

Dr. M jelaskan sebab pindaan Perlembagaan


SHAH ALAM 6 Jan. – Tun Dr. Mahathir Mohamad mempertahankan langkah meminda Perlembagaan Persekutuan pada 1993 berkaitan kuasa raja-raja Melayu dengan menegaskan ia dilakukan demi masa depan negara.
Bekas Perdana Menteri berkata, keadaan itu berbeza dengan cadangan Kerajaan Negeri Selangor di bawah pakatan pembangkang yang mahu melakukan pindaan terhadap Undang-Undang Tubuh Negeri semata-mata atas sebab politik.
“Kita buat pindaan masa itu dengan niat baik. Kalau kita dapati wakil yang mewakili rakyat tidak ada kuasa akhirnya kita tidak begitu demokratik.
“Pada masa itu kita guna (pindaan Perlembagaan) bukan untuk tujuan sembarangan iaitu bukan masalah peribadi tetapi masalah negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Seminar Perdana: Perpaduan Asas Pembangunan Bangsa di Universiti Teknologi Mara (UiTM), di sini hari ini.
Beliau mengulas kontroversi di negeri ini sekarang yang berpunca daripada sikap kerajaan negeri yang tidak merestui pelantikan Datuk Mohammed Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) yang baru.
Semalam, Angkatan Muda Keadilan (AMK) cuba mengalihkan tumpuan apabila mempersoalkan pindaan Perlembagaan di Dewan Rakyat pada 1993 dan cuba mengaitkannya dengan kejadian di Selangor untuk menyalahkan Barisan Nasional (BN) atas nama penderhakaan terhadap institusi beraja.
Dr. Mahathir berkata, cadangan kerajaan negeri untuk meminda Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor bagi mengembalikan kuasa Sultan dan Menteri Besar dalam melantik tiga jawatan eksekutif termasuk SUK, sebenarnya masih berliku.
Bekas Perdana Menteri berkata, ini kerana pentadbiran Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim masih perlu mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sebelum membuat pindaan itu.
“Jadi sebenarnya terpulanglah kepada Sultan Selangor. Kalau baginda tak setuju, tak bolehlah nak pinda.
“Mereka juga kena dapat dua pertiga daripada ahli-ahli dalam Dewan Undangan Negeri. Sama ada dia (Menteri Besar) dapat atau tidak, tak tahulah,” katanya.
Menurut Dr. Mahathir, sebenarnya masalah tersebut tidak akan timbul jika kerajaan negeri mengikut tertib dengan menulis surat kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan menunggu keputusan.
“Mereka memilih untuk mempolitikkan isu tersebut hingga menyebabkan masalah timbul,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan


TREBEST PLUS CAPSULE - HEBAT !!! HUBUNGI 010-9165803 EN. HUSSEIN dan KLIK GAMBAR PRODUK DI ATAS