DARI Anas bin Malik r.a. berkata, Rasulullah SAW bersabda, “Apabila seseorang dari umatku membaca ayat Kursi 12 kali, kemudian dia berwudhuk dan mengerjakan solat subuh, nescaya Allah akan menjaganya dari kejahatan syaitan dan darjatnya sama dengan orang yang membaca seluruh al-Qur’an sebanyak tiga kali, dan pada hari kiamat ia akan diberi mahkota dari cahaya yang menyinari kesemua penghuni dunia.”
Bertanya Anas bin Malik, “Ya Rasulullah, apakah hendak dibaca setiap hari?”
Sabda Rasulullah, “ Tidak, cukuplah dengan membacanya setiap hari Jumaat.”
Umat-umat terdahulu hanya sedikit sahaja yang mempercayai rasul-rasul mereka dan itu pun apabila mereka melihat mukjizat secara langsung.
Maka, kita sebagai umat Islam tidak boleh ragu-ragu tentang apa yang diterangkan oleh Allah dan Rasul. Janganlah kita ragu-ragu tentang al-Qur’an, hadis dan sunnah Rasul kita. Janganlah kita menjadi seperti umat terdahulu yang mana mereka lebih banyak bertanya dan hendak melihat bukti-bukti terlebih dahulu sebelum mereka beriman.
Setiap sesuatu yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW kepada kita adalah untuk kebaikan kita sendiri. Rasulullah SAW menyuruh kita mengamalkan membaca ayat Kursi, maka baca dan amalkanlah.
Kehebatan ayat Kursi ini telah diterangkan dalam banyak hadis. Dan kehebatnnya adalah untuk kita sebagai umat Islam, iaitu untuk menangkis gangguan syaitan dan konco-konconya disamping kita diberikan pahala oleh Allah SWT.
Begitu juga dengan surah al-Falaq, surah Yassin dan banyak lagi ayat-ayat al-Qur’an yang mempunyai keistimewaan dan kelebihan yang tersendiri.
Justeru, kita sebagai umat Islam janganlah ada sedikit pun keraguan tentang ayat-ayat al-Qur’an, hadis Nabi dan sunnah Rasulullah SAW.
Keraguan dan was-was itu datangnya daripada syaitan.
Bagaimanapun, untuk menghilangkan rasa was-was atau ragu dalam melakukan sesuatu amalan rutin, maka para ulamak mengajarkan supaya membaca surah An-Nas sebelum melakukan sebarang amalan, seperti solat dan lain-lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan