salam

Selasa, Disember 07, 2010

Kikis Gejala Khayal, Lupa Diri, Jumud dan Angkuh: SERUAN NAJIB UNTUK ANGGOTA BN


PENGERUSI Barisan Nasional, Datuk Seri Najib Razak mengajak pemimpin dan anggota Barisan Nasional (BN) mengikis gejala empat jenis penyakit – khayal, lupa diri, jumud dan angkuh, jika mahu menambat hati rakyat.

“Keempat-empat gejala penyakit itu perlu dielak, dibuang dan dikikis sebelum rasa sayang rakyat (terhadap BN) berubah menjadi benci, harapan menjadi kemarahan dan sokongan bertukar menjadi penentangan. Semua penyakit itu, terutama keangkuhan akan hanya menyebabkan rakyat benci dan menyampah,” katanya menyampaikan amanat dasar bertajuk ‘Mengukuh Barisan, Mendahulu Rakyat’ pada Konvensyen BN 2010 di Dewan San Choon, Wisma MCA, semalam – Ahad.

Pengerusi BN berkata, perubahan perlu dilakukan kerana lazimnya parti yang terlalu lama berkuasa jarang melakukan muhasabah terhadap kelemahannya.

Najib berkata, penyakit khayalan berlaku apabila mereka berasa khayal dan terawang-awang bahawa sokongan diterima daripada rakyat akan berterusan; penyakit amnesia (lupa) pula kerana sudah terlupa akan sebab musabab atau tujuan perjuangan asal; penyakit inertia (kejumudan) terjadi apabila enggan membuat pembaharuan dan perubahan, manakala penyakit keangkuhan yang mencerminkan sikap tidak boleh menerima teguran.

Menurut Perdana Menteri, empat penyakit itu sering melanda parti politik yang sudah lama berkuasa kerana parti yang terlalu lama berkuasa jarang melakukan muhasabah terhadap kelemahan diri.

Beliau berkata, untuk bangun kembali, BN mesti mencari formula pemulihan dan melaksanakan pelan secara konsisten seperti yang diusahakan dan sedang dilakukan untuk memperoleh kemenangan besar seperti yang diidam-idamkan.

“Perkembangan positif dalam parti komponen sejak dua tahun lalu menunjukkan BN sedia mendengar suara rakyat dan akan terus menggarap aspirasi mereka.

 “Selama ini, nilai penting yang menjadi penguat kepada BN adalah sifat kebijaksanaan, keikhlasan dan kemampuan untuk memimpin berbekalkan wawasan serta kepentingan yang kauh lebih besar.

 “Kepentingan itu adalah mewujudkan negara aman, stabil, maju lagi makmur, di mana rendangnya semua dapat berlindung dan berteduh, di mana limpahan nikmat alamnya, semua dapat mencari rezeki, di mana keamanannya, semua dapat membina kehidupan bahagia,” katanya.

Beliau berkata, kepercayaan rakyat terhadap BN perlu terus dipupuk dan dibaja dengan bekerja keras serta berusaha bersungguh-sungguh.

“Dalam kata lain, jangan kita leka dan mudah terpesona. Sifirnya, untuk BN terus menerajui kepemimpinan negara dan negeri, setiap parti komponen perlu diperkukuh dan diperkuatkan,” katanya.

Dalam ucapan hampir sejam, Najib berkata, berbanding Pilihan Raya Umum 2008, di mana BN yang cuba dimomok-momokkan sebagai sudah suram, kini nampaknya semakin hari sudah semakin pulih.

 “Begitulah episod merampas kembali kerusi Parlimen Hulu Selangor dan Dewan Undangan Negeri Galas sudah meraih kemenangan besar. Serentak dengan itu, kejayaan mengekalkan kerusi Parlimen Batu Sapi mengaut majoriti, hampir sekali ganda, menunjukkan sokongan rakyat kepada kita sudah berputik dan mekar kembali,” katanya.

Dari dulu sampailah sekarang dan mudah-mudahan dengan izin Tuhan hingga selamanya, suara BN adalah suara keramat rakyat, berbicara dan berganding atas nama rakyat.

Dari Perlis sampailah ke Sabah, BN menjiwai degupan sanubari dan hati rakyat, menjadi penyambung rasa, penyambung cita-cita, penyambung lidah serta aspirasi rakyat Malaysia,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan


TREBEST PLUS CAPSULE - HEBAT !!! HUBUNGI 010-9165803 EN. HUSSEIN dan KLIK GAMBAR PRODUK DI ATAS